Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 29 Jun 2012

Lintah

Lintah berbadan leper dan mempunyai penghisap/penyedut pada kedua-dua belah hujung tetapi hanya satu penyedut sahaja yang berfungsi sebagai penghisap darah.

Terdapat 650 jenis lintah yang terdapat di dunia tetapi hanya sebahagian sahaja yang dapat digunakan untuk tujuan perubatan.

Lintah hidup di kawasan panas tetapi terlindung daripada cahaya matahari yang terus.

Lintah tidak suka pada air yang berarus.

Habitatnya tidak pada air yang dalam kerana sekiranya air itu tidak mempunyai oksigen yang mencukupi, lintah akan keluar dari air untuk mendapatkan oksigen.

-Kosmo!

Khamis, 28 Jun 2012

Gel dan hidrogel

Gel ialah sejenis bahan bersifat solid yang kelihatan seakan-akan jeli. Ia bersifat kuat tetapi lemah apabila daya kekerasan diberikan.

Ia adalah hasil daripada bahan cecair yang sistem molekulnya telah mengalami proses taut silang tetapi tiada pergerakan ketika dalam keadaan stabil.

Hidrogel dikenali juga sebagai akuagel. Ia adalah rangkaian polimer yang molekulnya bertaut silang. Sifatnya mampu menyerap air berkali-kali ganda berbanding beratnya.

Bahan asas hidrogel sama ada semula jadi atau polimer sintetik. Ia banyak digunakan dalam farmaseutikal kerana mempunyai kelembapan.

Beberapa sifat fleksibiti hidrogel serupa dengan tisu semula jadi kerana kandungan airnya.

Hidrogel dijadikan bahan pembawa ubat supaya ia dapat dibebaskan secara perlahan-lahan.

Ia digunakan sebagai pelapik pada tisu kulit buatan untuk membaiki kulit lecur terbakar atau luka.

Hidrogel boleh menjadi bahan utama pembuatan lampin pakai buang.

Hidrogel juga digunakan untuk pertanian kerana ia mampu menakung air yang mengandungi baja dan bersifat keras untuk memegang pokok.

Hidrogel dijadikan sebagai pembalut luka kerana boleh memberi kelembapan untuk mengubati parut.

Hidrogel juga merupakan bahan utama menghasilkan kanta lekap kerana mempunyai sifat optik yang baik dan mampu memberi oksigen pada mata.

Hidrogel juga dijadikan bahan dalam implan payu dara. Bagaimanapun, penggunaannya tidak begitu meluas.

-Kosmo!

Rabu, 27 Jun 2012

Penguin Maharaja

Penguin Maharaja dikenali dengan nama saintifiknya Aptenodytes Forsten, ia merupakan spesies penguin paling besar dan tinggi berbanding spesies lain.

Ketinggian penguin maharaja mampu mencecah 1.3 meter atau empat kaki berbanding penguin biasa 0.6 meter atau dua kaki.

Berat penguin maharaja mampu mencecah antara 22 hingga 45 kilogram.

Ia makan salji untuk menyahidratkan badannya dan menghabiskan hayat di benua Antartika yang jarang dikunjungi manusia.

-Kosmo!

Selasa, 26 Jun 2012

Papua

Papua terletak di bahagian barat New Guinea termasuk pulau-pulau kecil yang berdekatan. Kota utama di wilayah Indonesia yang paling timur itu ialah Jayapura.

Wilayah itu asalnya merangkumi keseluruhan bahagian barat New Guinea. Pada tahun 2003 pemerintah Indonesia mengisytihar bahagian paling barat pulau tersebut sebagai wilayah berbeza dan dinamakan Papua Barat (dahulunya Irian Jaya Barat).

Pentadbiran Indonesia ke atas Papua disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa. Sama seperti banyak wilayah lain di Indonesia, pemerintah Pusat di Jakarta mempunyai pengaruh yang kuat di Papua. Papua sendiri merupakan penerima besar daripada proses desentralisasi seluruh negara yang bermula pada tahun 1999.

Lanskap pergunungan yang merentangi zon Timur dan Barat pulau itu menjadi elemen geografi utama Papua dan New Guinea. Ia meliputi kawasan sepanjang 1,600 km dengan 600 km berada di bahagian barat dan 100 km lebar.

