Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Ahad, 30 September 2012

Wanko Soba

Wanko soba merupakan salah satu menu istimewa yang dari wilayah Iwate, Jepun.

Wanko soba terdiri daripada satu hidangan mi yang diisi dalam mangkuk kecil.

Ia merupakan salah satu jenis mi yang menjadi makanan tradisi masyarakat Jepun.

Dalam bahasa Jepun, gandum kuda dipanggil soba. Ia merupakan sejenis mi nipis dihasilkan daripada gandum tersebut yang hanya terdapat di Jepun.

Berbeza dengan mi udon atau mi gandum biasa yang lebih tebal, mi itu dihidangkan secara dingin bersama sos celup yang pedas atau bersama air rebusan daging panas sebagai sup.

Nama wanko berasal daripada dialek bahasa masyarakat setempat di Iwate yang bermaksud mangkuk kayu Jepun bersaiz kecil.

Secara umum, mi soba digemari masyarakat Jepun kerana khasiatnya.

Dianggarkan, 100 gram mi soba mempunyai 344 kalori.

-Kosmo!

Jumaat, 28 September 2012

Ikebana

Ikebana merupakan seni gubahan flora dari Jepun yang tidak hanya memfokus kepada kecantikan bunga semata-mata.

Ikebana merupakan seni menggubah batang, daun dan bunga dalam bekas unik.

'Ike' bermakna gubahan dan 'bana' bermaksud bunga.

Antara teknik gubahan biasa ikebana adalah rikka (bunga berdiri), seika atau shoka (bunga hidup) dan nageire (bunga seperti di awangan) dan moribana (gubahan bunga tinggi) yang menggunakan bekas seperti pinggan.

Mengaplikasikan dahan, daun malah rumput dan pelbagai tumbuhan lain pada bekas bunga yang unik untuk menghasilkan gubahan yang sempurna.

Ikebana boleh dijadikan cenderamata istimewa untuk diberikan kepada rakan atau saudara-mara.

Seni budaya gubahan ikebana berusia lebih tujuh abad.

Ikebana dipercayai mula digunakan dalam majlis keagamaan sebelum dikomersialkan.

Penggubah ikebana bebas menggunakan kreativiti tersendiri dalam proses gubahan namun mereka juga perlu mematuhi peraturan yang ada.

-Kosmo!

Khamis, 27 September 2012

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang dibentuk di San Francisco, Amerika Syarikat pada 24 Oktober 1945.

Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia dan sebanyak 193 negara telah menyertai pertubuhan ini.

Malaysia menganggotai PBB pada tahun 1957.

Bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat

Matlamat PBB adalah untuk mengelakkan berulangnya pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa dan memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Piagam PBB mempunyai enam alat yang utama iaitu Perhimpunan Agung, Majlis Keselamatan, Majlis Ekonomi dan Sosial, Majlis Peramanahan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Sekretariat.

Terdapat 18 badan-badan lain yang merupakan agensi khas dalam PBB antaranya seperti Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Senarai Setiausaha Agung PBB

1. Trygve Lie (Norway), 1 Februari 1946 - 10 November 1952

2. Dag Hammarskjöld (Sweden), 10 April 1953 - 18 September 1961

3. U Thant (Myanmar), 30 November 1961 - 31 Disember 1971

4. Kurt Waldheim (Austria), 1 Januari 1972 - 31 Disember 1981

5. Javier Pérez de Cuéllar (Peru), 1 Januari 1982 - 31 Disember 1991

6. Boutros Boutros-Ghali (Mesir), 1 Januari 1992 - 31 Disember 1996

7. Kofi Annan (Ghana), 1 Januari 1997 - 31 Disember 2006

8. Ban Ki-moon (Korea Selatan), 1 Januari 2007 - 1 Januari 2016

-Kosmo!

Rabu, 26 September 2012

Ensiklopedia Britannica

Ensiklopedia bermaksud buku yang sarat keterangan ringkas dan tepat tentang pelbagai ilmu pengetahuan yang disusun mengikut abjad atau cabang ilmu.

