Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 28 Februari 2012

Buaya purba ada perisai di kepala


Spesies buaya tertua diketahui manusia memiliki perisai kepala dan badan menyamai separuh panjag sebuah tren bawah tanah, menurut satu kajian yang disiarkan oleh sekumpulan saintis Amerika Syarikat.

Para penyelidik Universiti Missouri telah mengenal pasti identiti buaya baharu itu yang digelar Shieldcroc.

Haiwan itu berenang di sungai-sungai di Afrika 95 juta tahun yang lalu.

Profesor anatomi universiti itu, Casey Holliday mengenal pasti buaya tersebut yang merupakan spesies Aegisuchus witmeri menerusi penemuan sebahagian spesimen tengkorak yang ditemui di Maghribi.

sumber: Kosmo!, AFP

Isnin, 27 Februari 2012

Puak asli aneh berkeliaran di tebing sungai di tenggara Peru


Pihak berkuasa Peru menyatakan, mereka sukar membendung orang luar daripada mendekati satu kumpulan suku kaum pribumi hutan Amazon di Amerika Latin yang mula berkeliaran di tepi tebing sungai selepas mereka terasing daripada peradaban manusia.

Puak itu dikenali sebagai Mashco-Piro. Kumpulan kecil orang asli berkenaan mula berkeliaran di tebing sungai sebuah hutan yang popular dalam kalangan pelancong sejak 2011.

Tingkah laku mereka mengelirukan ramai saintis. Adalah dipercayai bahawa kemunculan suku Mascho-Piro itu adalah disebabkan pencerobohan hutan oleh pembalak serta bunyi bising pesawat yang terbang rendah dari kawasan eksplorasi minyak dan gas asli di sekitarnya.

Setakat ini, suku kaum Mascho-Piro dipersalahkan berhubung kejadian serangan anak panah terhadap orang ramai yang berada di tebing sungai berkenaan di negeri Madre de Dios, tenggara Peru apabila puak berkenaan muncul buat pertama kali pada Mei 2011.

Pada bulan berikutnya, sebilah anak panah menusuk jantung seorang penduduk pribumi tempatan, Nicolas 'Shaco' Flores yang sudah lama menjalin hubungan baik dengan suku kaum Mascho-Piro.

"Kini sukar buat kami untuk mengetahui punca suku kaum Mascho-Piro keluar dari rimba kerana satu-satunya individu yang dapat bertutur dengan mereka sudah mati," kata seorang pakar arkeologi Sepanyol, Diego Cortijo.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Survival International menyiarkan gambar-gambar orang asli Mascho-Piro berkeliaran di tebing sungai tersebut.

Sehingga kini dipercayai terdapat berapa ratus orang asli Mascho-Piro hidup di hutan Taman Negara Manu di Peru.

sumber: Kosmo!, AP

Pokok sentang


Pokok sentang atau Azadirachta excelsa adalah dari kaum Meliaceae dan merupakan pokok tempatan yang terkenal di kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia.

Bagi kaum Melayu, kayu daripada pokok ini berguna dalam pembinaan rumah dan daun pucuk boleh dimakan sebagai ulam walaupun terasa pahit.

Daun yang tua rasanya pahit dan diguna sebagai ubat dan buahnya boleh dimakan tetapi tidak enak.

Pokok ini merupakan spesies tempatan di Semenanjung Malaysia, Sumatera, Borneo, Sulawesi, Celebes, Moloccas dan Filipina.

Pokok ini juga lazimnya ditanam di tepi jalan raya dan di atas sempadan kebun atau di dalam ladang-ladang getah atau nanas secara sampingan.

Kebanyakan anak benih adalah dihasilkan daripada biji benih tetapi ia boleh juga dihasilkan secara keratan, grafting, marcotting serta kultur tisu.

Lain-lain kegunaan spesies ini adalah untuk pembinaan rumah, perhiasan dalaman, panelling, venir, lantai, ukiran, kotak, pintu dan sampan.

sumber: Kosmo!

Jumaat, 24 Februari 2012

Pusat Sains Negara


Pusat Sains Negara yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur telah dibuka secara rasmi pada 29 November 1996.

Pusat itu menyediakan pelbagai jenis bahan pameran yang direka untuk menarik, merangsang dan mendorong para pelawat untuk menanam minat aktif terhadap sains dan teknologi.

Bahan pameran itu ditempatkan di galeri yang berbagai-bagai terma dengan galeri-galeri tersebut dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu sains asas dan teknologi.

Orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program Pusat Sains Negara boleh melayari laman web di www.psn.gov.my atau menghubungi talian 03-2089 3400.

sumber: Kosmo!