Populasi Papua adalah seramai 2.9 juta orang (perangkaan tahun 2010). Kira-kira 80 peratus orang Papua hidup di kawasan luar bandar dengan beberapa atau tiada langsung kemudahan kehidupan moden.

78 peratus penduduk Papua beragama Kristian (54 peratus Protestant dan 24 peratus Roman Katolik) sementara 21 peratus beragama Islam dan kurang daripada 1 peratus beragama Buddha atau Hindu. Amalan aminisme juga masih popular di sesetengah tempat.

Antara kumpulan etnik popular di Papua ialah Amungme, Asmat, Bauzi, Dani, Kamoro, Kombai, Korowai, Mee, Sentani, Yali dan Yei.

Banyak puak di kawasan pedalaman dan pergunungan hidup terasing dan tidak berhubung dengan dunia luar. Majoriti daripada mereka menjalankan ekonomi sara diri melalui aktiviti pertanian skala kecil.

-Kosmo!

Isnin, 25 Jun 2012

Kepulauan Canary

Kepulauan Canary terdiri daripada tujuh pulau utama iaitu Pulau El Hierro, Tenerife, Gran Canaria, Fuerteventura, Lanzarote, La Palma dan La Gomera.

Kepulauan itu adalah wilayah autonomi Sepanyol.

Canary mempunyai lebih dua juta penduduk.

32 peratus daripada sumber ekonominya dijana daripada sektor pelancongan.

Jarak Kepulauan Canary lebih dekat dengan benua Afrika iaitu kira-kira 100 kilometer dari pesisir Maghribi berbanding Sepanyol sendiri.

-Kosmo!

Jumaat, 22 Jun 2012

Svetlana Stalina

Svetlana Stalina ketika muda

Svetlana Stalina ialah anak perempuan kepada pemimpin bekas Kesatuan Soviet (Soviet Union), Joseph Stalin.

Svetlana Stalina dilahirkan pada 28 Februari 1926.

Setelah Joseph Stalin meninggal dunia pada tahun 1953, Svetlana Stalina mengubah namanya kepada Svetlana Alliluyeva sempena nama keluarga ibunya, Nadezhda Alliluyeva.

Pada tahun 1963, Svetlana Stalina pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Brajesh Singh, seorang anggota Parti Komunis India sewaktu Brajesh Singh melawat Moscow. Malangnya Brajesh Singh menghidap penyakit bronkiektasis dan emfisema. Mereka tidak pernah berkahwin dan Brajesh Singh meninggal dunia pada tahun 1966.


Gambar Svetlana Stalina yang diambil sebelum meninggal dunia

Svetlana kemudian berpaling tadah ke Amerika Syarikat pada tahun 1967 dan menjadi pengkritik kuat Kesatuan Soviet ketika itu.

Namanya kemudian ditukar kepada Lana Peters pada tahun 1970 selepas dia berpaling tadah dan berkahwin dengan seorang arkitek Amerika Syarikat, William Wesley Peters.

Svetlana Stalina meninggal dunia pada 22 November 2011 di Pusat Richland, Wisconsiin, Amerika Syarikat kerana menghidap penyakit kanser kolon. Ketika itu dia berusia 85 tahun.

Selasa, 19 Jun 2012

Gangguan bunyi ngilu

Setiap kali menggesekkan kuku pada papan hitam pasti bunyi yang keluar begitu menyentak atau mengilukan. Pakar muzik mendakwa, ia disebabkan oleh bentuk dalaman telinga manusia sendiri.

Telinga manusia boleh mendengar frekuensi tersebut kerana ia berada pada tahap yang sama dengan percakapan manusia. Sekumpulan saintis menjalankan penyelidikan terhadap beberapa individu dengan mendengarkan muzik eksperimental yang teruk dan banyak lagi bunyi-bunyi memualkan.

Ketua penyelidik dari Universiti Makromedia di Cologne, Jerman, Michael Oehler, memantau perbezaan reaksi pendengar yang telah diberitahu tentang jenis bunyi tersebut berbanding mereka yang dirahsiakan.

Bagaimanapun, faktor psikologi tidak memberi apa-apa peranan dalam memberi kesan bunyi yang buruk itu.

Penyelidik mengukur denyutan jantung, tekanan darah dan kekonduksian kulit ketika sesuatu bunyi dimainkan. Menariknya, bunyi yang paling teruk berada dalam kadar antara 2,000 hingga 4,000 hertz iaitu sama dengan tahap percakapan manusia.