Ensiklopedia Britannica mula diterbitkan pada tahun 1768 di Edinburgh, Scotland.

Cetakan pertamanya hadir dengan judul, A Dictionary of Arts and Sciences yang menghimpunkan maklumat tentang seni dan sains.

Ia diasaskan oleh Collin Macfarquhar dan Andrew Bell, warga Scotland yang memiliki kepakaran dalam bidang cetakan, ukiran dan penjualan buku. Maklumat mengenai kedua-dua pengasas itu sukar dikesan seolah-olah tiada rekod lengkap tentang mereka.

Sebelum tahun 1901, Britannica dimiliki firma penerbitan Scotland. Ia kemudian berpindah hak milik keada syarikat Amerika Syarikat, Horace E. Hooper dan Walter M. Jackson.

Walaupun pusat operasi ensiklopedia tersebut telah berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1901, sidang pengarangnya masih menggunakan ejen British. Kini ibu pejabat terbaharu Britannica Online terletak di Chicago, Amerika Syarikat.

Selama dua abad beroperasi dalam industri buku, Britannica mengekalkan konsep saiz, ketebalan dan isi kandungan yang sama. Setakat ini, dianggarkan Britannica sudah mencetak 40 juta perkataan dan setengah juta topik mengikut peredaran semasa.

Teks dan ilustrasi edisi ke-15 Britannica yang diterbitkan pada 1974 dimuat naik menggunakan sistem pengkomputeran kerana memudahkan proses suntingan.

Syarikat itu mula meneroka penerbitan digital pada 1970-an dan mengeluarkan CD-ROM pertama pada 1989 serta versi dalam talian pada 1994.

Sepanjang penerbitan, setiap kandungannya dikemas kini oleh 100 orang pengarang sepenuh masa dan 4,400 orang penyumbang artikel.

Kredibiliti dan kesahihan maklumat Britannica tidak dipertikaikan memandangkan ia turut melibatkan penyumbang profesional seperti ahli fizik tersohor, Albert Einstein; bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan bekas Ketua Biskop Cape Town, Desmond Tutu.

Dari segi pemilikan pula ia bersilih ganti. Pada era kedua cetakan, syarikat itu diambil alih oleh firma penerbitan Edinburgh, A&C Black, sebelum bertukar hak milik kepada Horace Everett Hooper, Sears Roebuck dan William Benton.

Pada tahun 1911 hingga kini, penerbitannya adalah di bawah syarikat Encyclopedia Britannica Inc. milik jutawan Switzerland, Jacqui Safra.

Setiausaha Negeri Amerika Syarikat, Madeleine Albright pernah bertugas di Britannica sebelum beliau aktif dalam karier diplomatik.

-Kosmo!

Selasa, 25 September 2012

Taiwan

Taiwan menyambut Hari Kemerdekaan pada 10 Oktober setiap tahun yang bertujuan untuk memperingati kebangkitan Wuchang yang diketuai pengikut-pengikut Dr. Sun Yat-sen. Beliau menggulingkan Dinasti Ching yang korup dan boros pada Oktober 1911.

Kebankitan itu merupakan permulaan kepada revolusi 1911 yang membawa kepada kewujudan Republic of China (ROC) pada 1 Januari 1912.

Pada tahun 1895, Taiwan termasuk Pulau Penghu menjadi tanah jajahan Jepun iaitu sebuah konsesi Empayar Qing selepas kekalahan dalam Perang Sino-Jepun Pertama.

Berikutan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia II pada tahun 1945, Tentera Bersekutu memerintahkan tentera Jepun menyerahkan Taiwan kepada ROC dan ROC menjadi pemerintah mutlak Taiwan sejak itu.

-Kosmo!

Isnin, 24 September 2012

penyu Karah

Nama saintifik bagi penyu karah ialah Eretmochelys imbricata.

Badan penyu karah berukuran antara 70 hingga 90 sentimeter.

Berat penyu karah antara 35 hingga 75 kilogram.

Mulut penyu ini berbentuk paruh burung helang.

