Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 30 November 2011

Wolfgang Amadeus Mozart


Wolfgang Amadeus Mozart (1756 - 1791) merupakan seorang pemuzik dan komposer warga Austria. Beliau mula menggubah lagu sewaktu berusia lima tahun. Antara muzik gubahannya yang terkenal ialah opera The Marriage of Figaro, Don Giovanni, Così fan tutte dan The Magic Flute yang telah dimainkan lebih dari 40 simfoni, konserto, kuartets alat muzik bertali dan sonata. Antara gubahannya yang tidak dapat disiapkan ialah gubahan muzik berjudul Requiem.

Rabu, 16 November 2011

RapidKL


RapidKL merupakan pengangkutan yang dikendalikan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana).

Prasarana merupakan sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi memudah, melaksana dan mempercepatkan projek infrastruktur yang telah diluluskan kerajaan.

Ia turut mengendalikan beberapa pengangkutan awam di Lembah Klang termasuk Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Sistem Monorel Kuala Lumpur, rangkaian bas di Pulau Pinang (Rapid Penang) dan perkhidmatan kereta kabel di Langkawi.

Bas RapidKL beroperasi di lebih 165 laluan yang merangkumi lebih 980 kawasan perumahan di Lembah Klang.

Bas pertama RapidKL memulakan operasi pada pukul 6 pagi dan bas terakhir pada pukul 11 malam.

sumber: Kosmo!

Dr. Kevorkian

Dr. Kevorkian di samping alat ciptaannya yang dipanggil Thanatron, sejenis alat untuk membunuh diri.

Dr. Jacob "Jack" Kevorkian atau dikenali juga sebagai Dr. Death merupakan seorang lelaki warga Armenia.

Beliau adalah seorang patologis, aktivis, pelukis dan pemuzik.

Dr. Kevorkian mencetuskan isu hak untuk mati kepada pesakit atau mereka yang merana dengan bantuan pakar dan peralatan yang membantu seseorang membunuh diri.

Mesin itu dikatakan membantu ramai orang yang sakit dan mengambil keputusan untuk mengambil nyawa sendiri di antara tahun 1998 hingga 1999.

Berikutan itu, Dr. Kevorkian dipenjarakan selama lapan tahun daripada hukuman 10 hingga 25 tahun hukuman penjara atas kesalahan pembunuhan darjah kedua. Dr. Kevorkian dibebaskan pada tahun 2007 dengan syarat beliau tidak menawarkan nasihat membunuh diri kepada orang lain.

Dr. Kevorkian dipercayai meminjam lukisannya dan barangan peribadi beliau kepada pihak muzium pada tahun 1999 supaya ia dapat dilindungi sementara beliau ditahan dalam penjara.

Sesetengah daripada hasil seni beliau juga dipercayai telah dicuri.

Dr. Kevorkian mati pada 3 Jun 2011, lapan hari selepas hari jadinya yang ke-83 akibat trombotik.

Pelakon Al Pacino pernah membawakan watak Dr. Kevorkian di dalam filem berjudul You Don't Know Jack yang diterbitkan pada tahun 2010.

sumber: Kosmo!, wikipedia

Ubi Gadong

Daun pokok ubi gadong kelihatan seperti daun sirih.

Berbeza dengan ubi biasa, pokok ubi gadong menjalar manakala batangnya pula mempunyai banyak duri.

Saiz ubi gadong berbeza-beza dan ada yang mencecah berat sehingga lima kilogram.

Ubi gadong mempunyai nilai perubatan kerana ia kaya dengan steroid.

Rasanya agak pahit dan mengandungi sejenis sebatian beracun dinamakan alkaloid dioscorin.

Seseorang yang termakan racun ubi gadong akan berasa pening, muntah serta sesak nafas dan dalam kes ekstrem boleh membawa kematian.

sumber: Universiti Kebangsaan Malaysia

Selasa, 15 November 2011

Tugu Negara pernah diletupkan komunis


Sepanjang tahun terutama ketika musim cuti sekolah, ribuan rakyat dan pelancong asing menziarahi Tugu Peringatan Negara atau Tugu Negara yang menjadi lambang kedaulatan, kemegahan serta mercu tanda pejuang yang mempertahankan tanah air, Malaysia. Tugu yang dibina dengan kos RM1.5 juta itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 8 Februari 1966 dan setiap tahun, pasti diadakan pelbagai program sempena memperingati Hari Pahlawan bertujuan mengenang jasa pejuang negara.

