Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 30 April 2012

Cara ular kesan getaran


Ahli neurobiologi dari Universiti Massachussets, Amerika Syarikat menemui cara untuk ular mendengar walaupun tidak mempunyai struktur telinga seperti manusia.

Ular mempunyai telinga pada binaan dalam cuma tidak dilengkapi dengan gegendang. Telinga tersebut disambung terus ke tulang rahang yang kesemua bahagian berada di atas tanah ketika menjalar.

Mereka menjalankan eksperimen terhadap ular jenis ball python dengan meletakkan elektrod pada kepala ular tersebut bagi mengesan sebarang tindak balas neuro.

Getaran bunyi pada udara dapat ditangkap oleh tulang ular seterusnya dapat dikesan oleh pendengaran ular tersebut.

Keputusan ujian tersebut telah diterbitkan dalam The Journal of Experimental Biology tetapi ia masih lagi perlu banyak eksperimen kerana terdapat 3,000 jenis ular lagi.

sumber: Kosmo!

Jumaat, 27 April 2012

Bumi mempunyai bulan kedua





Pada mulanya, ramai menyangka jasad putih titanium yang dilihat mengelilingi bumi pada tahun 2006 adalah sejenis roket terpakai.


Tetapi, ahli astrofizik dari Universiti Cornell, Amerika Syarikat mendakwa asteroid yang mengelilingi bumi bukan suatu kejanggalan kerana ia sentiasa datang dan pergi menandakan bumi ada bulan sementara kedua.

Penyelidik, Mikael Granvik, Jeremie Vaubaillon dan Robert Jedicke mencatatakan bilangan satelit bumi yang dilihat mengelilingi bumi. Walaupun sedikit tapi implikasinya daripada segi saintifik.

Menurut laporan yang diterbitkan dalam laman web Universiti Cornell, dalam satu-satu masa terdapat sekurang-kurangnya satu bulan berukuran diameter satu meter mengorbit bumi.

Daripada menghantar para angkasawan ke asteroid, mereka boleh menunggu sehingga bulan tersebut menghampiri bumi untuk dipintas untuk melakukan kajian.

sumber: Kosmo!

Khamis, 26 April 2012

Sugar Glider


Sugar Glider ialah sejenis haiwan kecil daripada keluarga possum.

Ia berasal dari bahagian timur dan utara Australia serta Tasmania.

Selain Australia, ia kini boleh ditemui juga di Papua New Guinea dan Indonesia.

Ia tidur pada waktu siang dan memburu serangga kecil pada waktu malam selain turut memakan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kini ia menjadi salah satu haiwan peliharaan yang popular selain kucing dan arnab.

sumber: Kosmo!

Rabu, 25 April 2012

Legoland Malaysia


Legoland Malaysia merupakan taman tema pertama dibina di Johor.

Legoland Malaysia dijadualkan dibuka pada hujung tahun 2012.

Legoland Malaysia disasarkan kepada kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun.

Legoland menawarkan lebih daripada 40 tarikan, permainan interaktif dan hiburan untuk seisi keluarga.

Ia merupakan Legoland keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.

Legoland Malaysia dibina di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, hab gaya hidup di Iskandar Malaysia.

Dibahagi kepada tujuh kawasan yang mana setiap satu kawasan direka untuk membolehkan pengunjung menikmati pengalaman menarik.

Tujuh kawasan tersebut yang memberikan pengalaman berbeza iaitu Beginning, Miniland, Castle, Xtreme, Imagination, Adventure dan Town dengan lebih 40 pusat tarikan.

Tarikan utamanya ialah Miniland yang menggunakan lebih 20 juta unit Lego bagi membina replika bangunan ikon terutama dari rantau Asia.

Antara yang dijangka dibina ialah Menara Berkembar Petronas, Taj Mahal, Angkor Wat dan patung singa Merlion yang menjadi identiti negara jiran, Singapura selain menara pencakar langit lain di dunia.

sumber: Kosmo!

Isnin, 23 April 2012

Bluberi


Pokok buah beri boleh didapati di negara Amerika Utara, Asia, Kanada dan Hemisfera Selatan. Buah tersebut memiliki sejarah penggunaan dari segi perubatan dalam kalangan masyarakat pribuminya sejak dulu lagi.

Bluberi dikenali sebagai buah super kerana khasiatnya untuk tubuh manusia.

Ia kaya dengan khasiat seperti magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, B2, B3, vitamin C, vitamin K dan serat.

Buah-buahan berkenaan memang kecil tetapi berkuasa untuk melawan penyakit mempunyai kandungan antioksidan tinggi yang memberi sokongan kepada kesihatan manusia tanpa kesan sampingan.