Makanan utamanya ialah karang lembut.

Purata pengeluaran telur sehingga 130 biji.

Penyu dari spesies ini mendarat di Terengganu, Melaka, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

-Kosmo!, www.fri.gov.my

Isnin, 10 September 2012

Nurseri

Nurseri merupakan tempat anak benih pokok dibiak dan dibesarkan.

Terdapat tiga jenis nurseri di Malaysia iaitu nurseri runcit, nurseri borong dan nurseri landskap.

Nurseri runcit ialah tempat menghasilkan dan memasarkan tanaman hiasan secara kecil-kecilan.

Nurseri borong ialah tempat menghasilkan dan memasarkan tanaman hiasan secara besar-besaran.

Nurseri landskap ialah tempat memberikan perkhidmatan landskap seperti menyediakan khidmat nasihat tentang landskap, menyediakan pelan landskap, penyelenggaraan kawasan dan membina landskap mengikut kehendak pelanggan.

Antara binaan-binaan yang perlu ada di dalam nurseri adalah seperti berikut:
  • Pejabat dan tempat jualan
  • Rumah tumbuhan
  • Stor
  • Tempat simpanan medium
  • Tempat pembiakan
  • Tempat pengerasan
  • Kolam air (untuk bekalan air tumbuhan)
  • Garaj kenderaan
  • Bilik pengawal
  • Bilik pekerja
  • Surau
  • Tandas

-Kosmo, www.rahsiataman.com

Jumaat, 7 September 2012

Machu Picchu

Pada tahun 1911, seorang pengembara iaitu Profesor Hiram Bingham telah membuat pengembaraan untuk menjejaki kota Inca yang hilang iaitu Vilcabamba dan juga emas yang terdapat di kota tersebut.

Setelah beberapa hari menerokai hutan Amazon yang tebal, menyeberang sungai Urubamba yang deras dan merbahaya dan mendaki kawasan pergunungan, beliau akhirnya menemui runtuhan tamadun Inca yang dikenali sebagai Machu Picchu.

Nama Machu Picchu datang dari perkataan Quechua yang bermaksud 'puncak yang tua'. Machu Picchu terletak 8,000 kaki dari paras laut di pergunungan Andes.

Ia merupakan sebuah kota purba yang tersembunyi sehingga hanya beberapa orang penduduk tempatan sahaja yang mengetahuinya.

Teori daripada para cendikiawan mengatakan bahawa Machu Picchu telah dibina sekitar tahun 1450 dan didiami oleh masyarakat Inca ataupun pembesar-pembesar daripada Cuzco, ibu kota masyarakat Inca.

Ia juga mungkin sebuah kuil ataupun tempat ibadat di mana anak-anak gadis yang telah dipilih dikorbankan untuk suatu upacara suci.

Ahli arkeologi dan sejarawan lain pula mengatakan bahawa Machu Picchu telah dibina dan digunakan oleh Inka Pachakuteq, seorang raja yang memerintah sejak tahun 1438 hingga 1471.

Mumia yang ditemui oleh Hiram Bingham menunjukkan bahawa 80% daripada populasi Machu Picchu adalah wanita.

Ini telah memperkukuhkan teori bahawa kawasan tersebut dijadikan sebagai Aqllawasi ataupun tempat untuk wanita terpilih.

Wanita yang dipilih adalah wanita yang paling cantik dan paling suci yang dianggap sebagai isteri-isteri Tuhan Matahari.

Suatu hari, Machu Picchu telah ditinggalkan. Tiada siapa yang tahu mengapa ia ditinggalkan.

Ada yang mengatakan bahawa terdapat epidemik yang merbahaya telah merebak di kawasan tersebut dan menyebabkan orang ramai meninggalkan tempat itu.

Ada juga yang berpendapat bahawa penduduk di situ meninggalkan tempat tersebut telah raja yang memerintah di situ mangkat.

Ada juga yang mengemukakan teori bahawa masyarakat di situ telah dibunuh oleh tentera musuh yang datang menakluk kawasan tersebut.

