Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 28 Disember 2012

Jambatan Millau

Jambatan Millau dikenali sebagai Viaduc de Millau, terletak di Perancis dan merupakan jambatan tertinggi di dunia dengan puncak menaranya setinggi 343 meter.

Jambatan yang lebih tinggi berbanding Menara Eiffel dan hanya kira-kira 40 meter lebih rendah berbanding Bangunan Empire State di New York, Amerika Syarikat itu dirasmikan pada 14 Disember 2004 dan dibuka untuk lalu lintas dua hari kemudian.

Jambatan itu dibina dengan kos sebanyak AS$524 juta (RM1.68 bilion) dan menyeberangi lembah Sungai Tarn, Millau yang terletak di selatan Perancis. Jambatan itu juga menghubungkan Paris dan Barcelona di Sepanyol.

Projek pembinaan jambatan ini direka oleh seorang juruteknik jambatan Perancis, Michel Virlogeux dengan kerjasama arkitek Britain, Lord Foster.

Ia memakan masa tiga tahun untuk disiapkan.

Projek Jambatan Millau dibuat untuk menyambut 100 tahun kejuruteraan dan seni bina Perancis selepas kejayaan Menara Eiffel oleh Gustav Eiffel.

Ia juga dibina untuk memendekkan perjalanan melintasi Sepanyol, Perancis dan Jerman tanpa melalui ibu kota Paris.

Menurut jurutera projek, jangka hayat jambatan tersebut boleh bertahan selama 120 tahun.

Jambatan Millau telah memecahkan beberapa rekod selain jambatan yang tertinggi di dunia, antaranya ialah dek jambatan yang tertinggi di Eropah setinggi 270 meter di atas Sungai Tarn.

Ia juga hampir dua kali ganda ketinggian Jambatan Europabrucke di Austria iaitu 267 meter di atas New River.

-Kosmo!

Rabu, 26 Disember 2012

Casablanca

Casablanca terletak di barat Maghribi (Morocco) berhampiran Laut Atlantik.

Ia mempunyai keluasan keseluruhan 327 kilometer persegi.

Casablanca merupakan bandar raya terbesar dan pusat perniagaan dan kewangan di Maghribi.

Dihuni kira-kira empat juta penduduk dan dipercayai telah wujud pada tahun ke-7 Sebelum Masihi.

Lokasinya strategik sebagai pelabuhan ketika pemerintahan Phoenicia dan Rom satu ketika dahulu.

Casablanca pernah dijajah oleh Portugis, Sepanyol dan akhirnya Perancis pada tahun 1907.

Nama Casablanca menjadi terkenal setelah sebuah filem romantik Amerika Syarikat bernama Casablanca ditayangkan. Filem tersebut dibintangi oleh Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman telah mendapat sambutan hangat pada tahun 1942.

-Kosmo!

Jumaat, 21 Disember 2012

FRIM

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diasaskan oleh seorang saintis perhutanan berbangsa British pada tahun 1929.

Dahulu FRIM dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) merupakan institusi penyelidikan perhutanan terawal di Malaysia.

Dr. W. Foxworthy adalah ketua pegawai penyelidiknya yang pertama.

FRIM diletakkan di bawah Kementerian Perusahaan Utama sebelum berpindah ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2004.

Institut ini dinobatkan sebagai mempunyai sistem pengurusan yang berkualiti MS ISO 9001:2008 dan diketuai oleh Ketua Pengarah Datuk Dr. Abdul Latiff Mahmood.

Terdapat lima bahagian penyelidikan di FRIM iaitu Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Bahagian Bioteknologi Hutan, Bahagian Biodiversiti Hutan, Bahagian Hasilan Semula Jadi dan Bahagian Keluaran Hutan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di institut itu ialah arboretum yang menjadi rujukan dalam pendidikan perhutanan, herbarium yang menyimpan koleksi melebihi 200,000 spesimen, kursus latihan yang meliputi bidang landskap sehingga ke pengenalan kayu, pembuatan produk rotan dan buluh, nurseri pokok, perpustakaan dan kemudahan mengendalikan seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Institut ini juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk penyelidikan termasuk mengurus tujuh stesen penyelidikan yang mewakili hutan-hutan tertentu di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Lokasi FRIM adalah di Kepong, Selangor.

-Kosmo!

Khamis, 20 Disember 2012

Korea Selatan

Korea Selatan ataupun nama rasminya Republik Korea adalah sebuah negara maju yang paling pesat membangun pada tahun 2000 di samping menjadi salah satu daripada tiga Harimau Asia.

Ia terletak dalam kawasan beriklim kebenuaan lembap dan subtropika lembap dengan rupa bumi yang banyak bergunung-ganang.

Bahasa rasmi Korea Selatan adalah bahasa Korea manakala tulisan rasminya ialah Hangul.

Sistem pentadbiran Korea Selatan adalah republik berpresiden.

Keluasan Korea Selatan adalah 100,210 km persegi manakala populasinya mengikut anggaran pada tahun 2010 adalah seramai 49 juta orang.

Mata wang yang digunakan di Korea Selatan ialah Won Korea Selatan (KRW).

Seoul, ibu negara Korea Selatan merupakan sebuah bandar yang istimewa dan ia diangkat sebagai bandar raya terbesar di Korea Selatan.

Bandar mega dengan populasi melebihi 10 juta itu merupakan kawasan metropolitan kedua terbesar di dunia.

Seoul menjadi salah satu destinasi pilihan utama pelancong kerana ia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Antaranya ialah MyeongDong NANTA Theatre, The War Memorial of Korea, Leeum Samsung Museum of Art, National Museum of Korea, Namsan Park dan N Seoul Tower.

Pasar terbesar di Korea Selatan iaitu Dongdaemun Market dan Myeongdong mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli-belah selain mempunyai butik-butik fesyen jenama antarabangsa.

Selain Seoul, Pulau Jeju menjadi lokasi tumpuan pelancong kerana mempunyai tempat-tempat menarik yang unik termasuk Loveland yang dicipta oleh graduan Universiti Hongik.

Jeju juga merupakan destinasi bulan madu popular kerana ia menghadirkan mood romantik ketika menyaksikan matahari terbit dan terbenam, iklim sederhana dan pantai berpasir yang indah.

Tasik Baeknok di atas Gunung Halla yang merupakan puncak tertinggi di Korea Selatan adalah lokasi yang dikunjungi oleh mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

Kimchi ialah sejenis makanan tradisional Korea Selatan iaitu sayur jeruk dengan pelbagai perasa. Ia merupakan hidangan kebangsaan Korea Selatan dan mempunyai ratusan jenis yang diperbuat daripada kubis, lobak putih dan timun.