Buah tersebut membantu menghalang pembiakan beberapa jenis bakteria termasuk E.coli yang dikaitkan dengan jangkitan saluran kencing pada dinding saluran berkenaan.

Penyelidikan menunjukkan beri biru mempunyai keupayaan antioksidan paling tinggi untuk setiap sajian berbanding buah-buahan lain.

Bluberi dalam diet harian mampu memperbaiki daya ingatan golongan warga emas.

Beberapa kajian menunjukkan pengambilan bluberi membantu memberikan perlindungan kepada otak untuk menghalang kerosakan akibat serangan strok.

Bluberi merupakan buah yang kaya dengan khasiat antioksida semula jadi dan anti keradangan selain mampu memperlahankan proses nyanyuk dan kedutan pada kulit.

Ia tinggi flavanoid dan membantu melindungi seseorang daripada penyakit barah prostat, jangkitan saluran kencing dan katarak.

Antara cara mudah memakan buah itu ialah dengan yogurt.

sumber: Kosmo!

Rabu, 18 April 2012

Metanol


Metanol bersifat ringam meruap, tidak berwarna dan mudah terbakar serta mempunyai bau yang jelas.

Metanol dihasilkan secara anaerobik, metabolisme pelbagai jenis bakteria dan sentiasa wujud pada persekitaran.

Di atmosfera, ia mengoksida dengan bantuan udara, karbon dioksida dan cahaya.


Kegunaan metanol

Metanol dijadikan bahan kimia lain menjadi formaldehid menjadi produk plastik, plywood, cat dan bahan letupan.

Ia juga adalah bahan yang digunakan dalam aerosol dan gas LPG untuk memasak.

Metanol juga adalah bahan bakar api kenderaan.

Metanol juga menjadi bahan pelarut, antibeku dalam saluran paip dan sesendal.

Metanol digunakan dalam perawatan sisa air buangan.


Kesan buruk metanol

Metanol tulen pada kuantiti 10 mililiter boleh menyebabkan buta.

Kesan keracunan metanol adalah kemurungan dalam sistem saraf pusat, pening, loya, tidak sedarkan diri dan tidak boleh menentu koordinasi dengan baik.

sumber: Kosmo!

Selasa, 17 April 2012

India


India merupakan sebuah negara dengan keluasan 3,287,263 kilometer persegi dan negara ketujuh terbesar di dunia.

Populasi penduduk pada tahun 2011 mencecah 1.2 bilion (mengikut statistik jumlah keseluruhan adalah 1,210,193,422) dan merupakan negara yang mempunyai penduduk kedua terbesar di dunia .

Empat anutan utama penduduknya adalah Hindu, Buddha, Jainisme dan Sikhisme.

New Delhi merupakan ibu negara India tetapi bandar terbesar adalah Mumbai.

Negara ini mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

Kemudian pada 26 Januari 1950, ia diisytiharkan sebagai sebuah negara Republik.

Presiden India ialah Pratibha Patil manakala jawatan Perdana Menteri disandang oleh Manmohan Singh.

Sejak tahun 1991, India membuat pembaharuan ekonomi dengan mengurangkan kawalan kerajaan terhadap pelaburan dan perdagangan asing.

Rizab pertukaran asing telah nai dari RM17.6 bilion (AS$5.8 bilion) pada Mac 1991 kepada RM750 bilion (AS$247 bilion) pada September 2007.

Kadar peningkatan KDNK sebanyak 9.4 peratus sepanjang tahun 2006 hingga 2007, ekonomi India menjadi antara yang paling berkembang pesat di dunia.

KDNK India dari segi kadar pertukaran dolar AS ialah RM3,349 trilion (AS$1.103 trilion) menjadikannya ekonomi ke-12 terbesar di dunia.

Jika diukur dari segi kemampuan kuasa beli, India mempunyai KDNK keempat terbesar di dunia pada RM12,618 trilion (AS$4,156 trilion).

Pada tahun 2006, majalah Forbes menyiarkan 36 rakyat India termasuk dalam senarai orang paling kaya di dunia dengan nilai aset sebanyak RM668.5 bilion (AS$191 bilion).

Bagaimanapun, India masih berdepan dengan masalah kemiskinan penduduknya.

sumber: Kosmo!

Isnin, 16 April 2012

Masjid Kampung Kling


Masjid Kampung Kling terletak di Jalan Tukang Emas atau lebih dikenali sebagai Jalan Harmoni di Melaka.

Masjid itu dibina oleh pedagang-pedagang India Muslim semasa era pemerintahan Belanda pada tahun 1748.