Kesimpulannya, bunyi yang menggerunkan hasil gesekan kuku itu disebabkan reka bentuk alur telinga manusia.

-Kosmo!

Isnin, 18 Jun 2012

Kayu pain

Terdapat lebih 115 jenis kayu pain. Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat 35 jenis kayu pain yang boleh dijumpai.

Dua jenis kayu pain iaitu radiata dan merkus yang dikatakan mempunyai kualiti yang paling baik.

Pokok kayu hidup subur di Hemisfera Utara.

Australia, Chile, Afrika Selatan, New Zealand dan Amerika Syarikat merupakan antara negara yang memiliki pokok kayu pain terbesar dunia.

Malaysia memiliki kayu pain jenis merkus, Namun, Sumatera, Indonesia dan Mindoro, Filipina pengeluar terbesar kayu jenis ini.

Kayu pain adalah lembut dan boleh dijadikan kertas.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, kayu pain merupakan pokok hiasan paling popular.

Selain itu, negara-negara pengeluar kayu pain terbesar di dunia telah merevolusikan kayu pain menkadi perabot dan material penting dalam membuat lantai, pagar, ukiran dan banyak lagi kegunaan.

Bagaimanapun, produksi kayu pain di Malaysia sangat terhad.


Tip menjaga perabot kayu pain

Jangan dedahkan perabot berasaskan kayu pain dengan air.

Untuk memastikan ketahanan kayu pain, jangan biarkan perabot dibiarkan terlalu lama di bawah pancaran matahari. Jika tidak, ia akan melunturkan warna kayu tersebut.

Bagi menghilangkan debu pada rangka perabot, anda boleh mencucinya dengan kain lembap seminggu sekali dan jangan terlampau kerap.

-Kosmo!

Jumaat, 15 Jun 2012

Eurofighter Typhoon

Eurofighter Typhoon ialah sejenis pesawat pejuang berenjin kembar pelbagai fungsi.

Ia dibangunkan di Britain dan dipasang oleh Eurofighter GmbH.

Penerbangan sulung prototaip Eurofighter Typhoon adalah pada 27 Mac 1994.

Antara negara yang menggunakan pesawat ini ialah Britain, Jerman, Itali, Arab Saudi dan Sepanyol.

Jumlah pengeluaran sehingga Oktober 2011 adalah sebanyak 300 buah.

Harga sebuah pesawat ini dianggarkan RM620 juta (kos berbeza mengikut spesifikasi pesanan).

Panjang pesawat ini ialah 15.96 meter manakala rentang sayapnya 10.95 meter. Tinggi pesawat ini ialah 5.28 meter dan berat kosong ialah 11,000 kilogram.

Ia menggunakan 2 buah enjin Eurojet EJ200 kipas turbo pembakar lanjut.

Kelajuan maksimumnya mencecah Mach 2 bersamaan 2.120 km/j.

Jarak terbang maksimum bagi pesawat ini ialah 3.790 km.

sumber: Kosmo!, www.eurofighter.com

Khamis, 14 Jun 2012

Sains pelihara bunga sakura

Jika ahli-ahli botani di Arboretum Kebangsaan Amerika Syarikat tidak membuat replika benih asli pokok sakura pada tahun 1980-an, sudah pasti pokok bunga itu sudah tiada lagi.

Lebih kurang 100 tahun lalu, wanita pertama Amerika, Helen Taft dan isteri duta Jepun, Viscountess Chinda telah menanam dua batang pokok sakura, Yoshino di tebing kawasan tadahan air, Tidal Basin di Washington.

Selepas itu, hampir 3,000 batang pokok ditanam sebagai hadiah persahabatan dari Tokyo, Jepun dengan Amerika Syarikat. Lebih kurang 100 batang dibawa dari Jepun.

Para saintis mengambil potongan kecil daripada pokok asal dan proses menggunakan hormon bagi merangsang pertumbuhan akar dan seterusnya ujian klon dijalankan.

Potongan tersebut dijaga pertumbuhannya secara berhati-hati dengan pemeriksaan setiap hari termasuk pemantauan terhadap keadaan tanah agar tidak kering.

Selepas beberapa tahun, tumbuhan kecil tersebut membesar dan boleh ditanam semula.

Kata penyelidik genetik, Margaret Pooler, pada 1997, arboretum itu telah menghasilkan 500 pokok baharu untuk dibekalkan pada Perkhidmatan Taman Negara bagi penanaman di Tidal Basin.

Ia adalah cara untuk menyelamatkan pokok tersebut secara genetik dan asli.

-Kosmo!

Rabu, 13 Jun 2012

Diod pemancar cahaya (LED)

Diod pemancar cahaya (LED) telah dibangunkan Nick Holonyak Jr. pada tahun 1962.

Pada waktu dahulu, LED diguna pakai dalam peranti seperti peti televisyen, radio, telefon, kalkulator dan jam.
Sejajar perkembangan teknologi yang semakin canggih, LED mula digunakan pada lampu jalan, bangunan, automatif dan telefon pintar.

Selasa, 12 Jun 2012

Diesel Petroleum dan Biodiesel


Nama diesel diambil sempena nama seorang jurutera mekanikal warga Jerman iaitu Rudolph Diesel.

Rudolph Diesel telah membuat kajian tentang enjin berdasarkan idea Kitaran Carnot oleh saintis Perancis bernama Nicolas LĂ©onard Sadi Carnot.

Rudolph Diesel telah mencipta sebuah enjin yang boleh menggunakan minyak untuk menggerakkan jentera.

Minyak yang digunakan untuk menggerakkan jentera itu kemudiannya dikenali sebagai minyak diesel manakala enjin yang diciptanya dikenali sebagai enjin diesel.


Diesel Petroleum

Diesel petroleum ataupun diesel fosil merupakan jenis minyak bahan api yang digunakan pada enjin diesel.

Ia dihasilkan daripada petroleum dan campuran hidrokarbon yang diperolehi daripada pecahan penapisan petroleum.

Ketumpatan diesel petroleum adalah lebih tinggi daripada petrol.

Diesel petroleum mempunyai sifat yang tidak mudah terbakar menyebabkan ia digunakan dalam kenderaan dan jentera tentera seperti kereta kebal.


Biodiesel

Pada kebiasaan, bahan api biodiesel dihasilkan melalui tindak balas kimia lipid.

Pengeluaran bahan api biodiesel adalah berasaskan minyak sayuran ataupun produk pertanian.

Di Amerika Syarikat industri biodiesel tertumpu kepada penggunaan minyak kacang soya.

Kebanyakan negara-negara Kesatuan Eropah pula menggunakan minyak biji sesawi yang diadun diesel petroleum.

Biodiesel mengandungi cetane number yang boleh meningkatkan prestasi enjin dan mengeluarkan asap lebih bersih.


Program B5

Enam tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melancarkan Dasar Biobahan Api Negara di bawah Strategi Kepelbagaian Lima Bahan Api dengan menyediakan kerangka bagi membangunkan biobahan api terutamanya berasaskan minyak sawit.

Melalui Program B5, dua agensi kerajaan telah dipilih menjadi perintis dalam langkah percubaan pada tahun 2009 apabila kenderaan diesel mereka menggunakan adunan lima peratus bahan api berasaskan sawit dan 95 peratus diesel petroleum.

Bagi memperkenalkan Program B5, kerajaan telah mengambil pendekatan melaksanakan penggunaan biodiesel terbaharu itu secara berperingkat-peringkat bermula di Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan seluruh negara.

Buat masa ini, ia hanya dilaksanakan ke atas sektor pengangkutan darat bersubsidi kenderaan persendirian sahaja.

Sejak bulan Jun 2011, penjualannya melibatkan Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran 1,150 stesen minyak.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Hamzah Zainuddin, penggunaan B5 akan memberi kesan baik kepada industri minyak sawit terutama dalam menstabilkan permintaan dan harga minyak sawit selain meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Program B5 turut menggalakkan penggunaan biobahan api yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui sekaligus mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi menjamin persekitaran mesra alam.

-Kosmo!, Kamus Etimologi Bahasa Melayu Fajar Bakti.

Isnin, 11 Jun 2012

Pulau Orang Utan

Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketwon Resort, Taiping, Perak berkeluasan 14 hektar yang dahulu dikenali sebagai Pulau Panjang telah dibuka pada tahun 2000 menempatkan sebanyak 27 ekor Orang Utan.

Daripada 27 ekor Orang Utan tersebut sebanyak 17 daripadanya lahir di Pulau Orang Utan.  Kesemua 17 Orang Utan yang lahir di pulau berkenaan terdiri daripada lapan betina dan sembilan ekor jantan.