Khamis, 23 Februari 2012

Myanmar


Nama rasmi Myanmar ialah Republik Kesatuan Myanmar.

Ibu negara Myanmar ialah Natpyidaw manakala bandar terbesar ialah Yangon atau dikenali juga sebagai Rangoon.

Bahasa rasmi untuk negara Myanmar ialah Burma.

Luas negara Myanmar ialah 676,578 kilometer persegi.

Populasi negara Myanmar ialah seramai 60 juta orang.

Matawang negara Myanmar ialah kyat.

Myanmar mendapat kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 4 Januari 1948 manakala berada di bawah pemerintahan junta tentera pada 2 Mac 1962.

Myanmar berada di bawah pemerintahan baharu pada 30 Mac 2011.

sumber: Kosmo!

Cicak gerakkan ekor supaya lancar mendarat

Cicak mengubah posisi ekor ketika ia berada di udara supaya haiwan itu dapat mendarat dengan lancar manakala aksi serupa turut dilakukan beberapa spesies dinosaur seperti velociraptor.

Pendedahan tersebut dibuat oleh sepasukan penyelidik Universiti California yang mengkaji pergerakan cicak agama di dalam makmal.

Saintis-saintis berkenaan merakam reptilia Afrika itu semasa ia melompat dari platform landai dan mendarat di sebuah dinding.

Rakaman gerak perlahan menunjukkan cicak agama membengkokkan ekor semasa berada di udara bagi memastikan ia dapat mendarat dengan sempurna.

sumber: Kosmo!, AFP

Rabu, 22 Februari 2012

Pulau Ketam


Pulau Ketam ialah sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran Pelabuhan Klang, Selangor.

Keluasan Pulau Ketam adalah seluas 63 kilometer persegi.

Pulau ini dibuka pada tahun 1880 dan pengangkutan untuk sampai ke pulau ini adalah dengan menaiki feri daripada Pelabuhan Klang. Kebanyakan penghuni di Pulau Ketam ini adalah nelayan berbangsa cina.

Dialek utama penduduk Pulau Ketam ialah Hokkien, Teochew dan Mandarin.

Penduduk yang memiliki kereta membayar RM60 sebulan untuk parkir di jeti Pelabuhan Pulau Ketam yang terletak di Pelabuhan Klang.

Setiap tahun, pertandingan karaoke akan diadakan sempena Tahun Baru Cina.

Terdapat sebilangan masyarakat Cina Muslim mendiami Pulau Ketam.

Populasi Pulau Ketam pada tahun 1883 hampir mencecah 100 orang dan ia terus meningkat kepada ribuan orang ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Pulau Ketam terdiri daripada dua buah kampung, Kampung Pulau Ketam dan Kampung Sungai Lima.

Di pulau ini terdapat tiga buah tadika, tiga sekolah rendah dan satu sekolah menengah.

Feri merupakan pengangkutan utama yang menghubungkan pelabuhan ke Pulau Ketam dengan bayaran RM7 untuk satu perjalanan.

sumber: Kosmo!

Selasa, 21 Februari 2012

Ribut matahari


Ribut matahari berlaku disebabkan suhu luar biasa matahari. Perkara itu terjadi disebabkan ada gas matahari yang tidak meresap masuk kembali ke dalam matahari sebaliknya berlegar di angkasa lepas.

Sebahagian gas itu sampai ke bumi dalam bentuk ribut matahari tetapi ia tidak mengakibatkan kemusnahan alam sebaliknya cuma merosakkan alat komunikasi.

Ribut matahari yang pertama dicatatkan pada 1 September 1859. Dua peneliti, Richard C. Carrington dan Richard Hodgson yang sedang memerhatikan bintik matahari melalui teleskop di tempat berbeza, mendapati wujud cahaya putih besar di sekeliling matahari.

Peristiwa yang dinamakan Carrington Event itu menyebabkan sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah terjejas teruk.

sumber: Kosmo!

Isnin, 20 Februari 2012

Premium Outlets

Premium Outlets mempunyai portfolio sebanyak 70 outlet di seluruh dunia:
  • 57 di Amerika Syarikat
  • 8 di Jepun
  • 2 di Korea Selatan
  • 1 di Puerto Rico, Mexico dan Malaysia.

Johor Premium Outlets (JPO) adalah usaha sama Kumpulan Simon Property dan Kumpulan Genting. Ia dibuka pada Disember 2011. Ia adalah pusat outlet pertama di Asia Tenggara.

sumber: Kosmo!

Pyrite


Pyrite ialah sejenis mineral berkilauan dan berwarna kuning menyebabkan ia mendapat jolokan emas tipu (fool gold).