-Kosmo!

Selasa, 18 Disember 2012

A&W

A&W sebenarnya adalah ringkasan untuk nama Roy W. Allen dan Frank Wright, pengasas restoran A&W yang pertama.

Restoran A&W pertama yang dibuka di Malaysia adalah pada tahun 1963.

Menu popular A&W ialah minuman A&W Root Beer Float dan Coney Dog.

-Kosmo!

Isnin, 17 Disember 2012

Sotong pontianak

Sejenis sotong ganjil yang digelar sotong pontianak kerana berada dalam spesies Vampyroteuthis infernalis. Sotong ini juga dikenali sebagai phylogenetic relic dan juga 'sotong dari neraka'.

Ia merupakan satu-satunya spesies dalam kategori Order Vampyromorpha yang ditemui pada tahun 1903.

Sotong itu mempunyai kedudukan tersendiri dalam kategori taksonomi dan memiliki ciri gabungan sotong kurita dan sotong biasa dalam satu kombinasi evolusi unik yang masih bertahan sejak berjuta-juta tahun yang lampau.

Ia berukuran 13 sentimeter dan hidup di lautan tropika yang bersuhu sederhana. Habitatnya adalah di kedalaman 600 hingga 900 meter yang mempunyai kandungan oksigen sangat rendah.

Sotong itu menggunakan matanya yang besar berukuran 2.5 sentimeter untuk mengesan sebarang pergerakan dan mengeluarkan sejenis dakwat berwarna biru gelap untuk mengelak daripada ditangkap oleh musuh.

Sotong itu juga didapati hanya memakan bangkai yang mereput di kawasan laut dalam dan gelap.

sumber: Kosmo!, AFP.

Jumaat, 14 Disember 2012

Tasik Mines

Tasik Mines merupakan bekas lombong Hong Fatt yang diberi nama oleh pendatang Cina bernama Chan Wing.

Selepas perlombongan dihentikan, lubang besar sepanjang dua kilometer dan satu kilometer lebar membentuk tasik sedalam kira-kira 200 meter yang dilihat pada hari ini.

Tasik bekas lombong bijih timah terbesar dunia seluas 60 hektar itu menjadi rumah kepada tiga ikan arapaima melebihi dua meter. Selain itu, banyak spesies ikan lain termasuk keli kelihatan berhampiran dengan jeti Palace of Golden Horses.

Ia meliputi sebahagian besar Mines Resort City yang dibangunkan hasil idea hartawan Tan Sri Lee Kim Yew pada akhir 80-an.

-Kosmo!

Rabu, 12 Disember 2012

B-Boy

B-Boy ialah gaya tarian jalanan yang berasal daripada budaya hip-hop generasi muda Amerika Afrika dan Latin di New York City sejak awal 1970-an.

Ia mendapat populariti di seluruh dunia khususnya Korea Selatan, Perancis, Rusia, Jepun dan Brazil.

Peserta gerak tari ini dipanggil B-Boy, B-Girl atau breaker.

Red Bull BC One diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Red Bull dan diadakan di negara-negara berbeza setiap tahun.

Ia mengumpul 16 peserta terbaik ke peringkat dunia selepas bersaing di peringkat negara dan rantau masing-masing.

Salah seorang peserta yang memegang rekod dunia ialah B-Boy Cico (gambar) menerusi gerakan memusing secara berterusan menggunakan satu tangan.

Cico memecahkan rekod dengan 27 kali pusingan tanpa henti.

-Kosmo!

Selasa, 11 Disember 2012

Tana Toraja

Tana Toraja terbahagi kepada dua pentadbiran iaitu di Makale (Tana Toraja) dan Rantepao (Toraja Utara).

Mula ditemui oleh Syarikat Hinda Timur Belanda pada tahun 1906.

Mempunyai keluasan kira-kira 3.2 kilometer persegi atau lima peratus daripada keluasan Selatan Sulawesi.

Ritual kematian lazimnya diadakan pada bulan Julai dan September iaitu selepas musim menuai padi.

Dianggarkan lebih 450,000 suku Toraja menetap di Tanah Toraja.

Sebahagian besar penduduknya beragama Kristian, Islam dan selebihnya menganut kepercayaan animisme.

-Kosmo!

Isnin, 10 Disember 2012

Port Dickson

Bandar Port Dickson mendapat nama daripada seorang pegawai tertinggi British, Sir John Frederick Dickson, yang begitu sinonim dengan ketenteraan sejak tertubuhnya kompeni perintis Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Mac 1933.

Legasi warisan tentera berterusan sehingga hari ini dan pada tahun 2009, bandar itu dengan rasminya diisytiharkan sebagai sebuah bandar tentera darat.

Selepas tertubuhnya kompeni perintis itu, Port Dickson telah melatih lebih 325,000 kaum dari seluruh negara yang kebanyakannya mengukir nama dalam sejarah negara. Ini termasuk Allahyarham Leftenan Adnan Saidi, yang meninggal dunia semasa mempertahankan negara daripada serangan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Sehingga kini, Port Dickson telah berkembang bersama-sama tentera darat melalui penubuhan beberapa institusi dan pusat latihan pasukan tentera darat serta Angkatan Tentera Malaysia.

-Kosmo!

Jumaat, 7 Disember 2012

Taman Wetland

Taman Wetland merupakan taman buatan manusia pertama di Malaysia dan yang terbesar di kawasan tropika dengan keluasan 197.2 hektar.

Habitat flora dan fauna yang ditumbuhi 32 spesies buah-buahan nadir, 32 spesies pokok hutan, 48 spesies tanaman hutan dan 45 jenis tanaman renek.

Taman Wetland juga menjadi habitat 12 spesies mamalia, 15 spesies serangga, 17 spesies ikan dan 39 krga daripada 108 spesies burung.

Ia turut berfungsi sebagai penebat banjir, sumber pembelajaran sains dan tempat penyelidikan serta kajian.

Taman Wetland menjadi penapis semula jadi bagi air sungai dari sekitar Putrajaya sebelum memasuki Tasik Putrajaya.

-Kosmo!, Perbadanan Putrajaya

Khamis, 6 Disember 2012

Basket Building, Ohio

Bangunan Basket Building yang terdapat di Longaberger Town, Newark, Ohio, Amerika Syarikat ini ialah ibu pejabat kepada sebuah syarikat pembuat bakul iaitu Longaberger Basket Company.