Terdapat dua sub spesies yang terdapat di Pulau Orang Utan iaitu Borneo dan Sumatera.

Objektif utama penubuhan Pulau Orang Utan  terbahagi kepada empat iaitu pembiakan, pemulihan, pendidikan dan penyelidikan.

Pengunjung yang mengunjungi Pulau Orang Utan akan didedahkan dengan pelbagai aspek mengenai primat berkenaan termasuk cara pemakanan, pembiakan, perangai dan banyak lagi.


Info Orang Utan

Orang Utan boleh didapati di Borneo termasuk Sabah dan Sarawak selain Sumatera, Indonesia.

Orang Utan tidak berekor dan mempunyai telinga dan hidung yang kecil.

Ia berbulu panjang, lembut dan berwarna keperang-perangan.

Tulang mulut dan dagunya menonjol keluar.

Kepalanya pula berbentuk bujur dan matanya bersaiz kecil serta mempunyai lengan yang panjang dan kuat.

Orang Utan hidup dengan memakan buah-buahan terutamanya buah pokok ara serta daun-daun, kulit kayu, pucuk dan bunga.

Orang Utan sentiasa hidup di atas pokok dan jarang turun ke tanah.

Penempatan Orang Utan di Malaysia adalah di Sepilok, Sabah, Pusat Orang Utan Semenggoh, Sarawak dan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Taiping, Perak.

-Kosmo!


Rabu, 6 Jun 2012

KD Tun Abdul Razak

KD Tun Abdul Razak ialah kapal selam kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak berpangkalan di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

Ia diberi nama sempena Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

KD Tun Abdul Razak dibawa pulang dari Toulon, Perancis pada 30 April 2010 dan tiba di Malaysia pada 2 Julai 2010 di Pangkalan TLDM Lumut.

KD Tun Abdul Razak dibeli secara pakej dari Perancis pada harga RM2.5 bilion bersama kapal selam KD Tunku Abdul Rahman pada tahun 2002.

Kapal selam jenis tempur konvensional yang mampu mengawasi perairan Malaysia pada kedalaman antara 100 dan 200 meter.

KD Tun Abdul Razak dijana kuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot nautika.

Ia mampu membawa 10 torpedo dan 30 periuk api manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.

Ia turut dilengkapi enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak, peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam.

Ia juga mampu beroperasi di lautan selama 50 hari tanpa perlu mengisi semula minyak dan stok makanan.

-Kosmo!






Selasa, 5 Jun 2012

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS)

ETS dibina di Korea tetapi menggunakan teknologi Jepun.

Kapasiti penumpang 350 orang dan setiap unit gerabak berharga RM48 juta.

ETS mampu mencecah kelajuan maksima 160km/j dan keselamatan penumpang dipantau melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh mengambil masa sejam 55 minit berbanding dua jam 50 minit menaiki kereta api shuttle.

Kemudahan meliputi gerabak kafeteria, ruang khas untuk orang kelainan upaya (OKU), tandas termasuk untuk OKU, skrin LCD dan kamera litar tertutup.

Perkhidmatan pramugari turut disediakan.

Harga tambang ETS sehala dari Ipoh ke Kuala Lumpur adalah antara RM25 hingga RM45.

sumber: Kosmo!, www.mot.gov.my

Jumaat, 1 Jun 2012

Tabiat kaki botol diwarisi?





Saintis menemui sejenis gen yang boleh dikaitkan dengan ketagihan alkohol selepas kajian dilakukan terhadap gelombang otak.


Pasukan Institut Penyelidikan Bioperubatan Texas, Amerika Syarikat menjalankan ujian terhadap 1,064 orang yang mempunyai masalah ketagihan sejak beberapa generasi.

Mereka mendapati kanak-kanak yang mempunyai masalah tersebut memiliki paten yang sama dalam aktiviti otak menjadikan mereka berisiko menjadi kaki botol.

Gelombang otak itu menghasilkan gema yang menguatkan kaitan antara sifat kaki botol gen sarat penerima serotonin, HTR7.

Serotonin memberi kesan kepada mood dan gangguan masa tidur. Ubat anti tekanan selalunya dapat mengaturnya semula.

Penyelidik juga berkata, keinginan seseorang itu untuk menjadi penagih arak juga disebabkan oleh genetik mereka.

-Kosmo!