Pyrite ialah bahan yang biasa terdapat dalam mineral sulfat dan ia mendapat nama daripada bahasa Greek yang bermaksud api kerana kemampuan menghasilkan percikan api apabila digesel pada besi atau batu api.

Dari tahun 1680 hingga 1690, pyritte digunakan secara meluas dalam penghasilan komponen penting dalam senjata jenis raifal dan pistol.

Ia kemudian digunakan secara komersial untuk pengeluaran sulfur dioksida dalam operasi kilang kertas dan pengeluaran asid sulfurik.

Pada awal abad ke-20, pyrite digunakan dalam alat pengesan logam dan juga penerima gelombang radio.

Pada awal bulan Januari 2012 penduduk Kampung Melayu Majidee di Johor telah digemparkan dengan penemuan sejenis galian yang pada mulanya disangka emas, namun kemudian disahkan oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains bahawa galian tersebut ialah pyrite.

sumber: Kosmo!, www.mindat.org

Khamis, 16 Februari 2012

Muzium Louvre


Muzium Louvre ialah sebuah muzium yang terdapat di Paris, Perancis. Bangunan muzium tersebut merupakan bekas Istana Diraja yang terletak di tengah-tengah Paris di antara Sungai Seine dan Rue de Rivoli.

Bangunan itu bermula sebagai sebuah kubu yang dibina lewat abad ke-12 di bawah Philippe II. Seterusnya ia telah mengalami pengubahsuaian sehingga membentuk istana pada abad ke-14.

Pada tahun 1672, Raja Louis XIV memilih Istana Versailles sebagai istana rasmi dan menjadikan Louvre sebagai tempat untuk menyimpan pelbagai koleksi diraja.

Sewaktu Revolusi Perancis, Louvre telah dijadikan sebagai sebuah muzium yang mempamerkan karya agung negara tersebut. Pada 1973, sebahagian daripada bangunan itu akhirnya telah dibuka kepada orang awam.

Bermula dengan hanya 537 buah lukisan dan 184 buah arca dan artifak, koleksi berharga di muzium itu terus bertambah melalui sumbangan, hadiah termasuk yang diperolehi melalui tentera Perancis melalui kempen penjajahannya ketika itu.

Kini, Louvre menyimpan kira-kira 380,000 artifak termasuk 35,000 karya seni masyarakat Perancis dari zaman raja-raja Capetian, kemudian ke Empayar Napoleon Bonaparte sehinggalah ke hari ini.

Salah satu karya seni paling berharga dipamerkan di Muzium Louvre ialah potret Mona Lisa yang merupakan karya agung seniman Leonardo da Vinci.

Di samping itu, Louvre turut menyimpan karya artis terkenal seperti Fragonard, Rembrandt, Rubens, Titian dan Poussin. Turut dipamerkan beberapa arca seperti Winged Victory of Samothrace dan Venus de Milo.

Antara yang menarik yang dipamerkan di sini ialah sebuah meja milik Raja Louis XIV dikenali sebagai Bureau du Roi yang kini telah dipulangkan semula ke Istana Versailles.

Setiap bahan pameran dibahagikan kepada lapan kurator berbeza antaranya Mesir Purba, Asia Barat, Greek, Rom, Kesenian Islam, seni hiasan, seni lukis, cetakan dan lukisan.

Pada awal 80-an, Presiden Perancis, Francois Mitterand mencadangkan pembinaan Grand Louvre yang menyaksikan proses pengubahsuaian dan pembesaran secara besar-besaran dilakukan di Louvre.

Arkitek Amerika Syarikat, Ieoh Ming Pei telah dilantik untuk mereka sebuah piramid kaca di tengah-tengah halaman utama yang berfungsi sebagai pintu masuk ke muzium.

Siap pada tahun 1988, binaan kaca yang pada mulanya dilihat tidak segandingan dengan seni bina silam bangunan itu, akhirnya diterima dan telah menarik lebih ramai pengunjung ke muzium tersebut.

Dengan keluasan lebih kurang 60,600 meter persegi, Louvre kini diiktiraf antara muzium terbesar di dunia.

Pada tahun 2011 Muzium Louvre telah dikunjungi lebih 8.8 juta pelawat dari seluruh dunia. Populariti muzium itu juga turut menarik penerbit filem Da Vinci Code untuk menjadikannya lokasi penggambaran.

Muzium Louvre mempunyai kakitangan hampir 2,000 orang.

Bangunan muzium terbahagi kepada tiga sayap utama iaitu Sayap Sully Wing di timur, Sayap Richelieu (utara) dan Sayap Denon (selatan).