Kota Inca telah dilupakan sehingga awal abad ke-20.

Kini, Machu Picchu telah dijadikan Monumen Bersejarah Kebangsaan. Ia diletakkan di bawah perlindungan kerajaan negara Peru dan kerja-kerja pemuliharaan telah dilakukan untuk memelihara kawasan sekitarnya seperti flora dan fauna, formasi geologi dan tinggalan arkeologi.

Machu Picchu telah dianugerahkan sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1983 dan menjadi salah satu tempat yang paling ramai pengunjung di Amerika Selatan.

Anda boleh membaca dan mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Mavhu Picchu dan Empayar Inca di laman web www.machupichumystery.com

- New Straits Times

Khamis, 6 September 2012

Bola sepak

Tahukah anda, bola sepak yang terdapat hari ini telah menjalani proses evolusi selama ribuan tahun?

Tamadun kuno seperti tamadun Cina, Aztec dan kaum Maya telah bermain sejenis permainan seperti bola sepak bagaimanapun menggunakan bola yang berbeza seperti yang ada sekarang.

Contohnya, masyarakat Cina kuno menggunakan bola yang diperbuat daripada kulit binatang.

Hanya pada Zaman Pertengahan baharulah sejenis bola yang diisi angin dicipta dan digunakan.

Bola sepak telah diiktiraf sebagai sukan popular pada Zaman Pertengahan. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bola bagi permainan bola sepak di Eropah pada zaman tersebut adalah pundi-pundi haiwan seperti pundi-pundi babi yang digunakan oleh masyarakat Itali sekitar 1600-an.

Bolasepak zaman pertengahan

Bagaimanapun, pundi-pundi haiwan senang rosak dan bentuknya yang agak sukar untuk dikawal. Untuk menyelesaikan masalah ini, bola yang diperbuat daripada pundi-pundi haiwan dibalut dengan kulit yang menjadikan ia lebih kuat dan berbentuk bulat.

Pada tahun 1800-an, bermula era bola sepak profesional dan lebih perhatian telah diberikan untuk meningkatkan kualiti bola yang digunakan.

Pada tahun 1855, seorang lelaki bernama Charles Goodyear telah mencipta sejenis bola yang bulat daripada getah. Sebelum ini getah tidak pernah digunakan untuk membuat bola kerana ia agak melekit dan boleh berubah bentuk apabila cuaca panas.

Goodyear telah menyelesaikan masalah ini dengan memcipta sejenis kaedah merawat getah agar menjadi padat dan kuat, tanpa menjejaskan lantunannya. Kaedah tersebut dipanggil pemvulkanan (vulcanization).

Sehingga pertengahan tahun 1800-an, tiada sebarang peraturan tentang saiz dan bentuk bola sepak dibuat. Pada tahun 1872, Persatuan Bola Sepak Inggeris (English FA) telah ditubuhkan dan menetapkan bahawa bola yang digunakan mestilah berbentuk bulat dan bersaiz di antara 27 dan 28 inci. Saiz dan bentuk bola ini kekal digunakan sehingga kini.

Satelit Telstar
Apabila Piala Dunia yang pertama diperkenalkan pada tahun 1930, mereka masih menggunakan bola yang diperbuat daripada pundi-pundi haiwan yang dibalut dengan kulit. Pada tahun 1950-an, bola tersebut diubahsuai menjadi kalis air dan dicat berwarna hitam atau jingga.

Bola yang berwarna hitam putih seperti yang terdapat kini diperkenalkan oleh Adidas pada tahun 1970. Bola yang diperbuat khas untuk Piala Dunia itu mempunyai 32 petak yang diwarnakan hitam dan putih secara berselang-seli (20 petak berwarna putih dan 12 petak berwarna hitam).

Bola tersebut dinamakan Telstar bersempena sejenis satelit yang menyerupainya. Bola tersebut diwarnakan hitam dan putih agar lebih mudah dilihat di dalam televisyen yang mana pada waktu itu masih lagi disiarkan dalam siaran hitam putih.