Sejarah bangunan itu bermula apabila pengasas syarikat iaitu Dave Longaberger memasang impian untuk membina sebuah pejabat berbentuk sebuah bakul gergasi.

Pembinaannya mengambil masa dua tahun. Impian Dave akhirnya terlaksana pada Disember 1997 apabila bangunan itu diperkenalkan buat pertama kali kepada umum.

Kos pembinaan bangunan tersebut adalah kira-kira RM90 juta.

Ia berkeluasan sehingga 16,722 meter persegi dan dibina di atas tapak seluas 10 hektar, bangunan itu mempunyai berat sekitar 8,000 hingga 9,000 tan.

Bangunan itu mempunyai ketinggian bangunan tujuh tingkat. Ia turut dilangkapi dua tangkai pemegang di bahagian atasnya yang diperbuat daripada tembaga seberat kira-kira 150 tan.

Setiap bahagian mempunyai tingkap yang memancarkan cahaya pada waktu malam. Ia merupakan antara mercu tanda yang sering dikunjungi pelancong di Ohio.

Pada tahun 1998, ia telah menerima Anugerah Pembinaan Ohio disebabkan sistem plaster sintetik yang digunakan.

-Kosmo!

Selasa, 4 Disember 2012

Pulau Bidong

Pulau Bidong terletak kira-kira 39 kilometer dari Kuala Terengganu.

Pulau Bidong merupakan tempat di mana 121 pelarian hanyut Vietnam pertama sampai pada Ogos 1978.

Ia kemudian menjadi pusat perlindungan bagi pelarian hanyut Vietnam sehingga tahun 1991.

Pulau Bidong pernah menempatkan sehingga 40,000 pelarian hanyut Vietnam pada tahun 1979.

Kira-kira 250,000 pelarian ada di pulau tersebut pada tahun 1991 sebelum dihantar ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis.

Seramai 4,535 bayi dilahirkan di Pulau Bidong semasa penempatan pelarian hanyut Vietnam.

Pulau Bidong kini menjadi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

-Kosmo!

Isnin, 3 Disember 2012

Ikan puyu

Ikan puyu turut dikenali dengan nama ikan betuk oleh orang Melayu dan dipanggil ikan karuk di Sabah.

Nama saintifik puyu ialah anabas testudineus.

Ia mempunyai kebolehan berhibernasi di dalam lumpur pada musim kemarau.

Ikan puyu hidup dalam berkumpulan dan kerap berhijrah.

Menu popular menggunakan puyu ialah masak berlada, pekasam, asam pedas, lemak rebung, singgang dan masak sambal.

-Kosmo!

Jumaat, 30 November 2012

Panda

Panda ialah haiwan jenis mamalia yang berspesies omnivor.

Ia makan pucuk buluh dan mampu makan 12.5 kilogram (kg) buluh dalam tempoh 12 jam setiap hari.

Habitat panda ialah hutan konifer di kawasan pergunungan yang ditumbuhi pokok buluh.

Purata jangka hayat seekor panda di hutan ialah selama 20 tahun.

Saiz seekor panda boleh mencecah sehingga 1.5 meter manakala beratnya boleh mencecah sehingga 136 kilogram.

Panda diklasifikasikan sebagai haiwan terancam.

-Kosmo!, www.animals.nationalgeographic.com

Khamis, 29 November 2012

Enid Blyton

Enid Blyton, seorang penulis buku cerita kanak-kanak berbangsa Inggeris juga popular dikenali Mary Pollock pada abad 20-an.

Sebagai pengarang buku kanak-kanak paling popular di dunia, beliau telah menulis banyak cerita kanak-kanak berdasarkan pelbagai karakter.

Beliau termasuk dalam Enam Penulis Popular di Dunia dan karya beliau diterjemah lebih 3,400 bahasa serta didaftar dalam data terjemahan milik UNESCO.

Salah satu karakter terkenal beliau adalah Noddy, yang ditujukan untuk pembaca yang masih tahap awal atau anak-anak berumur empat hingga tujuh tahun.

Beliau juga menampilkan banyak buku bersiri antara yang popular ialah Famous Five (21 novel, 1942 hingga 1963), Five Find-Outers and Dog (15 novel, 1943 hingga 1961) dan The Secret Seven (15 novel, 1949 hingga 1963).

Buku Enid Blyton telah terjual lebih dari 600 juta cetakan.

Lebih dari sejuta cetakan Lima Sekawan terjual setiap tahun.

Bukunya telah diterjemahkan kepada lebih 90 bahasa.

Dalam Penghargaan Buku Costa 2008, Enid Blyton ditetapkan sebagai pengarang yang paling dicintai, melampaui Roald Dahl, J.K. Rowling dan Shakespeare.

Beliau menulis lebih dari 753 buku selama lebih dari 45 tahun kariernya dengan rata-rata 16 judul buku setiap tahun.

-Kosmo!

Rabu, 28 November 2012

Republik Sudan Selatan

Presiden Republik Sudan Selatan ialah Salva Kiir Mayardit.

Republik Sudan Selatan memperolehi kemerdekaan pada 9 Julai 2011.

Lagu kebangsaan Republik Sudan Selatan berjudul South Sudan Oyee!

Ibu negara Republik Sudan Selatan ialah Juba.

Keluasan Republik Sudan Selatan ialah 619,745 kilometer persegi.

Bahasa rasmi bagi Republik Sudan Selatan ialah bahasa Inggeris manakala bahasa setempat yang diiktiraf ialah seperti bahasa Arab, Juba, Dinka, Nuer, Zande, Bari dan Shilluk.

Kumpulan etnik yang terdapat di Republik Sudan Selatan ialah seperti Dinka, Nuer, Bari, Lotuko, Kuku, Zande, Mundari, Kakwa, Pojulu, Shilluk, Moru, Acholi, Madi, Lulubo, Lokoya, Toposa, Lango, Didinga, Murle, Anuak, Makaraka, Mundu, Jur, Kaliko dan lain-lain.

Mata wang bagi Republik Sudan Selatan ialah Paun Sudan (SDG).

Hampir setengah abad, 48 juta rakyat republik ini menderita. Selepas berjaya keluar daripada cengkaman British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1956, pergolakan menjadi bertambah rumit.

Setelah lama bergelut, akhirnya atas permintaan rakyatnya, Sudan dibahagi kepada Sudan Utara dan Sudan Selatan. Ini disebabkan kedua-dua negara itu mempunyai pegangan agama dan jati diri yang berbeza.

Pada masa yang sama, Sudan Selatan diisytiharkan kemerdekaan sekali gus menjadi negara ke-196 jika kiraan mengambil kira Republik Taiwan yang masih belum mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat.

Kemerdekaan tersebut dicapai hasil penyerahan referendum daripada Pengerusi Suruhanjaya Referendum Sudan Selatan, Mohammed Ibrahim Khalil kepada Presiden Sudan, Omar Hassan Ahmad al-Bashir di ibu kota Khartoum pada 7 Februari tahun lalu.

Secara rasmi Sudan Selatan diiktiraf sebuah negara berdaulat dan merdeka pada Julai 2011. Juba dijadikan ibu kota negeri itu.

-Kosmo!

Selasa, 27 November 2012

Terowong SMART

Terowong SMART mula dibuka pada tahun 2007.

Ia mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan bermula Januari 2003.

Kos pembinaan Terowong SMART adalah sebanyak RM1.93 bilion.

Terowong SMART sepanjang 9.7 kilometer tetapi laluan untuk kenderaan hanya 3.3 kilometer.

Terowong bermula di Kampung Berembang berdekatan dengan Sungai Klang di Ampang dan berakhir di Taman Desa berdekatan Sungai Kerayong di Salak Selatan.

Terowong SMART berfungsi mengelak banjir kilat di ibu negara akibat pertembungan air dari Sungai Klang dan Sungai Ampang.

Ia juga turut berfungsi mengurangkan masalah kesesakan trafik di antara Bulatan Kampung Pandan dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban di Sungai Besi.

Terowong SMART merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.

Ia direka bentuk bagi kegunaan kenderaan ringan dengan ketinggian maksimum dua meter serta had laju yang ditetapkan adalah 60 km/j.

Motosikal serta kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dibenarkan melalui terowong tersebut.

-Kosmo!, state.water.gov.my/scc/index.php

Isnin, 26 November 2012

Barangan kristal

Suhu kristal selepas keras dianggarkan antara 800 hingga 900 darjah Celsius. Ia masih lagi mampu membakar kertas yang disentuh pada kristal.

Antara teknik yang digunakan dalam penghasilan kristal seperti hand-shaping, sand-blasting, flame-working, anyaman, solid dan quiling.

Biasanya kristal yang telah digunting dalam proses tiupan kaca dan jatuh di lantai boleh dilebur dan digunakan semula.

Pembuat kristal boleh menyiapkan produk paling cepat dalam tempoh seminit dan paling lambat dua minggu mengikut tempahan.

Untuk barangan kristal seperti pinggan yang dihias dengan tulisan khat, ia menggunakan teknik sand-blasting ke atas pinggan kristal yang telah disejukkan selama sehari untuk menghasilkan kaligrafi di permukaannya.

-Kosmo!

Jumaat, 23 November 2012

Air terjun Sekayu

Air terjun Sekayu terletak di Kuala Berang, Terengganu.

Kira-kira 56 kilometer dari bandar Kuala Terengganu dan 16 kilometer dari pekan Kuala Berang, Terengganu.

Air terjun ini termasuk dalam kawasan hutan simpan Hulu Terengganu.

Terdapat tiga tingkat air terjun yang membentuk kolam-kolam mandi semula jadi.

Terdapat kemudahan rekreasi di Air Terjun Sekayu seperti tapak perkhemahan, calet, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat dan surau.

Kaya dengan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat dari segi perubatan.

Pengunjung juga boleh berjalan di dalam hutan (jungle trekking) melalui jalan yang telah ditetapkan.

-Kosmo!

Khamis, 22 November 2012

Planet Zuhrah

Planet Zuhrah atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Venus ialah planet kedua terdekat dengan matahari, dengan melengkapkan pusingan orbit 224.7 hari (bumi 365 hari).

Nama Zuhrah ini diambil daripada bahasa Arab bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja seakan-akan bunga.

Zuhrah dianggap sebagai planet kembar Bumi kerana saiz, jisim, isipadu dan ketumpatannya yang hampir sama.

Planet Zuhrah berputar dari timur ke barat, berbeza dengan Bumi dari barat ke timur.

Tekanan udaranya 90 kali ganda lebih kuat daripada tekanan di Bumi dengan suhu mencapai 480 darjah Celsius.

-Kosmo!, www.astronomes.com

Rabu, 21 November 2012

Alat kawalan jauh televisyen pertama di dunia

Eugene Polley
Alat kawalan jauh televisyen pertama di dunia dicipta oleh Eugene Polley pada tahun 1955.

Alat kawalan jauh televisyen itu diberi nama Flash-Matic yang memudahkan penggemar televisyen melayari saluran selama berjam-jam tanpa perlu bangkit dari sofa mereka.

Pada mulanya, alat tersebut dianggap sebagai barangan mewah namun ia menjadi sebahagian keperluan era masa kini apabila penonton disajikan dengan ratusan siaran televisyen.

Eugene Polley ialah seorang jurutera dan salah seorang pengurus di Zenith Electronics, syarikat yang mengeluarkan Flash-Matic.

Eugene Polley dilahirkan di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat pada 29 November 1915 dan meninggal dunia pada 20 Mei 2012 ketika berusia 96 tahun.

Flash-Matic, alat kawalan jauh yang pertama
sumber: Kosmo!

Selasa, 20 November 2012

Kayu gaharu

Nama saitifik bagi gaharu ialah Aquilaria Malaccensis. Beberapa spesies lain dalam genus Aquilaria turut dikenali sebagai gaharu.

Pokok gaharu telah diwartakan sebagai spesies terancam dan pemburuan pokok gaharu liar adalah diharamkan.

Semua bahagian pokok gaharu seperti batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya boleh digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik.

Pokok gaharu boleh ditemui di Bangladesh, Bhutan, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

Di Malaysia, masyarakat Orang Asli biasanya akan masuk jauh ke dalam hutan untuk mengambil pokok gaharu. Namun, dalam kawasan hutan rizab, pengambilan secara sembarangan adalah dilarang.

Mengikukt kajian, 400 pokok gaharu boleh ditanam di kawasan seluasa 0.4 hektar dan boleh menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.8 juta.

Apabila mencapai usia tujuh hingga 10 tahun, pokok gaharu mempunyai nilai antara RM5,000 hingga RM20,000 sepokok.

Kajian mengenai kesesuaian penanaman pokok gaharu sedang dijalankan oleh beberapa agensi termasuk Lembaga Getah Malaysia. Kajian itu untuk mengenal pasti sama ada ia dapat menjadi tanaman sampingan di kebun kelapa sawit dan getah bagi menjana pendapatan alternatif kepada pekebun kecil.

-Kosmo!, www.gaharu.com.my

Isnin, 19 November 2012

Kumbang Merah Palma


Kumbang merah palma tergolong dalam kategori Coleoptera dan Curculionidae dan dipercayai berasal dari kawasan Tropika.

Kumbang Merah Palma, Red Palm Weevil (RPW) atau nama saintifiknya Rhynchophorus ferrugineus Olivier adalah serangga perosak utama kepada tanaman daripada keluarga palmae.

Kumbang betina bertelur pada umbut pokok, pangkal pelepah atau pada luka-luka yang terdapat pada pokok.

Boleh menghasilkan lebih 250 telur pada satu-satu masa.

Larva yang menetas mengorek ke dalam batang sambil memakan tisu pokok dan lama kelamaan pokok akan mati.

Serangan akan cepat merebak ke pokok-pokok berdekatan.

Kumbang dewasa tertarik kepada pokok palma sihat dan juga yang rosak atau yang mati.

Semua peringkat kumbang ini (telur, larva, pupa dan dewasa) hidup dalam pokok kerana kitaran hidup tidak boleh berlaku di luar pokok.

Kumbang betina mengorek tisu pokok untuk bertelur dengan purata 250-300 biji dan mengambil masa dua hingga lima hari untuk menetas.

Larvanya akan mengorek tisu lembut seperti pucuk pokok, umbut pokok atau pangkal pelepah daun pada pokok matang atau batang pokok palma yang muda atau tisu reput pada pokok palma yang mati.

Larva dewasa akan menjadi pupa dalam kokun yang terdiri daripada serat palma di dalam tisu yang telah dikorek.

Kumbang dewasa berwarna perang kemerahan dapat hidup selama dua hingga tiga bulan dengan makan tisu pokok, mengawan beberapa kali kemudian bertelur.

RPW lebih tertumpu menyerang kawasan penanaman atau bahagian pokok yang muda tetapi boleh menyerang pokok yang berusia lebih 15 tahun.

- Kosmo!, Artikel Serangga perosak jejas industri tani, BH 1 Disember 2012

Jumaat, 16 November 2012

Babi hutan

Nama saintifik bagi babi hutan ialah sus scrofa.

Ia membiak di kawasan tanah pamah dan berdekatan air.

Berat seekor babi hutan mampu mencapai 50 hingga 300 kilogram dan panjang badan 1 hingga 1.8 meter.

Babi hutan bergerak dalam kumpulan yang besar antara lima dan 20 ekor.

Babi hutan mampu melahirkan empat hingga lapan ekor anak setiap kali beranak.

Antara makanan babi hutan termasuk kacang, buah beri, akar, ubi, bangkai, sampah, serangga, reptilia kecil, anak rusa dan kambing.

-Kosmo!, www.wildlife.gov.my

Isnin, 12 November 2012

Negara yang memiliki seni wayang menggunakan bayang-bayang

Di Tanah Besar China dan Taiwan wayang kulit dikenali sebagai pi ying xi (diperbuat daripada kulit), zhi ying xi (diperbuat daripada kertas), zhong guo ying xi (teater bayang-bayang).

Di Perancis, wayang kulit dikenali sebagai ombres chinoises.

Di India, wayang kulit dikenali sebagai togalu gombeyaata.

Di Indonesia (Pulau Jawa dan Bali) dan di Malaysia wayang kulit juga dikenali sebagai wayang kulit.

Di Kemboja dan Thailand, wayang kulit dikenali sebagai nang yai.

Di Turki, wayang kulit dikenali sebagai Karagoz dan Hacivat.

-Kosmo!

Rabu, 7 November 2012

Pokok berembang

Pokok berembang atau nama saintifiknya, sonneratia caseolaris antara pokok bakau yang terkenal di Kuala Selangor.

Ia menjadi lokasi utama kelip-kelip jantan mencari pasangannya, kelip-kelip betina untuk berkongregasi. Buahnya pula menjadi makanan kepada tuntung laut.

Kelip-kelip yang ada di Malaysia dikategorikan kepada empat spesies iaitu pteroptyx, luciola, colophotia dan lychnuris.

Di Kuala Selangor, kelip-kelip yang terdapat di sana terdiri daripada spesies pteroptyx tener.

-Kosmo!

Selasa, 6 November 2012

Pasar Minggu Satok

Pasar Minggu Satok di Kuching, Sarawak turut menawarkan pelbagai jenis hasil pertanian, kraftangan, tekstil, makanan tempatan, bunga-bungaan serta hasil industri kecil dan sederhana sebagai bahan jualan.

Pasar tersebut sudah beroperasi sejak tiga dekad lalu.

Kebanyakan peniaga hasil hutan di Sarawak terdiri daripada orang Bidayuh yang datang dari kawasan luar bandar seperti Kampung Annah Rais dan Kampung Benuk di Padawan.

Selain itu, peniaga dari luar Kuching seperti Bau, Sematan, Lundu, Siburan dan Asajaya terdiri daripada golongan wanita.

Golongan peniaga ini biasanya akan tidur di pasar pada setiap hari Sabtu dan Ahad semata-mata untuk menjalankan perniagaan.

Di pasar itu, hubungan mereka ibarat sebuah keluarga dan saling tolong-menolong. Jika ada rakan peniaga yang ingin berehat atau ke tandas, mereka akan membantu melayan pelanggan yang datang.

-Kosmo!

Isnin, 5 November 2012

Kampung Sungai Ruil

Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata merupakan salah satu daripada 27 kampung Orang Asli yang terdapat di daerah Cameron Highlands, Pahang.

Mengikut bancian oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), negeri Pahang mencatatkan jumlah penduduk Orang Asli paling ramai iaitu 50,792 orang diikuti Perak dengan jumlah 42,841 orang.

Perkampungan yang mempunyai 1,000 penghuni itu sudah tidak lagi menjalankan aktiviti harian secara tradisional. Mereka tidak berburu, bercucuk tanam ataupun membasuh baju di sungai. Semuanya serba moden memandangkan sebahagian besar penduduk bekerja di sekitar Cameron Highlands.

-Kosmo!