Bagaimanapun, langkah kerajaan mengagungkan pejuang bangsa itu jelas merobek perasaan pengganas komunis yang kononnya mendakwa mereka juga pejuang negara.

Yang pasti komunis berasa begitu terhina dengan patung menyembah bumi manakala patung askar berdiri teguh memegang senjata dan bendera negara manakala satu patung lagi memangku rakan yang cedera.

Oleh kerana bencikan kerajaan, ingin melumpuhkan agenda mewujudkan keamanan dan cintakan negara di kalangan rakyat, komunis bertindak dengan mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh daripada kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya komunis merancang untuk meletupkan Tugu Negara pada jam 6 pagi iaitu ketika sesi tiupan bugel yang diadakan di situ. Mereka mensasarkan umtuk membunuh semua peserta yang mengambil bahagian dalam perbarisan, tetapi malangnya cubaan mereka gagal.

Mengikut perancangan awal, mereka merancang untuk meletupkan tiga bom yang diletakkan di situ, tetapi malangnya satu daripada tiga bom itu meletup lebih awal yang meruntuhkan satu patung besar yang beratnya dianggarkan satu tan.

Lantai marmar di keliling kawasan tugu retak sepanjang dua kaki disebabkan patung besar jatuh ke lantai. Letupan kuat itu menggegarkan kawasan perumahan di sekitar Taman Bunga dan sebahagian daripada tingkap rumah mereka pecah akibat gegaran letupan.

Antara penduduk yang mendengar letupan kuat itu ialah Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran Tugu Negara.

Beliau terdengar letupan kira-kira jam lima pagi ketika bangun untuk solat Subuh.

Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Polis percaya empat pengganas terbabit dalam serangan itu termasuk seorang wanita.

Sebaik saja letupan berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Travers dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Mereka melepaskan tembakan ke arah polis yang cuba menahan mereka sebelum menghilang di sebalik kegelapan dan kabus tebal.

Di tempat letupan, polis menemui dua topi keledar dan dua helai bendera komunis yang ditinggalkan di situ. Berdasarkan penemuan kesan darah di tempat kejadian, polis percaya kemungkinan seorang penyerang Tugu Negara tercedera terkena letupan.

Berikutan itu, polis segera mengeluarkan arahan meminta kerjasama doktor di hospital atau klinik yang didatangi mana-mana individu yang cedera terkena letupan supaya segera menghubungi polis.

Polis melancarkan gerakan besar-besaran mengesan empat pengganas berkenaan dan tumpuan operasi ialah di semua kebanyakan penempatan yang disyaki terutama di sekitar Bangsar. Polis percaya, kumpulan pengganas itu mungkin menyamar sebagai pekerja buruh binaan.

Sehari selepas kejadian letupan itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 100cc tersadai di tempat letak kereta berhampiran pasar Jalan Pudu kira-kira jam 1 tengah hari. Berdasarkan rekod, motosikal itu dipercayai dicuri di Flet Jalan Loke Yew pada 18 Ogos.

Walaupun tidak dapat disahkan motosikal itu digunakan pengganas, jenisnya dikatakan menyamai laporan awal kenderaan yang digunakan dua pengganas untuk melarikan diri ketika terserempak dengan polis.

Penolong Kurator Kajian dan Penyelidikan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Selamat Sainayune menjelaskan Tugu Negara itu adalah sebagai peringatan kepada perwira yang terkorban demi tanah air ketika peperangan dan darurat pada 1942 - 1960.

“Ia simbol kenangan, pengorbanan yang dilakukan dengan penuh taat setia oleh segenap lapisan pasukan keselamatan yang rela mengorbankan jiwa dan raga semata-mata untuk menyediakan sebuah negara yang merdeka di mana rakyat dapat hidup aman harmoni. Sebab itu ia wajar dihormati dan dipelihara bersama,” katanya.

Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu