Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Khamis, 31 Mei 2012

Pendek sebab kurang genetik

Sebuah penyelidikan yang telah diterbitkan dalam American Journal of Human Genetics mendapati bahawa manusia yang pendek disebabkan oleh kesan kekurangan genetik.

Penyelidik percaya bahawa kehilangan beberapa rangkaian atau seksyen genetik memberi impak kepada ketinggian seseorang.

Dikenali sebagai Varian Salinan Nombor (CNV), genetik yang tidak normal mengalami pengubahsuaian dalam kromosom. Dalam kata lain, sel mempunyai lebihan atau kekurangan kepingan DNA.

Ketua penyelidik, Dr. Joel Hirschhorn berkata, walaupun banyak kemajuan dalam penemuan yang berkait dengan ketinggian dijumpai tetapi ia hanya menerangkan lebih kurang 10 peratus variasi dalam ketinggian manusia.

Sebanyak dua kajian melibatkan 12,000 orang dibuat di Amerika dan menemui kaitan antara kehilangan bahan genetik serta kekurangan pada ketinggian.

-Kosmo!

Rabu, 30 Mei 2012

Sotong boleh menyamar

Sarah Zylinski, penyelidik dari Universiti Duke, Amerika Syarikat menjumpai dua jenis sotong iaitu Japatella heathi dan Onychoteuthis banksii yang boleh melakukan penyamaran dengan menukar pigmen kulit serta merta.


Japatella heathi

Pigmen yang dikenali sebagai chromatophore itu membolehkan kedua-dua spesies sotong itu berubah menjadi warna legap.

Pada kedalaman 609 hingga 914 meter daripada permukaan laut, kebanyakan hidupan pemangsa menyerang mangsa dengan melihat bayang-bayang di sebalik cahay dari atas.


Onychoteuthis banksii

Dengan bertukar pada warna legap, sotong-sotong tersebut menjadi sebati dengan keadaan persekitarannya untuk proses penyamaran.

 Ketika eksperimen dijalankan pada tahun 2010, Dr. Zylinski telah memancarkan lampu diod pemancar cahaya (LED) biru terhadap spesimen kedua-dua hidupan itu. Membran sotong-sotong itu dengan pantas berubah daripada jernih menjadi legap.

 -Kosmo!

Selasa, 29 Mei 2012

Australia





Umum mengetahui bahawa Australia dibuka oleh Kapten James Cook namun beliau sebenarnya bukanlah orang pertama yang menemui benua yang terkecil dan pulau yang terbesar di dunia ini.


Australia telah pun ditemui oleh dua orang Eropah iaitu seorang pelayar Belanda bernama Willem Jansz dan seorang penjelajah Sepanyol bernama Luis Vaez de Torres pada tahun 1606, 164 tahun sebelum Kapten James Cook menemui Australia.

Benua Australia juga pernah dibayangkan oleh Ptolemy, seorang ahli geografi Greek pada kurun kedua masihi.  Ptolemy membayangkan bahawa terdapat sebuah benua yang terletak di selatan Asia dan melukis benua tersebut di atas peta dunia (Ptolemy juga ialah seorang pembuat peta).  Beliau menamakan benua tersebut Terra Australis Incognita yang bermaksud tanah selatan yang tidak dikenali.

Apabila Kapten James Cook, seorang ahli pelayaran Britain menemui Australia pada tahun 1770, beliau menamakan pulau tersebut sebagai Australia bersempena nama Terra Australis Incognita yang diilhamkan oleh Ptolemy.

Penduduk asal Australia ialah orang asli yang dikenali sebagai aborigines yang berhijrah dari Asia Tenggara kira-kira 16,000 tahun yang lalu.

sumber: Kamus Etimologi Fajar Bakti


Isnin, 28 Mei 2012

Yangon


Yangon ialah bekas ibu negara dan bandar terbesar di Myanmar.