Jumaat, 2 November 2012

Pitbull

Pitbull ialah antara jenis anjing yang dikatakan agresif.

Tiga jenis anjing Pitbull iaitu American Pitbull Terrier, Staffodshire Terrier dan Staffodshire Bull Terrier.

Haiwan ini dikatakan sukar dijangka dan baka ini kerap menyerang mangsa walaupun tiada unsur provokasi dilakukan.

Anjing Pitbull menjadi ketakutan rakyat Amerika Syarikat kerana dari tahun 2005 hingga 2011 seramai 128 rakyat negara itu terbunuh diserang anjing baka Pitbull.

Kecenderungan haiwan ini menyerang penjaganya sendiri sangat tinggi.

Anjing Pitbull juga berpotensi menyerang haiwan-haiwan lain yang berada berhampiran dengannya.

Lesen perlu dipohon untuk memelihara anjing jenis Pitbull.

-Kosmo!

Khamis, 1 November 2012

Helang

Helang Botak
Helang adalah seekor burung karnivor yang besar dan kuat.

Helang mempunyai paruh yang kuat yang dapat mengoyak daging dengan mudah.

Helang juga mempunyai sepasang kaki dan kuku yang kuat yang dapat menangkap dan mencengkam mangsanya.

Helang juga mempunyai pandangan yang tajam dan mampu mengesan mangsanya walaupun daripada jarak yang begitu jauh dan tinggi.

Helang mampu terbang lebih tinggi daripada burung-burung lain.

Helang juga mampu meluncur laju di angkasa.

Helang biasanya membina sarang di atas pokok yang tinggi atau di lereng-lereng bukit yang tinggi.

Sarang burung helang dibina menggunakan ranting-ranting kayu.

Helang Emas
Helang bertelur dalam jumlah sebiji hingga tiga biji setahun.

Helang jantan dan betina akan mengeramkan telur-telur mereka secara bergilir-gilir.

Mereka juga akan bersilih ganti untuk keluar memburu dan mencari bahan-bahan untuk membuat sarang.

Didapati bahawa helang yang dominan adalah helang betina.

Helang betina yang dewasa lazimnya bersaiz lebih besar daripada helang jantan.

Jangka hayat seekor helang dianggarkan sepanjang 20 tahun, dan ada juga yang menjangkau usia 30 tahun.

Helang biasanya bergantung kepada bangkai yang telah reput. Mereka juga memburu haiwan yang hidup.

Mereka akan terbang rendah dan menangkap mangsa menggunakan cengkaman kuku mereka.

Cengkaman seekor helang 10 kali lebih kuat daripada cengkaman manusia.

Banyak negara telah menjadikan burung helang sebagai lambang atau jata negara mereka.

Terdapat banyak spesies burung helang tetapi cuma tiga spesies yang paling dikenali.

Helang Harpy
Spesies-spesies itu adalah helang botak, helang emas dan helang Harpy.

Burung helang botak mendapat namanya kerana bulu putih yang terdapat di sekeliling tengkuknya dan di kepalanya.

Helang botak hanya terdapat di Amerika Utara.

Ia tinggal di atas pokok yang tinggi yang berhampiran sungai.

Helang botak makan ikan.

Sarang burung helang botak beratnya menyamai 40 kampit simen dan lebarnya 274 sentimeter.

Sarang burung helang botak mampu mencapai ketinggian 475 sentimeter kerana burung helang botak akan menambah bahan-bahan di sarangnya setiap tahun.

Tinggi seekor burung helang botak dewasa ialah 91 sentimeter manakala panjang sayapnya adalah 243 sentimeter.

Berat seekor helang botak dewasa ialah 6 kilogram atau lebih.

Pada tahun 1782 burung helang botak telah dipilih sebagai burung kebangsaan Amerika Syarikat.

Ia dipilih kerana keagungannya, keindahannya dan keberaniannya.

Burung helang emas menyamai seekor burung helang botak yang masih muda.

Burung helang emas mempunyai bulu pelepah yang meliputi kakinya manakala burung helang botak tidak mempunyai bulu di kaki.

Burung helang emas boleh ditemui di kawasan yang beriklim sejuk seperti di utara Kanada.

Helang emas memakan tikus dan haiwan kecil yang lain.

Saiz helang emas boleh menjangkau 91 sentimeter dan beratnya 7 kilogram.

Burung helang emas membina sarangnya di kawasan bukit berbatu yang tinggi.

Burung helang Harpy merupakan burung helang yang terbesar dan terkuat di dunia.

Burung helang Harpy boleh ditemui di kawasan tropika di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Helang Harpy boleh membesar sehingga 122 sentimeter dan seberat 9 kilogram.

Panjang sayap mereka lebih daripada 200 sentimeter.


-New Straits Times.




Rabu, 31 Oktober 2012

Pulau Pandan dan Gunung Daik

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.


Jika ada yang beranggapan bahawa Pulau Pandan dan Gunung Daik dalam bait pantun di atas hanya rekaan semata-mata, hakikatnya kedua-dua tempat tersebut wujud.

Gunung Daik yang terletak di Pulau Lingga, perhatikan puncaknya yang bercabang tiga, imej dari asahjaya.wordpress.com
Gunung Daik tersergam gagah di Lingga (Indonesia) atau nama gelarannya Bonda Tanah Melayu manakala Pulau Pandan yang kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan herba termasuk daun pandan terletak di tengah-tengah laut.

Gunung Daik terletak 1,165 meter dari paras laut dan mempunyai tiga puncak atau bercabang tiga.

Tiga puncak gunung tersebut namanya Daik, Pejantan dan Cindai Menangis. Sehingga hari ini tiada siapa yang dapat sampai ke tiga-tiga puncak tersebut kerana ia terlalu curam.

sumber: Artikel Menjejak masyarakat Melayu Riau-Lingga tulisan Fadzli Ramli, Kosmo! 12 Jun 2012.

Selasa, 30 Oktober 2012

KidZania

KidZania berasal dari Mexico dan ia ditubuhkan pada tahun 1996 oleh Xavier Lopez.

Memiliki enam cawangan di seluruh dunia.

KidZania Kuala Lumpur bermula pada Jun 2009 apabila Themed Attractions dan Resorts Sdn. Bhd. milik Khazanah Nasional dan Boustead Curve Sdn. Bhd. (Boustead Curve) memeterai perjanjian perlesenan untuk membangunkan KidZania menerusi satu syarikat usahasama Rakan Riang Sdn. Bhd. (Rakan Riang).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan upacara hari pengasasan KidZania Kuala Lumpur pada 27 Februari 2012.