Telstar digunakan sekali lagi pada Piala Dunia 1974 dan kemudian ia telah diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai bola rasmi Piala Dunia 1974.

Bola itu tersu digunakan sehinggalah Piala Dunia 2006 apabila Adidas memperkenalkan bola dengan 14 petak dinamakan Teamgeist iaitu bahasa Jerman yang bermaksud 'Semangat Berpasukan'.

Kurangnya petak menjadikan bola tersebut lebih licin. Petak-petak tersebut dilekatkan pada permukaan bola untuk menjadikan permukaannya lebih rata.

Pada Piala Dunia 2010, Adidas telah memperkenalkan bola dengan lapan petak yang dipanggil Jabulani, bahasa Afrika yang bermaksud 'meraikan'. Jumlah petak yang sedikit dan penggunaan bahan polyurethane telah menjadikan bola tersebut lebih mudah dikawal dan digunakan.

Pada zaman sekarang, bola sepak telah dibuat menggunakan teknologi tinggi. Sejenis bola dipanggil CTRUS tidak lagi memerlukan udara dipam ke dalamnya kerana ia tidak akan kempis dan akan bertukar warna apabila ia terkeluar daripada garisan. Ia juga dilengkapi kamera dan GPRS.

-New Straits Times

Rabu, 5 September 2012

Asid dan alkali

Asid

Nama asid berasal daripada perkataan Latin acidus dan juga acere yang bermaksud 'masam'.

Asid adalah sejenis cecair yang mempunyai rasa masam.

Asid merupakan benda yang mengandungi ion hidrogen dalam sesuatu larutan.

Ia juga berupa benda yang membebaskan hidrogen dan membina garam apabila ia bertindak dengan logam.


Asid Formik

Asid formik berasal dari bahasa Latin acere dan formica yang bermaksud semut.

Asid formik telah ditemui secara tidak sengaja oleh seorang pengkaji haiwan dan tumbuhan bernama John Ray pada kurun ke-17.

Beliau secara tidak sengaja telah memasak semut merah debgan banyaknya dan ia menghasilkan sejenis cecair yang berasa masam.

John Ray menamakan penemuan itu sebagai formic acid.

Asid formik biasa digunakan untuk membekukan getah asli.


Asid Sulfurik

Asid sulfurik terdapat dalam pencuci tandas, pencuci bahan-bahan logam, bateri kenderaan, senjata api dan kilang baja.

Kepekatannya berkadar di antara 8 hingga 100 peratus berasid.

Asid sulfurik pekat sifatnya sangat higroskopik dan boleh menyebabkan kecederaan kulit secara dehidrasi dan kecederaan haba (kebakaran).


Asid hidroklorik

Asid hidroklorik selain boleh didapati di dalam bahan-bahan seperti asid sulfurik, ia juga terdapat dalam pencuci kolam renang, peralatan sistem paip air dan bahan-bahan makmal.

Kepekatannya berkadar di antara 5 - 44%.


Asid kloroastetik

Terdapat tiga bentuk asid kloroastetik iaitu asid mono, di- dan trikloroastetik.

Asid monokloroastetik boleh menghasilkan kesan toksik yang signifikan pada sistem badan kerana ia menghalang kitaran asid trikarboksilik, seterusnya menggugat respirasi sel.

Asid dikloroasetik pula adalah asid yang lemah dan tidak mengganggu respirasi sel.

Asid trikloroasetik digunakan di dalam makmal dan menghasilkan kesan penghakisan yang sangat dahsyat tetapi tidak menjejaskan respirasi sel.


Kresol

Digunakan sebagai pengawet kayu dan bahan pencair gris.

Ia menghasilkan kesan iritasi pada kulit dan boleh menyerap masuk ke dalam kulit seterusnya menghasilkan kesan toksik pada sistem badan.


Asid asetik

Digunakan sebagai cuka dalam masakan harian.


Alkali

Sodium/potasium hidroksida

Sangat menghakis.

