Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 28 Disember 2012

Jambatan Millau

Jambatan Millau dikenali sebagai Viaduc de Millau, terletak di Perancis dan merupakan jambatan tertinggi di dunia dengan puncak menaranya setinggi 343 meter.

Jambatan yang lebih tinggi berbanding Menara Eiffel dan hanya kira-kira 40 meter lebih rendah berbanding Bangunan Empire State di New York, Amerika Syarikat itu dirasmikan pada 14 Disember 2004 dan dibuka untuk lalu lintas dua hari kemudian.

Jambatan itu dibina dengan kos sebanyak AS$524 juta (RM1.68 bilion) dan menyeberangi lembah Sungai Tarn, Millau yang terletak di selatan Perancis. Jambatan itu juga menghubungkan Paris dan Barcelona di Sepanyol.

Projek pembinaan jambatan ini direka oleh seorang juruteknik jambatan Perancis, Michel Virlogeux dengan kerjasama arkitek Britain, Lord Foster.

Ia memakan masa tiga tahun untuk disiapkan.

Projek Jambatan Millau dibuat untuk menyambut 100 tahun kejuruteraan dan seni bina Perancis selepas kejayaan Menara Eiffel oleh Gustav Eiffel.

Ia juga dibina untuk memendekkan perjalanan melintasi Sepanyol, Perancis dan Jerman tanpa melalui ibu kota Paris.

Menurut jurutera projek, jangka hayat jambatan tersebut boleh bertahan selama 120 tahun.

Jambatan Millau telah memecahkan beberapa rekod selain jambatan yang tertinggi di dunia, antaranya ialah dek jambatan yang tertinggi di Eropah setinggi 270 meter di atas Sungai Tarn.

Ia juga hampir dua kali ganda ketinggian Jambatan Europabrucke di Austria iaitu 267 meter di atas New River.

-Kosmo!

Rabu, 26 Disember 2012

Casablanca

Casablanca terletak di barat Maghribi (Morocco) berhampiran Laut Atlantik.

Ia mempunyai keluasan keseluruhan 327 kilometer persegi.

Casablanca merupakan bandar raya terbesar dan pusat perniagaan dan kewangan di Maghribi.

Dihuni kira-kira empat juta penduduk dan dipercayai telah wujud pada tahun ke-7 Sebelum Masihi.

Lokasinya strategik sebagai pelabuhan ketika pemerintahan Phoenicia dan Rom satu ketika dahulu.

Casablanca pernah dijajah oleh Portugis, Sepanyol dan akhirnya Perancis pada tahun 1907.

Nama Casablanca menjadi terkenal setelah sebuah filem romantik Amerika Syarikat bernama Casablanca ditayangkan. Filem tersebut dibintangi oleh Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman telah mendapat sambutan hangat pada tahun 1942.

-Kosmo!

Jumaat, 21 Disember 2012

FRIM

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diasaskan oleh seorang saintis perhutanan berbangsa British pada tahun 1929.

Dahulu FRIM dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) merupakan institusi penyelidikan perhutanan terawal di Malaysia.

Dr. W. Foxworthy adalah ketua pegawai penyelidiknya yang pertama.

FRIM diletakkan di bawah Kementerian Perusahaan Utama sebelum berpindah ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2004.

Institut ini dinobatkan sebagai mempunyai sistem pengurusan yang berkualiti MS ISO 9001:2008 dan diketuai oleh Ketua Pengarah Datuk Dr. Abdul Latiff Mahmood.

Terdapat lima bahagian penyelidikan di FRIM iaitu Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Bahagian Bioteknologi Hutan, Bahagian Biodiversiti Hutan, Bahagian Hasilan Semula Jadi dan Bahagian Keluaran Hutan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di institut itu ialah arboretum yang menjadi rujukan dalam pendidikan perhutanan, herbarium yang menyimpan koleksi melebihi 200,000 spesimen, kursus latihan yang meliputi bidang landskap sehingga ke pengenalan kayu, pembuatan produk rotan dan buluh, nurseri pokok, perpustakaan dan kemudahan mengendalikan seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Institut ini juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk penyelidikan termasuk mengurus tujuh stesen penyelidikan yang mewakili hutan-hutan tertentu di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Lokasi FRIM adalah di Kepong, Selangor.

-Kosmo!

Khamis, 20 Disember 2012

Korea Selatan

Korea Selatan ataupun nama rasminya Republik Korea adalah sebuah negara maju yang paling pesat membangun pada tahun 2000 di samping menjadi salah satu daripada tiga Harimau Asia.

Ia terletak dalam kawasan beriklim kebenuaan lembap dan subtropika lembap dengan rupa bumi yang banyak bergunung-ganang.

Bahasa rasmi Korea Selatan adalah bahasa Korea manakala tulisan rasminya ialah Hangul.

Sistem pentadbiran Korea Selatan adalah republik berpresiden.

Keluasan Korea Selatan adalah 100,210 km persegi manakala populasinya mengikut anggaran pada tahun 2010 adalah seramai 49 juta orang.

Mata wang yang digunakan di Korea Selatan ialah Won Korea Selatan (KRW).

Seoul, ibu negara Korea Selatan merupakan sebuah bandar yang istimewa dan ia diangkat sebagai bandar raya terbesar di Korea Selatan.

Bandar mega dengan populasi melebihi 10 juta itu merupakan kawasan metropolitan kedua terbesar di dunia.

Seoul menjadi salah satu destinasi pilihan utama pelancong kerana ia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Antaranya ialah MyeongDong NANTA Theatre, The War Memorial of Korea, Leeum Samsung Museum of Art, National Museum of Korea, Namsan Park dan N Seoul Tower.

Pasar terbesar di Korea Selatan iaitu Dongdaemun Market dan Myeongdong mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli-belah selain mempunyai butik-butik fesyen jenama antarabangsa.

Selain Seoul, Pulau Jeju menjadi lokasi tumpuan pelancong kerana mempunyai tempat-tempat menarik yang unik termasuk Loveland yang dicipta oleh graduan Universiti Hongik.

Jeju juga merupakan destinasi bulan madu popular kerana ia menghadirkan mood romantik ketika menyaksikan matahari terbit dan terbenam, iklim sederhana dan pantai berpasir yang indah.

Tasik Baeknok di atas Gunung Halla yang merupakan puncak tertinggi di Korea Selatan adalah lokasi yang dikunjungi oleh mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

Kimchi ialah sejenis makanan tradisional Korea Selatan iaitu sayur jeruk dengan pelbagai perasa. Ia merupakan hidangan kebangsaan Korea Selatan dan mempunyai ratusan jenis yang diperbuat daripada kubis, lobak putih dan timun.

-Kosmo!

Selasa, 18 Disember 2012

A&W

A&W sebenarnya adalah ringkasan untuk nama Roy W. Allen dan Frank Wright, pengasas restoran A&W yang pertama.

Restoran A&W pertama yang dibuka di Malaysia adalah pada tahun 1963.

Menu popular A&W ialah minuman A&W Root Beer Float dan Coney Dog.

-Kosmo!

Isnin, 17 Disember 2012

Sotong pontianak

Sejenis sotong ganjil yang digelar sotong pontianak kerana berada dalam spesies Vampyroteuthis infernalis. Sotong ini juga dikenali sebagai phylogenetic relic dan juga 'sotong dari neraka'.

Ia merupakan satu-satunya spesies dalam kategori Order Vampyromorpha yang ditemui pada tahun 1903.

Sotong itu mempunyai kedudukan tersendiri dalam kategori taksonomi dan memiliki ciri gabungan sotong kurita dan sotong biasa dalam satu kombinasi evolusi unik yang masih bertahan sejak berjuta-juta tahun yang lampau.

Ia berukuran 13 sentimeter dan hidup di lautan tropika yang bersuhu sederhana. Habitatnya adalah di kedalaman 600 hingga 900 meter yang mempunyai kandungan oksigen sangat rendah.

Sotong itu menggunakan matanya yang besar berukuran 2.5 sentimeter untuk mengesan sebarang pergerakan dan mengeluarkan sejenis dakwat berwarna biru gelap untuk mengelak daripada ditangkap oleh musuh.

Sotong itu juga didapati hanya memakan bangkai yang mereput di kawasan laut dalam dan gelap.

sumber: Kosmo!, AFP.

Jumaat, 14 Disember 2012

Tasik Mines

Tasik Mines merupakan bekas lombong Hong Fatt yang diberi nama oleh pendatang Cina bernama Chan Wing.

Selepas perlombongan dihentikan, lubang besar sepanjang dua kilometer dan satu kilometer lebar membentuk tasik sedalam kira-kira 200 meter yang dilihat pada hari ini.

Tasik bekas lombong bijih timah terbesar dunia seluas 60 hektar itu menjadi rumah kepada tiga ikan arapaima melebihi dua meter. Selain itu, banyak spesies ikan lain termasuk keli kelihatan berhampiran dengan jeti Palace of Golden Horses.

Ia meliputi sebahagian besar Mines Resort City yang dibangunkan hasil idea hartawan Tan Sri Lee Kim Yew pada akhir 80-an.

-Kosmo!

Rabu, 12 Disember 2012

B-Boy

B-Boy ialah gaya tarian jalanan yang berasal daripada budaya hip-hop generasi muda Amerika Afrika dan Latin di New York City sejak awal 1970-an.

Ia mendapat populariti di seluruh dunia khususnya Korea Selatan, Perancis, Rusia, Jepun dan Brazil.

Peserta gerak tari ini dipanggil B-Boy, B-Girl atau breaker.

Red Bull BC One diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Red Bull dan diadakan di negara-negara berbeza setiap tahun.

Ia mengumpul 16 peserta terbaik ke peringkat dunia selepas bersaing di peringkat negara dan rantau masing-masing.

Salah seorang peserta yang memegang rekod dunia ialah B-Boy Cico (gambar) menerusi gerakan memusing secara berterusan menggunakan satu tangan.

Cico memecahkan rekod dengan 27 kali pusingan tanpa henti.

-Kosmo!

Selasa, 11 Disember 2012

Tana Toraja

Tana Toraja terbahagi kepada dua pentadbiran iaitu di Makale (Tana Toraja) dan Rantepao (Toraja Utara).

Mula ditemui oleh Syarikat Hinda Timur Belanda pada tahun 1906.

Mempunyai keluasan kira-kira 3.2 kilometer persegi atau lima peratus daripada keluasan Selatan Sulawesi.

Ritual kematian lazimnya diadakan pada bulan Julai dan September iaitu selepas musim menuai padi.

Dianggarkan lebih 450,000 suku Toraja menetap di Tanah Toraja.

Sebahagian besar penduduknya beragama Kristian, Islam dan selebihnya menganut kepercayaan animisme.

-Kosmo!

Isnin, 10 Disember 2012

Port Dickson

Bandar Port Dickson mendapat nama daripada seorang pegawai tertinggi British, Sir John Frederick Dickson, yang begitu sinonim dengan ketenteraan sejak tertubuhnya kompeni perintis Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Mac 1933.

Legasi warisan tentera berterusan sehingga hari ini dan pada tahun 2009, bandar itu dengan rasminya diisytiharkan sebagai sebuah bandar tentera darat.

Selepas tertubuhnya kompeni perintis itu, Port Dickson telah melatih lebih 325,000 kaum dari seluruh negara yang kebanyakannya mengukir nama dalam sejarah negara. Ini termasuk Allahyarham Leftenan Adnan Saidi, yang meninggal dunia semasa mempertahankan negara daripada serangan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Sehingga kini, Port Dickson telah berkembang bersama-sama tentera darat melalui penubuhan beberapa institusi dan pusat latihan pasukan tentera darat serta Angkatan Tentera Malaysia.

-Kosmo!

Jumaat, 7 Disember 2012

Taman Wetland

Taman Wetland merupakan taman buatan manusia pertama di Malaysia dan yang terbesar di kawasan tropika dengan keluasan 197.2 hektar.

Habitat flora dan fauna yang ditumbuhi 32 spesies buah-buahan nadir, 32 spesies pokok hutan, 48 spesies tanaman hutan dan 45 jenis tanaman renek.

Taman Wetland juga menjadi habitat 12 spesies mamalia, 15 spesies serangga, 17 spesies ikan dan 39 krga daripada 108 spesies burung.

Ia turut berfungsi sebagai penebat banjir, sumber pembelajaran sains dan tempat penyelidikan serta kajian.

Taman Wetland menjadi penapis semula jadi bagi air sungai dari sekitar Putrajaya sebelum memasuki Tasik Putrajaya.

-Kosmo!, Perbadanan Putrajaya

Khamis, 6 Disember 2012

Basket Building, Ohio

Bangunan Basket Building yang terdapat di Longaberger Town, Newark, Ohio, Amerika Syarikat ini ialah ibu pejabat kepada sebuah syarikat pembuat bakul iaitu Longaberger Basket Company.

Sejarah bangunan itu bermula apabila pengasas syarikat iaitu Dave Longaberger memasang impian untuk membina sebuah pejabat berbentuk sebuah bakul gergasi.

Pembinaannya mengambil masa dua tahun. Impian Dave akhirnya terlaksana pada Disember 1997 apabila bangunan itu diperkenalkan buat pertama kali kepada umum.

Kos pembinaan bangunan tersebut adalah kira-kira RM90 juta.

Ia berkeluasan sehingga 16,722 meter persegi dan dibina di atas tapak seluas 10 hektar, bangunan itu mempunyai berat sekitar 8,000 hingga 9,000 tan.

Bangunan itu mempunyai ketinggian bangunan tujuh tingkat. Ia turut dilangkapi dua tangkai pemegang di bahagian atasnya yang diperbuat daripada tembaga seberat kira-kira 150 tan.

Setiap bahagian mempunyai tingkap yang memancarkan cahaya pada waktu malam. Ia merupakan antara mercu tanda yang sering dikunjungi pelancong di Ohio.

Pada tahun 1998, ia telah menerima Anugerah Pembinaan Ohio disebabkan sistem plaster sintetik yang digunakan.

-Kosmo!

Selasa, 4 Disember 2012

Pulau Bidong

Pulau Bidong terletak kira-kira 39 kilometer dari Kuala Terengganu.

Pulau Bidong merupakan tempat di mana 121 pelarian hanyut Vietnam pertama sampai pada Ogos 1978.

Ia kemudian menjadi pusat perlindungan bagi pelarian hanyut Vietnam sehingga tahun 1991.

Pulau Bidong pernah menempatkan sehingga 40,000 pelarian hanyut Vietnam pada tahun 1979.

Kira-kira 250,000 pelarian ada di pulau tersebut pada tahun 1991 sebelum dihantar ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis.

Seramai 4,535 bayi dilahirkan di Pulau Bidong semasa penempatan pelarian hanyut Vietnam.

Pulau Bidong kini menjadi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

-Kosmo!

Isnin, 3 Disember 2012

Ikan puyu

Ikan puyu turut dikenali dengan nama ikan betuk oleh orang Melayu dan dipanggil ikan karuk di Sabah.

Nama saintifik puyu ialah anabas testudineus.

Ia mempunyai kebolehan berhibernasi di dalam lumpur pada musim kemarau.

Ikan puyu hidup dalam berkumpulan dan kerap berhijrah.

Menu popular menggunakan puyu ialah masak berlada, pekasam, asam pedas, lemak rebung, singgang dan masak sambal.

-Kosmo!