Terletak di Curve NX Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Boleh memuatkan lebih daripada 1,700 orang dalam satu-satu masa.

Menawarkan pembelajaran interaktif dan pengalaman hiburan untuk kanak-kanak di bandar tetapi bersaiz kanak-kanak.

Hanya untuk kanak-kanak berusia empat hingga 14 tahun.

Tawar 90 aktiviti daripada 60 syarikat yang menyertai.

Yuran masuk bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun (RM35), kanak-kanak empat hingga 14 tahun (RM55) dan dewasa RM35.

-Kosmo!

Rabu, 24 Oktober 2012

Katak Damak Beracun

Katak damak beracun turut dikenali sebagai poison arrow frog (katak panah beracun) kerana puak-puak Amerindian menggunakan rembesan katak itu bagi meracun anak panah.

Bukan semua katak berbahaya, hanya tiga spesies berbahaya kepada manusia.

Paling berbahaya ialah golden arrow frog (Phyliobates terribilis).

Racunnya, batrachotoxin boleh membunuh binatang kecil dan manusia.

Golden arrow frog boleh ditemui di cerun barat Andes, Colombia.

-Kosmo!

Selasa, 23 Oktober 2012

Tawau

Tawau merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Keluasan bandar Tawau ialah 6,125 kilometer persegi.

Populasi penduduk di Tawau ialah seramai 381,736 orang.

Kepadatan penduduk di Tawau ialah 62 orang bagi setiap kilometer persegi.

Tawau bersempadan dengan Kalimantan (Indonesia), Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Terdapat 10 buah mukim di daerah Tawau. Bilangan kampung yang terdapat di Tawau ialah sebanyak 81 buah.

Tawau mempunyai dua buah Parlimen dan enam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara tarikan di Tawau seperti:
  • Sungai Balong Eko Resort
  • Bukit Gemok
  • Maliau Basin
  • Kelab Desa dan Golf Shan-Shui
  • Taman Negara, Tawau
  • Pasar Tawau Tanjung
  • Muzium Koko Teck Guan

Pasar Tanjung

Pasar Tanjung Tawau dibina oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dengan kos sekitar RM25 juta.

Ia siap dibina pada bulan Jun 1999 dan beroperasi tiga bulan kemudian.

Pasar ini terbahagi kepada tiga tingkat yang menempatkan 6,000 gerai dilengkapi kemudahan surau dan tandas.

Selain ikan bilis, udang kering merupakan salah satu makanan laut yang sangat popular di Tawau. Udang kering dijual pada harga antara RM27 hingga RM22 sekilogram mengikut gred.

Panorama seluruh bandar Tawau dan keindahan laut yang membiru dengan kapal yang berulang-alik di pelabuhan Tawau boleh dilihat dari ruang makan di tingkat paling atas.

-Kosmo!

Jumaat, 19 Oktober 2012

Oman

Ibu negara Oman ialah Muscat.

Bahasa rasmi yang digunakan di Oman ialah bahasa Arab.

Populasi penduduk Oman seramai 3,300,600 (termasuk warga asing) yang direkodkan pada Julai/Ogos 2008.

Keluasan negara Oman ialah seluas 309,500 kilometer persegi manakala keluasan pinggir pantai negara Oman ialah 2,092 kilometer.

Oman bersempadan dengan negara Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Yemen.

Antara masyarakat yang menjadi penduduk Oman ialah masyarakat Kumzari.

Perkampungan Kumzar terletak di utara Oman iaitu di bahagian utara Semenanjung Musandam.

Orang Kumzari hidup di tepi pantai Kumzar, Khasab dan Diba.

Lokasinya yang sukar diakses menyebabkan orang Kumzari kekal terpencil dan menjalani kehidupan agak primitif.

Orang Kumzari menggunakan bahasa yang mempunyai kaitan dengan bahasa Parsi dan pengaruh bahasa Arab.

Dalam penampilan, orang Kumzari menyerupai orang Arab. Mereka mempunyai fizikal yang rendah, gempal dengan rambut hitam serta berkulit gelap.

Kebanyakan orang Kumzari merupakan nelayan walaupun mereka turut menggembala kambing dan biri-biri serta menanam pokok kurma pada musim panas selain menjadi kelasi, pembuat bot, pedagang dan tukang.

Diet utama orang Kumzari ialah kambing, susu, keju, ikan, makanan salai, makanan dalam tin dan kopi juga diambil secara tetap.

Golongan lelaki Kumzari membina rumah, menjalankan aktiviti pertanian manakala golongan wanitanya pula memproses hasil pertanian selain membuat tugas domestik seperti membawa air, memasak dan menjahit.

Rumah orang Kumzari dibina berdekatan antara satu sama lain.

Rumah mereka diperbuat daripada batu dengan bumbung rata dan mempunyai laman yang kecil. Seluruh kampung dikelilingi gunung-gunung yang tinggi.

Orang Kumzari mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

-Kosmo!

Khamis, 18 Oktober 2012

Wanita-wanita ternama dalam sejarah

Nur Jahan

Begum Nur Jahan merupakan seorang Maharani India sewaktu zaman Dinasti Mughal. Turut dikenali sebagai Noor Jahan, Nur Jehan atau Mehr-un-Nisaa, baginda ialah isteri yang kedua belas kepada Maharaja Jagangir, setelah kematian isterinya yang terdahulu. Maharaja Jangangir merupakan seorang yang kaki botol dan ketagih candu serta mudah dipengaruhi. Nur Jahan telah menggunakan kesempatan ini untuk berkuasa di sebalik tampuk pemerintahan. Maharaja Jangangir juga telah mencetak nama Nur Jahan kepada matawang negara. Nur Jahan adalah salah seorang wanita yang paling berkuasa pernah memerintah India secara kuku besi.


Catherine the Great

Catherine the Great ialah Maharaja Russia. Baginda juga merupakan pemerintah wanita yang paling lama memerintah Russia sejak kemangkatan suami baginda iaitu Peter III pada 1762 sehingga kemangkatan baginda pada 17 November 1796. Zaman pemerintahan Catherine the Great dikenali sebagai Era Catherine dan dianggap sebagai Zaman Keemasan Russia. Sewaktu zaman pemerintahannya, Russia telah menambah sempadannya dan bersekutu bersama tentera British menjadikan Catherine the Great seorang wanita yang dikagumi.