Sodium/potasium hidroksida pekat lebih tumpat daripada air dan boleh menghasilkan haba yang signifikan apabila dilarutkan.

Haba dan kealkalian sodium/potasium hidroksida menyumbang kepada kebakaran kimia yang teruk.


Sodium/kalsium hipoklorit

Bahan-bahan ini biasa didapati di dalam bahan peluntur dan larutan berklorin.

Klorin-klorin yang digunakan di kolam juga mempunyai kandungan sodium hidroksida dan mempunyai pH 13.5, membuatkannya bersifat sangat kaustik.

Sementara bahan peluntur yang digunakan di rumah hanyalah sekitar pH 11.


Kalsium oksida

Bahan kaustik yang terdapat di dalam simen.

Ia menghasilkan haba apabila dilarutkan dan menyebabkan kebakaran termal atau kaustik.


Ammonia

Digunakan dalam bahan pencuci dan detergen.

Ammonia yang telah dilarutkan tidak berbahaya.

Gas ammonia anhidros yang digunakan dalam sesetengah perindustrian khususnya pemgilangan baja adalah sangat higroskopik dan boleh menyebabkan kebakaran kulit dan kecederaan pulmonari.

Contoh bahan-bahan beralkali yang kurang berbahaya adalah seperti kalsium hidroksida, fosfat, silikat, sodium karbonat dan litium hidrdida.

-Kosmo!, Kamus Etimologi Bahasa Melayu Fajar Bakti.

Selasa, 4 September 2012

Oreo

Oreo merupakan biskut kegemaran di seluruh negara dengan 7.5 juta keping dimakan setiap tahun.

Ia dihasilkan pada tahun 1912 oleh National Biscuit Company atau lebih dikenali sebagai Nabisco yang kini sebahagian daripada Kraft Foods.

Terdapat satu lokasi di New York, Amerika Syarikat yang dipanggil Oreo Way yang merupakan kilang pertama Nabisco yang membuat biskut pertama Oreo.

Lebih 491 juta biskut Oreo telah dijual sejak ia mula diperkenalkan di pasaran, menjadikannya biskut terlaris pada abad ke-20.

Setiap permukaan bsikut Oreo mempunyai rekaan 12 kuntum bunga.

Kanada merupakan pasaran ke-4 terbesar Oreo selepas Amerika Syarikat, China dan Venezuela.

Oreo telah dijual di lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

Terdapat kira-kira 47 rangkaian produk Oreo yang dijual di pasaran antarabangsa termasuk biskut sandwich Oreo, peanut butter creme, fudge creme mint, double stuf, berry burst ice-cream dan kek snek Oreo.

Oreo sering kali dijadikan ramuan dalam pelbagai resepi manisan termasuk kek dan pai, minuman, biskut, hidangan pencuci mulut dingin serta kandi.

-Kosmo!

Isnin, 3 September 2012

Jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang

Jambatan Pertama Pulau Pinang

Jambatan ini sepanjang 13.5 kilometer dengan 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut.

Ia menghubungkan George Town dengan tanah besar Semenanjung di Seberang Prai.

Kerja pembinaan bermula pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985.

Kos pembinaan jambatan ini adalah sebanyak RM850 juta.

Struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (cable-stayed bridge) yang terawal di dunia.

Jambatan ini mula dibuka pada 14 September 1985 untuk kenderaan awam.


Jambatan Kedua Pulau Pinang

Jambatan ini mula dibina sejak tahun 2008.

Jambatan ini sepanjang 26 kilometer.

Kos pembinaan jambatan ini adalah sebanyak RM4.5 bilion.

Jambatan ini merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara.

Jambatan ini menghubungkan Batu Maung di bahagaian pulau dan di Batu Kawan di tanah besar.

Pembinaan jambatan ini adalah projek usaha sama antara UEM Builders dengan China Harbour Engineering.

Tiang yang dibina di jambatan ini mampu menghadapi bencana alam seperti tsunami pada kekuatan tujuh skala Richter.

* Imej jambatan kedua Pulau Pinang dari www.forblogger.net

-Kosmo!