Tapak masjid tersebut merupakan tapak asal bagi para pedagang India Muslim menunaikan solat sejurus tiba di Melaka sekitar kurun ke-14 dan ke-15 dahulu.

Pada asalnya, masjid itu dibina menggunakan kayu. Ia kemudiannya telah diruntuhkan dan digantikan semula dengan bahan binaan daripada batu-bata pada tahun 1872.

Kerja-kerja pengubahsuaian bumbungnya turut dilakukan pada tahun 1908 dan binaan itu terus kekal sehingga hari ini.

Masjid Kampung Kling direka bentuk mengikut seni bina masjid-masjid di kepulauan Sumatera, Indonesia yang banyak dipengaruhi dengan seni bina Hindu. Namun demikian, terdapat juga pengaruh budaya Cina pada bentuk menaranya yang seakan-akan struktur pagoda yang bertingkat-tingkat.

Pada tahun 1868, kawasan masjid itu dipagari tembok batu tinggi bagi melindunginya daripada dicerobohi dan pada masa yang sama menutup pandangan jalan di luarnya yang sibuk.

Pada tahun 1999, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan mengiktirafnya sebagai salah satu bangunan bersejarah di Melaka.

sumber: Kosmo!

Jumaat, 13 April 2012

Kekabu

Di hutan Malaysia terdapat kekabu hutan dinamakan Bombax.

Kekabu juga dikenali dengan nama kapuk.

Bantal atau tilam yang diisi dengan kekabu boleh bertahan sehingga 20 tahun tetapi perlu dijauhkan daripada air, dijemur dan dipukul dengan pemukul rotan.

Pokok kekabu sesuai ditanam di negara bercuaca monsun iaitu panas dan tengkujuh.

Di Semenanjung Malaysia, pokok kekabu banyak ditanam di Perak dan jarang ditemui di selatan tanah air.

Di Malaysia, pokok kekabu mencapai ketinggian 30 meter. Ketinggiannya boleh mencecah sehingga 40 meter di benua Amerika.

Pokok kekabu juga ditanam di Myanmar, India, Asia Tenggara, China dan Indochina.

Pokok kekabu berbuah dua kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Jun selama tiga bulan.

Pokok kekabu tidak tumbuh liar di Malaysia dan ia berasal dari bahagian tropika benua Amerika.

Biasanya sehari tiga hingga empat kilogram kekabu boleh diproses. Buah kekabu yang sudah masak seelok-eloknya dipetik dengan menggunakan galah panjang.

Petik bermaksud dahannya digegarkan atau digoncangkan dengan galah panjang supaya buah yang sudah masak akan luruh manakala yang mentah tidak akan luruh kerana masih liat.

Buah kekabu yang mengambil masa tiga bulan untuk matang dikait bagi mengelakkan ia kotor jika terjatuh ke tanah. Bagaimanapun, buah kekabu yang jatuh juga boleh digunakan.

Buah kekabu yang paling atas tidak dapat dipetik kerana pokoknya yang tinggi maka ia perlu ditunggu untuk gugur sendiri. Jika ia tidak gugur maka buah kekabu yang berwarna kehitaman boleh dipetik. Ia kemudian dijemur di tengah-tengah panas terik sehingga kulitnya kering.

Terdaoat dua jenis buah kekabu iaitu kurus dan panjang serta besar dan bulat. Jika pokok muda, buah kekabu boleh menjangkau hingga satu hasta.

Waktu yang paling baik untuk memproses buah kekabu ialah pada awal pagi ketika cuaca dan udara masih lembap dan tidak kering. Jika dilakukan pada waktu tengah hari, gentian kekabu akan berterbangan.

sumber: Kosmo!

Khamis, 12 April 2012

Jenis- jenis radiasi


1. Radiasi bukan mengion - contoh: inframerah, telefon bimbit, ketuhar gelombang mikro dan gelombang radio.
  • Boleh memanaskan tisu tetapi tidak boleh menyebabkan kanser.

2. Radiasi mengion - contoh: Sinar X, gamma, partikel alfa yang keluar daripada elemen radioaktif.
  • Berbahaya kerana ia memecahkan ikatan kimia dan menyebabkan kanser.

Risiko radiasi

Bahaya radiasi bergantung kepada tempoh dan kekuatan pendedahan serta rawatan.
  • 50 hingga 100 milisievert (mSv) - mengubah tindak balas kimia dalam darah.
  • 500 mSv - mual
  • 700 mSv - muntah-muntah
  • 750 mSv - rambut gugur (dalam tempo dua hingga tiga minggu)
  • 900 mSv - cirit-birit
  • 1000 mSv - pendarahan 
  • 4000 mSv - maut dalam tempo dua bulan jika tiada rawatan.
  • 10,000 mSv - kerosakan usus, pendarahan dalaman dan maut dalam tempoh satu hingga dua minggu.
  • 20,000 mSv - kerosakan saraf, pengsan dalam tempoh beberapa minit dan mati dalam masa beberapa jam atau hari. 

sumber: Kosmo!