Margaret Thatcher

Margaret Hilda Thatcher dilahirkan pada 13 Oktober 1925. Beliau ialah anak kepada seorang paderi Methodist tempatan. Margaret Thatcher kemudian dikenali sebagai Baroness Thatcher. Beliau menjadi wanita yang pertama dan satu-satunya yang pernah menjadi Perdana Menteri Britain dan Ireland Utara sejak 4 Mei 1979 sehingga 28 November 1990. Margaret telah memperkenalkan dasar penswastaan dan dia kemudian digelar sebagai 'Wanita Besi' (Iron Lady). Gelaran tersebut telah diberikan oleh seorang wartawan Soviet atas dasarnya yang tidak bertolak ansur manakala cara pentadbirannya dikenali sebagai Thatcherism. Margaret Thatcher bersara pada tahun 1992 ketika berusia 66 tahun.


Maharani Adelaide

Adelaide iaitu Ratu Burgundy dan Maharani Holy Roman adalah balu kepada Duke Lothar di Burgundy. Setelah suaminya mati akibat diracun, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan. Dengan bantuan daripada pengikutnya, Adelaide berjaya melepaskan diri. Setelah menerima sepucuk surat, King Otto di Jerman telah menyelamatkan Adelaide dan meperisterikannya. Bagaimanapun, King Otto mangkat ketika muda dan Adelaide menjadi pentadbir sewaktu pemerintahan putera King Otto iaitu King Otto II. Malangnya King Otto II mangkat ketika berusia 30 tahun dan tampuk pemerintahan dipegang oleh cucunda Adelaide iaitu Otto III. Ketika berusia 60 tahun, Adelaide telah melepaskan jawatan sebagai pentadbir. Baginda mangkat pada tahun 999, permulaan kepada sebuah milennium baru.


Indira Gandhi

Indira Priyadarshini Gandhi ialah Perdana Menteri India yang ketiga. Beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri India sewaktu berusia 49 tahun. Beliau memegang jawatan tersebut selama tiga penggal iaitu daripada tahun 1966 sehingga 1977. Beliau dilantik semula pada tahun 1980. Pada tahun 1984 Indira Gandhi telah dibunuh sewaktu berada di tamannya. Indira Gandhi merupakan wanita pertama yang menjadi Perdana Menteri India, yang kedua menjadi ketua kerajaan (setelah Sirimavo Bandaranaike di Sri Lanka) dan Perdana Menteri wanita kedua yang paling lama berkhidmat. Perdana Menteri wanita yang paling lama berkhidmat di dunia ialah Margaret Thatcher.


Jiang Qing

Sebelum dikenali sebagai Jiang Qing, beliau ialah seorang pelakon bernama Lan Ping. Setelah mengahwini pemimpin China iaitu Mao Zedong, beliau menukar namanya kepada Jiang Qing. Sebagai Wanita Pertama bagi Republik Rakyat China, beliau telah memainkan peranan penting di dalam Revolusi Kebudayaan sejak tahun 1966 sehingga tahun 1976. Beliau telah menubuhkan sebuah pakatan politik radikal yang dikenali sebagai 'The Gang of Four'. Setelah kematian Mao Zedong pada tahun 1976, Jiang Qing mentadbir parti Komunis. Pada tahun 1980, The Gang of Four dikatakan bertanggungjawab atas kematian berjuta rakyat China. Jiang Qing dibebaskan awal daripada penjara kerana menghidap kanser tenggorok. Jiang Qing meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berusia 77 tahun.


Eva Peron

Maria Eva Duarte de Peron telah berkahwin dengan Presiden Argentina iaitu Juan Peron. Eva Peron merupakan isteri kedua Presiden Juan Peron. Eva yang turut dikenali sebagai Evita adalah Wanita Pertama Argentina sejak tahun 1946 sehingga kematiannya pada tahun 1952. Eva Peron popular atas ketegasannya memperjuangkan nasib buruh. Eva meneruskan jawatannya sebagai Menteri Buruh dan Kesihatan Argentina bagaimanapun beliau meninggal dunia ketika berusia 33 tahun akibat kanser. Beliau juga telah menubuhkan parti politik wanita Argentina yang pertama. Zaman kegemilangannya telah divisualkan di dalam filem berjudul Evita. Sehingga kini Eva telah menjadi lambang dan inspirasi kepada ahli politik wanita di Argentina.


Wangari Maathai

Pada tahun 2004, Dr. Wangari Maathai telah dianugerahkan Anugerah Nobel kerana perjuangannya untuk keseimbangan pembangunan, demokrasi dan keamanan di Afrika. Beliau juga telah memulakan gerakan 'Talipinggang Hijau' (Green Belt movement) yang bertujuan untuk menyediakan kehidupan mampan kepada masyarakat Kenya. Sebahagian daripada program itu adalah untuk membantu masyarakat memahami akibat daripada kerosakan alam sekitar dan sumbangannya kepada hakisan, kemarau, kebuluran dan kemiskinan. Pada tahun 2002 Wangari telah memenangi kerusi di dalam Parlimen Kenya dan telah menjadi penyokong terbesar hak wanita dan alam sekitar di Kenya.


Cleopatra

Cleopatra VII Philopator ialah anak ketiga kepada Ptolemy XII Auletes yang telah memerintah Mesir. Apabila baginda mangkat, Cleopatra dan adiknya Ptolemy XII telah memerintah Mesir bersama-sama. Cleopatra telah menggugurkan nama adiknya daripada setiap dokumen dan mencetak nama dan gambarnya sendiri pada matawang Mesir. Bagaimanapun, Julius Caesar telah menawan Mesir dan menjadikan Cleopatra pemerintah tunggal Mesir. Cleopatra kemudian melahirkan anak kepada Julius Caesar bernama Ptolemy Caesar. Pada tahun 44 S.M. Julius Caesar telah dibunuh dan Cleopatra telah dipaksa untuk pergi ke Rom bersama anaknya. Pada tahun 42 S.M. Marc Antony, pemerintah Rom telah jatuh cinta kepada Cleopatra bagaimanapun dia terpaksa mengahwini Octavia. Akhirnya, Marc Antony menceraikan Octavia dan Octavia mengistiharkan peperangan terhadap Mesir. Antony telah dikalahkan dan mencabut nyawanya sendiri. Cleopatra pula meminta seekor ular berbisa dibawa kepadanya dan dia memegang ular tersebut yang kemudian mematuknya. Cleopatra akhirnya mati kerana bisa ular tersebut.

-New Straits Times