Setiap hari Louvre dikunjungi hampir 15,000 pelawat. 60 peratus pelawat muzium ini merupakan pelancong asing.

Sumber: Kosmo!

Isnin, 13 Februari 2012

Tasmania

Tasmania merupakan pulau yang ke-26 terbesar di dunia.

Ia mempunyai populasi penduduk hampir 507,626 (Jun 2010).

Ia mempunyai keluasan 68,401 kilometer persegi.

Kira-kira 37 peratus kepulauan itu terletak dalam kawasan rizab, taman negara dan Tapak Warisan Dunia.

Ibu negeri dan bandar terbesar di Tasmania dikenali sebagai Hobart.

sumber: Kosmo!

Jumaat, 10 Februari 2012

Matilda spesies ular baharu


Pasukan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar yang diketuai oleh pengarahnya, Tim Davenport menemui spesies ular baharu di Tanzania dua tahun lalu.

Penemuan yang baru sahaja diperkenalkan dalam jurnal Zootaxa itu memiliki badan berwaran kuning, warna mata kehijauan dan sepasang tanduk.

Ia diberi nama ular kapak bertanduk Matilda sempena nama anak perempuan Davenport. Sehingga kini, hanya tiga ular kapak baharu ditemui di Afrika.

Penemuan yang terlalu sedikit dalam tempoh tiga dekad itu menjadikan ular tersebut sebagai sangat jarang dan penting.

Bagaimanapun, pihak persatuan tidak mendedahkan lokasi tepat ular tersebut dijumpai supaya pemburu-pemburu barang cenderamata haiwan tidak memburunya.

Menurut Davenport, dia tidak pasti jumlah ular yang masih hidup di dalam dunia liar kerana pengiraan spesies tersebut amat sukar. Sebanyak 12 ekor masih hidup dan pelan pembiakan sudah mula dijalankan.

sumber: Kosmo!

Khamis, 9 Februari 2012

Basikal lipat


Sejarah mengenai penciptanya agak kabur tetapi dikatakan mula diperkenalkan pada tahun 1890-an ekoran permintaan daripada tentera darat Perancis yang mahukan pengangkutan infantri yang senang dibawa ke mana-mana.

Ia juga pernah digunakan di antara tahun 1939 hingga 1954 semasa Perang Dunia Kedua oleh pasukan payung terjun tentera darat British.

Boleh dilipat menjadi kecil bagi memudahkan ia dibawa semasa terjun daripada kapal terbang.

Harga di pasaran di Malaysia di antara RM1,001 hingga RM12,000.

Terbahagi kepada beberapa jenis seperti road folding bike, mountain folding bike dan tandem folding bike.

Ukuran tayar di antara 30 hingga 76 sentimeter (12 hingga 30 inci).

Berat di antara 8.7 kilogram (kg) sehingga 14 kg.

Basikal sama boleh digunakan bermula usia tujuh hingga 70 tahun kerana ia boleh dilaraskan.

Terdapat lebih 150 jenis basikal lipat dalam pasaran.

Basikal atau basikal lipat tidak disediakan insurans kerana ia dilihat sebagai sukan atau hobi dan bukan kenderaan.

Penyelenggaraan basikal lipat hampir sama seperti basikal biasa iaitu pemeriksaan rantai basikal, kunci, gris dan tayar.

Aksesori basikal lipat termasuk hon, topi keledar, beg, pam basikal dan peralatan penyelenggaraan.

sumber: Kosmo!

Rabu, 8 Februari 2012

Antartika


Antartika merupakan benua paling sejuk di muka bumi dengan suhu di bawah 37'C makala keluasannya ialah 15,540,000 kilometer persegi.

Tumbuh-tumbuhan yang hidup hanya berupa lumut manakala haiwan terdiri daripada anjing laut dan penguin.

Mengandungi banyak gunung manakala ketebalan saljinya ialah 2,200 meter.

Terdapat banyak bahan mentah galian seperti besi, arang, uranium, plambam, nikel, kobalt, zeng, tembaga, timah, emas, perak, platinum, kromium, minyak dan gas.

Nama Antartika berasal daripada perkataan Greek anti yang bermaksud 'bertentangan' atau 'tiada' dan arktos yang bermaksud beruang. Antartika merupakan gabungan untuk anti arktos yang bermaksud 'tiada beruang'.

sumber: Kosmo!, pmr.penerangan.gov.my, Kamus Etimologi Bahasa Melayu Fajar Bakti

Jumaat, 3 Februari 2012

Asma al-Assad


Asma al-Assad (Asma Fawaz Akhras) dilahirkan pada 11 Ogos 1975 dan dibesarkan di Acton, London. Dia merupakan anak kepada bekas diplomat dan kardiologi Fawas Akhras.