Selasa, 10 April 2012

Loji Fukushima Daiichi


Loji Fukushima Daiichi yang terletak di persisiran pantai 240 kilometer arah timur laut Tokyo telah ranap kesan daripada gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011.

Berita melaporkan sebanyak empat kali letupan telah berlaku di loji tersebut menyebabkan bekalan elektrik di seluruh Jepun terganggu.

Tragedi itu merupakan krisis nuklear terburuk dalam tempoh 25 tahun. Sebelum ini, reaktor nombor empat, Loji Jana Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine telah meletup pada 26 April 1986.

Penilaian kerosakan loji jana kuasa Fukushima Daiichi yang dibuat pada tahun 2011 adalah 55 peratus di unit reaktor nombor satu, 35 peratus di reaktor nombor dua dan di reaktor nombor tiga pula sebanyak 30 peratus.

Hampir 11,000 orang penduduk di Okuma dan kira-kira 80,000 orang di wilayah terlibat tidak boleh pulang semula ke rumah masing-masing kerana radiasi tinggi.

Ia meninggalkan luka jiwa yang mendalam kepada penduduk di situ walaupun kebanyakan ruma mereka masih lagi dalam keadaan baik.

Tahun 2011, kerajaan Jepun mengisytihar Loji Jana Kuasa Nuklear Daiichi sebagai kawasan 'penutupan sejuk' tetapi Kementerian Alam Sekitar berkata, lebih kurang 2,400 kilometer persegi tanah di sekeliling loji perlu dinyah cemar terlebih dahulu.

sumber: Kosmo!

Jumaat, 6 April 2012

K2, gunung kedua tertinggi di dunia


K2 merupakan gunung yang kedua tertinggi di dunia dan terletak di Banjaran Karakoram, Himalaya.

Nama penuh K2 ialah Karakoram 2 dan setinggi 8,611 meter.

Rakyat tempatan menggelarnya Chogo Ri bermaksud gunung yang hebat.

Pendaki pertama yang mendaki gunung ini ialah Lino Lacedelli dan Achille Compagnoni pada tahun 1954.

sumber: wikipedia.

Khamis, 5 April 2012

André-Marie Ampère

André-Marie Ampère ialah seorang ahli fizik dan matematik Perancis. Beliau dilahirkan pada 20 Januari 1775 di Lyon, Perancis dan meninggal dunia pada 10 Jun 1836 di Marseille, Perancis.

André-Marie Ampère terkenal dengan penemuannya dalam bidang elektromagnet. Beliau telah berjaya mewujudkan hubungan antara bekalan elektrik dan kemagnetan dan menggabungkan mereka dalam satu bidang baru yang dipanggil elektromagnetism atau kaji gerak elektrik.

Pada 11 September 1820, Ampère mendengar tentang penemuan H.C. Orsted tentang jarum magnetik yang boleh diaktifkan oleh satu arus voltan. Seminggu kemudian, Ampère memperkenalkan teori versinya berdasarkan penemuan tersebut. Pada hari yang sama juga beliau menemui bahawa wayar-wayar selari membawa arus menarik atau menangkis satu sama lain. Penemuan ini kemudian menjadi asas kepada bidang mengkaji gerak elektrik.

Unit ukuran untuk mengukur arus elektrik dipanggil ampere atau ringkasnya amp. Ia dinamakan bersempena nama André-Marie Ampère.

sumber: wikipedia

Rabu, 4 April 2012

Rahsia kekuatan sarang labah-labah


Dengan menggunakan kaedah eksperimen, pemerhatian dan pemodelan komputer, para penyelidik yang diketuai oleh Markus Buehler dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat menemui jawapan kepada sebab sarang labah-labah boleh menjadi sangat kuat.

Mereka menemui kombinasi elemen-elemen unik seperti kandungan protein dan susunan kristal bersaiz nano selepas kajian secara mendalam dilakukan terhadap struktur molekulnya.

Sesawang terbahagi pada dua kategori iaitu sutera likat yang menyebabkan ia boleh diregang, melekit dan melekat untuk menangkap mangsa.

Satu lagi kategori adalah sutera seret yang bersifat kering dan kaku serta memberi sokongan pada strukturnya.