Yangon dikenali dengan nama Dagon pada kurun ke-11 oleh Mon yang menguasai kawasan berkenaan pada tempoh itu.

Nama Dagon berasal dari sebuah perkampungan nelayan kecil yang terletak di tengah-tengah Pagoda Shwedagon.

Pada tahun 1755, Raja Alaungpaya yang memerintah Dagon menukar nama kepada Yangon.

Pada tahun 2010 dianggarkan populasi di Yangon mencecah 4,348,000 orang.

Etnik di Yangon terdiri daripada Bamar, Rakhine, Mon, Kayin, Burma Cina, Burma India dan Burma Anglo.

Selain Buddha, penduduk Yangon turut menganut agama Islam dan Kristian.

Ibu kota Myanmar telah dipindahkan dari Yangon ke Naypyidaw pada bulan November 2005.  Ia adalah sebuah kota di tengah-tengah belantara kira-kira 320 kilometer di sebelah utara Yangon.

Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah menyelar tindakan kerajaan Myanmar memindahkan pentadbirannya ke Naypyidaw kerana perpindahan tersebut menyukarkan pembangunan ekonomi dan mengganggu usaha penyelesaian masalah kestabilan politik.

Ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948, Yangon mewah dengan sumber asli dan lebih kaya berbanding Singapura.

Pada abad ke-20, Myanmar atau nama asalnya Burma merupakan salah satu negara terkaya di Asia dan menjadi pilihan pihak British membuka empayar.

Selepas menakluk Yangon pada tahun 1852 dan menukar nama kepada Rangoon, pihak British mula membangunkan bandar berkenaan menjadi tapak asas pentadbiran mereka dengan membina bangunan-bangunan mahkamah, Parlimen, taman untuk bersantai dan taman botani.

British telah membina Universiti Rangoon pada tahun 1878 sehingga ia menjadi sebuah universiti terkemuka di Asia.

Kegemilangan bandar Rangoon cukup menyerlah kerana ia menggabungkan idea dan kreativiti sejumlah perancang bandar British.

Malangnya, sebahagian besar bangunan di Rangoon telah rosak dan binasa semasa kedatangan Jepun pada Perang Dunia Kedua tetapi Myanmar berusaha mengekalkan empayar British selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Pada 8 Ogos 1988 telah berlaku mogok dan tunjuk perasaan besar-besaran di Myanmar bagi menuntut hak asasi dan demokrasi.

Demonstrasi tersebut bertujuan untuk menentang pemerintahan tentera yang menguasai Myanmar selama 25 tahun.

Pemimpin junta tentera, Jeneral Ne Win yang memegang kuasa sejak tahun 1958 mengarahkan tentera menembak rakyat yang sedang berhimpun itu, akibatnya dianggarkan kira-kira 10,000 orang telah terbunuh.

Dasar demokrasi dan hak asasi manusia yang tidak dipedulikan oleh kerajaan tentera mendatangkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).  Ini disusuli dengan tindakan junta tentera yang tegar membunuh dan memenjara beribu-ribu aktivis demokrasi gara-gara kalah pada pilihan raya tahun 1990.

Sebagai tanda protes dan memboikot sikap kejam junta tentera Myanmar, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menghentikan segala bentuk bantuan termasuklah bantuan daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Namun pemboikotan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak sedikitpun membimbangkan pemimpin junta, Jeneral Kanan Than Shwe sebaliknya menyelar negara seperti Amerika Syarikat yang sering mengkritik rekod hak asasi manusia di Myanmar.

Selepas 55 tahun mengamalkan dasar tutup pintu terhadap Myanmar. akhirnya Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk menjalinkan semula hubungan dengan Myanmar.

Pada 30 November 2011, setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton telah menemui Presiden Myanmar, Thein Sein, Menteri Luar Negara, Wunna Maung Lwin dan Ahli Tertinggi Parlimen di ibu negara, Naypyidaw.

Petikan dari artikel asal Kemuraman Politik Myanmar tulisan Izyan Liyana Mohd Darif, Kosmo! 6 Disember 2011

Jumaat, 25 Mei 2012

Mata fosil pelik 500 juta tahun

Para saintis Australia telah menemui sepasang mata seperti serangga pemangsa pelik prasejarah yang menawan lautan lebih daripada 500 tahun lalu.

Ia ditemui di batu-batu berdekatan Pulau Kanggaroo, Australia dengan ukuran tiga sentimeter (sm) dan 16,000 kanta individu menyelaputi mata fosil daripada makhluk jenis kerang yang dipanggil anomalocaris.

Menurut ketua penyelidik, John Paterson, anomalocaris boleh membesar sehingga mencecah satu meter panjang dan dianggap sebagai jerung putih pada era Kambria menduduki tangga teratas rantaian makanan marin.

-Kosmo!

Khamis, 24 Mei 2012

Titanoboa


Titanoboa ialah ular prasejarah terbesar di dunia dengan memiliki panjang sekitar 16 meter.

Ular tersebut dianggarkan seberat lebih 1,000 kilogram.

Fosil Titanoboa pertama kali ditemui di sebuah lombong arang batu di Colombia pada 2004.

Ia ditemui berhampiran beberapa fosil pokok, penyu gergasi sebesar meja makan dan haiwan lain yang dipercayai berusia lebih 60 juta tahun dahulu iaitu era selepas kewujudan
dinosaur.

sumber: Kosmo!

Rabu, 23 Mei 2012

Gading gajah Afrika

Gading gajah Afrika dijadikan sebagai hiasan mewah dan untuk upacara keagamaan.

Ia mendapat sambutan di Vietnam dengan pembeli utama terdiri daripada pedagang dari China dan Thailand.

Gajah Afrika jantan dan betina mempunyai gading manakala di Asia hanya melibatkan gajah jantan.

Gading gajah Afrika lebih besar daripada gading gajah Asia.

Gajah Afrika mempunyai ketinggian 4 meter dengan berat 7 tan dan gajah Asia mempunyai ketinggian 3.5 meter dan berat 5 tan.

Harga gading dianggarkan bernilai RM1,500 sekilogram.

Gading yang dicabut dari akarnya dianggap lebih bernilai dan berkualiti berbanding dengan gading yang dipotong.

Di Senegal, hanya tinggal kira-kira 10 ekor gajah sahaja manakala di Sierra Leone ia telah pupus.

Di Kenya, 271 ekor gajah telah dibunuh untuk gadingnya tahun 2010.

Gajah dijangka pupus menjelang 2020.

Putian di China merupakan kawasan yang mempunyai permintaan terhadap gading gajah tertinggi di benua Asia.

sumber: Kosmo!, benkztrilogy.blogspot.com, arisan10000.blogspot.com

Selasa, 22 Mei 2012

Kereta api kalis peluru Korea Utara

Bekas Pemimpin Korea Utara, Mendiang Kim Jong-Il memiliki sebuah kereta api khas dinamakan The Sun.

Jong-Il dilaporkan fobia untuk menaiki kapal terbang kerana ia mudah menjadi sasaran serangan musuh atau pembunuh upahan.

Kereta api itu sering digunakan semasa melawat China dan Rusia.

Menurut agensi berita Rusia, The Sun mempunyai 17 buah gerabak.

Gerabak yang dijadikan pejabat dan ruang persidangan terletak di bahagian hadapan kereta api itu. Ia diikuti bilik tidur dan bilik komunikasi.

Selebihnya digunakan oleh pengawal keselamatan, pegawai-pegawai kanan dan pekerja kereta api.

Akhbar Rusia menggelar kereta api itu sebagai kubu bergerak.

Kereta api itu merupakan hadiah daripada pemimpin Soviet, Stalin dan ia telah diubah suai.

Gerabak-gerabak khas yang digunakan Jong-Il mempunyai lantai dan dinding kalis peluru dan bom.

Ia juga dilengkapi sistem kawalan satelit, televisyen dan telefon.

sumber: Kosmo!

Isnin, 21 Mei 2012

Tamadun Mayan

Tamadun Mayan mencapai peringkat kegemilangan dari tahun 300 Tahun Masihi hingga 900 Tahun Masihi dan memiliki kemahiran luar biasa dalam bidang astronomi.

Kalendar kaum berkenaan bermula pada tahun 3,114 Sebelum Masehi (S.M.) dan mengambil masa selama 394 tahun untuk membentuk satu kitaran dikenali sebagai Baktun.

Baktun ke-13 berakhir pada 21 Disember 2012.

Teori bahawa kiamat berlaku pada tarikh tersebut berpunca daripada sebuah batu bersurat yang ditemui pada tahun 1960-an di tapak arkeologi Tortuguero di negeri Tabasco, dekat Teluk Mexico.

Batu bersurat berkenaan menceritakan tentang kembalinya Dewa Mayan pada penghujung Baktun ke-13.

Mereka yang percaya mengenai teori kiamat itu telah menyebarkan ramalan tersebut di ratusan ribu laman web dan blog di Internet.

-AP, Kosmo!

Jumaat, 18 Mei 2012

Tugu Monas

Tugu Monas ialah singkatan untuk Monumen Nasional.

Ia terletak di hadapan Istana Merdeka, di daerah Gambir, Jakarta Pusat, Indonesia.

Tugu Monas setinggi 132 meter.

Ia dibina untuk memperingati semangat kepahlawanan dan perjuangan bangsa Indonesia semasa Revolusi Kemerdekaan 1945.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 1955 dengan tanggungjawab itu diberikan kepada arkitek R.M. Soedarsono dan Frederich Silaban dan dibantu oleh konsultan Ir. Roesono.

Reka bentuk Tugu Monas mengambil konsep lingga (alu atau penumbuk beras) dan yoni (lesung), ia merupakan cerminan kesuburan berdasarkan konsep Hindu.

Konsep itu juga melambangkan simbol kesuburan muka bumi dan kemakmuran bangsa Indonesia.

Bentuknya juga dikatakan mirip oblisks yang mendasari kebudayaan Mesir kuno.

Seluruh tugu ini diselaputi oleh marmar.

Sejurus siap dibina pada 12 Julai 1975, ia seterusnya dirasmikan dan dibuka kepada orang awam.

Tarikan utama terletak di bahagian atasnya yang dilengkapi sebuah pelantar dengan keluasan 55 meter persegi. Ruang itu dapat menampung kira-kira 50 pengunjung pada satu masa.

Dari pelantar itu, pengunjung berpeluang melihat seluruh penjuru kota Jakarta dengan lebih dekat - kepelbagaian bentuk muka bumi seperti Gunung Salak di Jawa Barat atau Laut Jawa dan Pulau Seribu.

Di puncak tugu tersebut terdapat simbol api yang dilapisi lembaran emas. Ia melambangkan semangat perjuangan rakyat Indonesia yang tidak pernah padam dalam meraih status kemerdekaan.

Sementara itu, di bahagian bawah tugu pula menempatkan ruang pameran yang dikenali sebagai Dewan Kemerdekaan.

Dewan tersebut mampu memuatkan lebih 500 pengunjung. Ruang itu boleh diakses melalui pintu masuk di bahagian utara dan selatan. Ia memaparkan simbol-simbol kemerdekaan Indonesia termasuk naskhah asal Proklamasi Kemerdekaan, senjata tradisional dan peta kepulauan republik itu.

Pada dinding sebelah selatan terdapat sebuah patung besar Garuda Pancasila yang bersalut gangsa dengan emas yang menjadi lambang negara.

Jika melangkah ke sebelah timur pula, pengunjung berpeluang melihat teks pengisytiharan kemerdekaan dalam tulisan gangsa dan menghayati makna bendera kebangsaan Indonesia, Sang Saka Merah.

Pengunjung juga pasti terpesona melihat kolam air pancut dan patung Pangeran Diponegoro yang sedang menunggang kuda di permukaan kolam itu.

sumber: Kosmo!

Khamis, 17 Mei 2012

Pakar animasi pasir ternama dunia

FERENC CAKO

Dilahirkan di Budapest, Hungary pada 1950, Cako merupakan seorang pereka, pengarah dan pakar animasi 3 dimensi. Animasi arca dan seni pasir pertama Cako dihasilkan pada 1998 menerusi filem berjudul Ab Ovo yang memenangi anugerah Gold Palm di Festival Filem Cannes. Cako merupakan pencetus kepada animasi pasir secara langsung pada 1996.


SU DABAO

Membuat kemunculan pertama sebagai pelukis pasir pada 2004. Merupakan pelukis pasir pertama di Asia dan terkenal dengan karya yang mengangkat seni pasir Cina. Hasil kerja Dabao juga condong kepada budaya orang Timur dan elemen fesyen.


KSENIYA SIMONOVA

Terkenal sebagai pelukis pasir yang sering menghasilkan karya jujur dan diselaputi emosi. Simonova merupakan juara program Ukraine Got Talent pada 2009. Wanita berusia 26 tahun ini juga satu-satunya pelukis pasir di dunia yang pernah melakukan persembahan dengan menutup mata tentang kisah Time of Changes selama 10 minit.

sumber: Kosmo!

Selasa, 15 Mei 2012

Lagu Auld Lang Syne

Judul lagu Auld Lang Syne bermaksud Kenangan Masa Silam.

Ia merupakan lagu kedua paling dikenali di dunia selepas Happy Birthday.

Lagu tersebut dipercayai dicipta oleh penyair Scotland, Robert Burns (gambar).

Menggunakan dialek Scotland, rujukan pertama tentang lagu tersebut terkandung dalam sepucuk surat yang ditulis oleh Burns pada tahun 1778 kepada seorang rakan wanitanya.

Dalam surat berkenaan, dia mengulas tentang pertemuan wanita tersebut dengan seorang kenalan yang telah lama menghilang.

Pada 1793, Burns menulis lirik lagu berkenaan dalam sepucuk surat kepada penerbitnya, George Thomson.

Lagu tersebut dipopularkan pada tahun 1920-an sehingga 1930-an oleh seorang penyanyi Amerika Syarikat, Guy Lombardo.

Populariti Auld Lang Syne terus melonjak selepas ia dinyanyikan dalam banyak filem Hollywood terutamanya filem It's A Wonderful Life pada tahun 1946.

sumber: Kosmo!

Isnin, 14 Mei 2012

Pesawat MiG-29

Pesawat MiG-29 dibina oleh Mikoyan Design Bureau pada awal 1970-an.

Penerbangan sulung MiG-29 dilakukan pada bulan Oktober 1977.

Ia mula beroperasi pada Ogos 1983.

MiG-29 berfungsi sebagai pesawat pejuang, pemintas dan pertahanan udara.

Kelajuan maksimum pesawat tersebut boleh mencecah sehingga Mach 2.25 (2,445 km/j).

Harga seunit dianggarkan AS$29 juta (RM92 juta).

Sebanyak 1,600 buah pesawat pejuang MiG-29 beroperasi di seluruh dunia.

Malaysia mempunyai sebanyak 16 buah pesawat MiG-29.

sumber: Kosmo!, airforce-technology.com

Khamis, 10 Mei 2012

Antibiotik

Antibiotik ialah sejenis ubat pembasmi kuman yang dihasilkan daripada kulat atau cendawan. Ia ditemui oleh Selman Abraham Waksman (1888 - 1973), seorang pakar mikrobiologi Amerika Syarikat pada tahun 1942.

Selman Abraham Waksman telah dianugerahkan Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pada tahun 1952 atas penemuan antibiotik.

Antibiotik digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Antibiotik tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Jika anda mendapat batuk, demam dan selsema tidak semestinya anda memerlukan antibiotik. Sentiasa dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu apabila sakit.

Sekiranya diberi antibiotik, habiskannya mengikut arahan. Ini dapat mengelakkan jangkitan semula dan risiko terhadap berlakunya kerintangan antibiotik.

Kerintangan antibiotik adalah satu keadaan apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik.

Bakteria yang kebal menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk dan tidak boleh disembuhkan dengan antibiotik biasa. Penyembuhan memerlukan antibiotik yang lebih kuat.

sumber: www.myhealth.gov.my, www.infosihat.gov.my

Rabu, 9 Mei 2012

E.B. Tylor

E.B. Tylor atau nama penuhnya Edward Burnett Tylor dikenali kerana memperkenalkan istilah animisme iaitu kepercayaan terhadap makhluk halus ataupun roh.

E.B. Tylor ialah seorang ahli antropologi berbangsa Inggeris yang lahir pada 2 Oktober 1832 dan meninggal dunia pada 2 Januari 1917. Antara karya E.B. Tylor yang terkenal ialah Primitive Culture dan Anthropology.

Selasa, 8 Mei 2012

Air Pasang Besar


Air pasang besar juga dikenali sebagai air perbaini.

Ia berlaku sewaktu kedudukan bumi selari dengan bulan dan matahari menyebabkan kesan tarikan graviti lebih kuat kepada air laut dan mengakibatkan gelombang ombak besar.

Gelombang menyebabkan air laut pasang secara mendadak dan paras air laut meningkat.

Pertukaran angin monsun yang membawa hujan lebat dan angin kencang menjadikan fenomena ini bertambah buruk.

Air pasang besar menyebabkan paras air laut meningkat melebihi 10 hingga 20 peratus daripada paras normal.

Ia sering melanda kawasan persisiran pantai.

Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Sarawak lebih terdedah kepada fenomena ini kerana faktor tiupan angin Monsun Timur Laut.

-Kosmo!, Jabatan Pengairan dan Saliran

Isnin, 7 Mei 2012

Kairuku spesies penguin kuno





Ia merupakan seekor burung langsing, mempunyai sayap panjang dan paruh bak lembing untuk memudahkan menangkap mangsa di laut dengan pantas.


Ahli-ahli sains menyatakan bahawa penantian selama 26 juta tahun amat berbaloi apabila mereka kini dapat mengimbas semula spesies pertama penguin besar yang telah pupus.

Pakar-pakar dari New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) telah membina semula tengkorak fosil salah satu burung laut terbesar dengan mendedahkan keunikan bentuk badan haiwan berkenaan. Ia mempunyai ciri-ciri spesies penguin yang sangat elegan.

Burung yang digelar Kairuku dalam bahasa Maori membawa maksud penyelam yang kembali dengan makanan mempunyai ketinggian 1.3 meter dan hidup dalam zaman Oligosen kira-kira 26 juta tahun lalu.

Penyelidikan mengenai Kairuku telah diterbitkan dalam Journal of Veterbrate Paleontology.

Tulang pertama Kairuku telah ditemui 35 tahun lalu di New Zealand oleh Profesor Geologi Universiti New Zealand Otago, Ewan Fordyce.

Beliau telah bekerjasama dengan seorang profesor pembantu penyelidikan dari Universiti North Carolina State, AS, Dan Ksepka untuk membina semula set tulang fosil tersebut.

- Kosmo!

Jumaat, 4 Mei 2012

Bukit Gasing


Bukit Gasing terletak di sempadan antara daerah Petaling Jaya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ia seluas kira-kira 100 hektar.

Bukit Gasing menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah seperti mendaki dan tai-chi.

Puncak tertinggi di Bukit Gasing (160 meter) menyajikan panorama sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Kawasan seluas 36 hektar di bahagian Petaling Jaya telah diwartakan sebagai kawasan hutan simpan.

sumber: Kosmo!

Khamis, 3 Mei 2012

Komuter SCS KTMB


Komuter ini mempunyai enjin 4,700 kuasa kuda hasil usahasama Zhuzhou Electric Locomotive dari China dan Siemens dari Jerman.

Panjang komuter ini ialah 138.6 meter (set tren lama 68.7 meter) manakala beratnya 233 tan metrik.

Komuter ini boleh mencapai kelajuan 120 kilometer sejam dan setiap set enam gerabak bernilai RM48 juta.

Setiap gerabak mempunyai dua ruang tempat duduk. Tiga baris pemegang pengguna berdiri dan ruang orang kelainan upaya (OKU), kamera televisyen litar tertutup (CCTV), sistem interkom penumpang-pemandu serta televisyen skrin rata LCD.

sumber: Kosmo!

Rabu, 2 Mei 2012

Korea Utara

Ibu negara Korea Utara ialah Pyongyang.

Bahasa rasmi yang digunakan di Korea Utara ialah bahasa Korea dan etnik yang mendiami Korea Utara ialah bangsa Korea.

Tarikh kemerdekaan Korea Utara ialah pada 1 Mac 1919. Pada 9 September 1945, Korea Utara berdiri dengan pentadbirannya sendiri.

Pada tahun 1592, sebahagian besar Korea berada di bawah kuasa Jepun tetapi pengaruh China masih mempengaruhi kawasan tersebut.

Pada tahun 1874 pula, Perjanjian Kanghwa antara China dan Jepun menyebabkan Korea terlepas daripada dominasi China dan hubungan perdagangan antara Jepun juga terbuka.

Namun pada tahun 1894 hingga 1895, berlaku peperangan antara China dan Jepun merebut Korea. Jepun menang dan menjadikan Korea negara protektorat di bawah Jepun.

Seramai 500 orang terbunuh dalam satu pergaduhan dengan tentera dalam bantahan buruh di Chongjin, Korea Utara pada bulan September 1981.

Fakta menarik Korea Utara sewaktu pemerintahan Kim Jong-Il

1997 - Kim Jong-Il mula mengambil alih kuasa pemerintahan Korea Utara selepas tiga tahun kematian bapanya.

1998 - Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh pertamanya.

2002 - Sumber perisikan Amerika Syarikat mendedahkan Korea Utara mempunyai kemampuan untuk menghasilkan senjata nuklear.

2006 - Korea Utara menarik diri dari Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT). Enam kuasa besar nuklear mengadakan perbincangan perlucutan senjata nuklear di Beijing.

2006 - Mengadakan ujian senjata nuklear pertamanya pada 9 Oktober.

2007 - Korea Utara bersetuju untuk menghentikan penyelidikan nuklear untuk menerima bantuan ekonomi dan menambah baik hubungan diplomatik.

2008 - Kim Jong-Il diserang strok pada bulan Ogos. Washington mengeluarkan Korea Utara yang disenarai hitam sebagai negara pengganas.

2009 - Melancarkan ujian roket jarak jauh pada April dan mengumumkan ia akan menarik diri daripada rundingan enam pihak. Korea Utara melancarkan ujian nuklear kedua pada 25 Mei.

2010 - Torpedo dipercayai milik Korea Utara telah menembak kapal perang dan membunuh hampir 46 tentera laut Korea Selatan. Korea Utara enggan mendedahkan loji pengayaan uranium miliknya ketika dilawati saintis-saintis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kapal perang Korea Utara menyerang sebuah pulau milik Korea Selatan dan membunuh seramai empat orang awam.

2011 - Mengadakan mesyuarat dengan utusan khas Korea Selatan membincangkan kebarangkalian menghidupkan semula rundingan enam pihak melibatkan pertemuan dengan utusan khas Amerika Syarikat di Geneva. Kim Jong-Il meninggal dunia pada 17 Disember dan digantikan oleh anak bongsunya, Kim Jong-un.

sumber: Kosmo!