Asma dibesarkan dalam persekitaran Muslim sekular dan bertutur dalam bahasa Arab ketika di rumah. Asma al-Assad mendapat pendidikan awal di Church of England di Ealing dan di Queen College, Harley Street, London.

Selepas menamatkan A-Level, Asma al-Assad menyambung pengajiannya di King's College, London dalam bidang Sains Komputer dan diploma dalam Kesusasteraan Perancis.

Dia berjaya menamatkan sarjananya dalam kelas pertama dan selepas enam bulan mengembara, dia menyertai Bank Deutsche sebagai seorang penganalisis.

Kemudiannya dia berpindah ke bank JP Morgan dan bekerja di Paris, New York serta London.

Dalam satu percutian bersama keluarganya di Syria, beliau kebetulan bertemu Bashar al-Assad. Asma kemudiannya berkahwin dengan Bashar, lima bulan selepas Bashar dilantik menjadi presiden Syria, menggantikan bapanya, Hafez al-Assad yang meninggal dunia pada tahun 2000.

Asma al-Assad menjadi Wanita Pertama Syria yang menampilkan imej sebagai seorang wanita Syria yang moden. Gambarnya berpakaian skirt sehingga ke paras lutut dirakamkan buat pertama kalinya ketika menyambut kunjungan hormat Presiden Bulgaria, Peter Stoyanov ke Damsyik pada tahun 2001.

Asma al-Assad terus mendapat tumpuan termasuk gambarnya di sebelah Pope John Paul II yang melakukan kunjungan hormat ke Damsyik.

Asma juga digelar ikon fesyen dalam dunia politik. Beliau begitu menggilai produk-produk jenama Chanel sering dibandingkan dengan Puteri Rania dari Jordan dan wanita pertama Perancis, Carla Bruni.

Asma al-Assad juga menggemari kasut tinggi ciptaan pereka kasut Perancis, Christian Louboutin.

sumber: Kosmo!

Khamis, 2 Februari 2012

Rumah Opera Sydney


Rumah Opera Sydney terletak berhampiran Sydney Harbour Bridge di Sydney, Australia.

Bangunan ini yang unik dengan reka bentuk futuristik dan bentuk geometri umpama cengkerang laut adalah ilham arkitek terkenal yang berasal dari Denmark iaitu Jorn Utzon.

Kerja pembinaan Rumah Opera Sydney dimulakan oleh Utzon pada tahun 1957 bagaimanapun berhenti pada tahun 1966 akibat kontroversi bajet berlebihan untuk pembinaannya.

Rumah Opera Sydney dibuka pada tahun 1973, ia menjadi tempat untuk pelbagai pertunjukan teater muzikal, opera, balet dan lain-lain seni persembahan.

Ruang yang paling besar ialah di Concert Hall yang mampu memuatkan 2,679 penonton manakala Opera Theatre pula mampu menampung kapasiti sehingga 1,507 penonton.

Di samping itu juga terdapat beberapa ruang lain yang sesuai untuk persembahan berskala kecil seperti Drama Theatre, Playhouse, The Studio, Utzon Room dan ruang terbuka Forecourt.

Pada tahun 2007, Rumah Opera Sydney telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Penyelidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

sumber: Kosmo!

Rabu, 1 Februari 2012

Perpustakaan Raja Tun Uda


Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU) terletak di Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, Shah Alam.

Perpustakaan itu merupakan hadiah daripada Sultan kepada rakyat Selangor sempena pengisytiharan Selangor Maju 2005. Ia mempunyai enam aras secara keseluruhan dan berkeluasan 18,921.91 meter persegi.

Perpustakaan Raja Tun Uda dibuka selama tujuh hari seminggu termasuk hari Sabtu dan Ahad kecuali cuti umum.

Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perpustakaan itu hanya perlu membawa Mykad.


Perpustakaan tersebut turut dilengkapi gimnasium yang membolehkan para pengunjung beriadah. Terdapat tiga gimnasium disediakan iaitu khusus untuk lelaki, wanita dan yang boleh digunakan oleh kedua-dua jantina.

Perpustakaan Raja Tun Uda turut menyediakan ruang untuk bersantai dengan pemandangan tasik yang menenangkan.

Selain daripada itu, Perpustakaan Raja Tun Uda menyediakan ruangan XD teater - 6D Ride Motion Experience yang merupakan yang pertama di Malaysia.

sumber: Kosmo!