Ia berfungsi dengan mengorbankan bahagian yang mengalami daya tekanan berterusan bagi membolehkan bahagian lain tidak hilang fungsinya.

Kosmo!

Selasa, 3 April 2012

Misteri asal usul hantar bunga pada 14 Februari


Asal usul amalan menghantar kad, coklat dan bunga pada setiap 14 Februari pada hari Valentine mengikut kalendar Kristian Roman Katolik masih menjadi misteri.

Menurut laman ElCerritoPatch.com, terdapat banyak teori mengenai amalan itu.

Berdasarkan buku Anniversaries and Holidays, amalan menghantar bunga itu bermula daripada kepercayaan zaman pertengahan di Britain bahawa burung mula mencari pasangan pada 14 Februari.

Menurut World Book, burung memilih pasangan pada 14 Februari.

Buku itu memetik pemuisi Britain, Geoffrey Chauser menulis puisi pada 1300-an.

Puisi itu menyatakan, ini adalah hari Saint Valentine apabila setiap burung akan memilih pasangannya.

Sebelum ini, 14 Februari dikenali dalam kalendar agama Kristian Katolik sebagai hari kematian paderi bernama Saint Valentine yang dihukum mati oleh pemerintah Rom.

Ketika di penjara, Valentine menerima banyak surat daripada mereka yang bersimpati dengan nasibnya.

Dalam buku The Folklore of American Holidays menyatakan Maharaja Claudius II melarang askar-askarnya daripada berkahwin kerana dia percaya lelaki bujang akan menjadi askar yang baik.

Dia memenggal kepala seorang lelaki bernama Valentine pada 14 Februari kerana mengendalikan perkahwinan secara rahsia melibatkan askar-askar.

Menurut satu lagi dakwaan, Valentine jatuh cinta dengan anak perempuan ketua penjara berkenaan dan pada tanggal 14 Februari iaitu hari dia menjalani hukuman mati, Valentine menulis sepucuk nota kepada gadis itu yang mengandungi tandatangan, "Your Valentine".

Kematian Valentine dipercayai berlaku sekitar tahun 279 manakala pada tahun 496, Pope Gelasius I menamakan 14 Februari sebagai Hari Valentine.

Bagaimanapun, menurut agensi berita AFP, tarikh itu kemudian dipadamkan daripada kalendar Rom Am Saint pada tahun 1969 oleh Ketua Roman Katolik, Pope Paul VI.

sumber: Agensi, Kosmo!

Isnin, 2 April 2012

Plastinasi

Plastinasi merupakan kaedah pengawetan tisu biologi iaitu menggantikan cecair dan lemak di dalam tisu badan dengan menggunakan polimer atau dikenali sebagai cecair plastik.

Melalui kaedah ini, ia membolehkan pengawetan dilakukan ke atas tisu dan organ yang telah dikeluarkan daripada badan manusia.


Dr. Gunther von Hagens (gambar) memperkenalkan teknik plastinasi dalam mengawet tubuh manusia semasa bekerja di Institut Anatomi Universiti Heidelberg, Jerman pada lewat tahun 70-an.

Spesimen plastinasi yang diperkenalkan oleh Dr. Gunther von Hagens melalui syarikat Gubener Plastinate GmbH mendapat perhatian dunia terutamanya universiti-universiti dan institusi-institusi perubatan.

Dr. Gunther von Hagens dianggap sebagai Bapa Plastinasi.

Hasil karya plastination beliau dalam pameran Body Worlds di beberapa buah negara di dunia berjaya menarik minat ramai pengunjung.

Beliau telah menubuhkan Institut Plastination di Heidelberg, Jerman pada tahun 1993.

Terdapat lebih 40 makmal plastinan di 40 buah negara di seluruh dunia.

Dr. Gunther von Hagens dilahirkan di Skalmierzyce, Kalisch, Poland. Beliau merupakan ahli anatomi Jerman yang telah mempatenkan teknik plastinasi antara tahun 1977 hingga 1982.

Semasa zaman kanak-kanaknya, Dr. Gunther pernah tinggal di hospital selama enam bulan kerana tercedera. Sepanjang duduk di wad beliau telah meminati sains perubatan. Beliau memulakan pengajian perubatan di University of Jena pada tahun 1965.

Menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan dari perspektif Islam mayat orang Islam tidak boleh digunakan untuk diuji kaji biarpun untuk tujuan perubatan kerana perbuatan itu dianggap seperti menyeksa dan menyakiti mayat.

Mayat orang Islam juga tidak boleh diawet kerana hukumnya adalah haram di sisi Islam bagaimanapun pendermaan organ adalah diharuskan dengan syarat si mati mewasiatkannya.

sumber: Kosmo!