Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 27 Disember 2013

Saham Felda terbesar di Asia


Tarikh 31 Mei 2012 merupakan hari bersejarah buat warga Felda apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan prospektus awam permulaan (IPO) yang terbesar di Asia pada tahun 2012.

Tawaran tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia (2012) selepas Facebook yang membabitkan 2.19 bilion saham.

FGV merupakan syarikat perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di dunia (2012) disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.

-Kosmo!

Khamis, 26 Disember 2013

Innocence of Muslims

Penganut Islam di seluruh dunia tanpa mengira parti politik bersatu mengadakan bantahan terhadap pembikinan dan penayangan filem Innocence of Muslims.

Innocence of Muslims ialah judul sebuah filem anti-Islam yang telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia pada tahun 2012 apabila filem tersebut didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Filem arahan Sam Bacile itu disiarkan dalam laman YouTube menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, melakukan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem tersebut.

Seorang lelaki dari California, Amerika Syarikat, Nakoula Basseley Nakoula mengaku membekalkan logistik untuk produksi pembikinan filem tersebut.

-Kosmo!

Jumaat, 20 Disember 2013

Bujang Sebelak


Bujang Sebelak ialah nama gelaran kepada seekor buaya seberat 200 tan dan sepanjang lima meter yang telah mengganas dan mengorbankan tiga mangsa di sekitar Sungai Sebelak, Sarawak pada tahun 2012.

Antara mangsa yang menjadi korban Bujang Sebelak termasuklah isteri ketua rumah panjang Nanga Sungai Anak, Roban iaitu Siah Munsong.

Bujang Sebelak yang buta di sebelah mata kirinya dan menjadi buruan selama 14 hari akhirnya berjaya ditumpaskan oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong pada 2 Julai 2012 dengan menggunakan mantera dan umpan khas iaitu daging anjing putih.

-Kosmo!

Khamis, 19 Disember 2013

Oscar Niemeyer


Oscar Niemeyer ialah seorang arkitek tersohor warga Brazil.

Oscar Niemeyer atau nama sebenarnya Oscar de Almeida Soares dilahirkan pada 15 Disember 1907 di Rio de Janeiro, Brazil.

Beliau mempunyai enam orang adik beradik.

Beliau dianggap sebagai arkitek paling prolifik di dunia.

Gaya rekaannya dipengaruhi oleh dua orang idolanya iaitu Le Corbusier dan Lucio Costa.

Bangunan pejabat Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Brazil

Projek pertamanya ialah membina ibu pejabat Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Brazil.

Oscar Niemeyer pernah ditawarkan sebagai dekan di Universiti Harvard tetapi visanya ditolak oleh kerajaan Amerika Syarikat.

The Work of Oscar Niemeyer oleh Stamo Papadaki merupakan buku pertama mengenai Niemeyer diterbitkan pada tahun 1950.

Beliau kehilangan dua individu yang paling dikasihi iaitu isterinya Annita Baldo meninggal dunia pada 2004 dan anak perempuan tunggalnya, Anna Maria pada Jun 2012.

Beliau mempunyai empat orang cucu, tiga belas cicit serta enam orang piut.

Oscar Niemeyer berkahwin dengan setiausahanya Vera Lucia Cabreira ketika berusia 99 tahun.

Projek terakhir yang sempat disiapkannya ialah Administrative City di Belo Horizonte ketika berusia 102 tahun.

Memoirnya, The Curves of Time diterbitkan pada tahun 2001.

Antara pencapaian tertingginya ialah:
  • 1963: Lenin Peace Prize
  • 1988: Pritzker Prize
  • 1989: Prince of Asturias Awards
  • 1998: RIBA Royal Gold Medal
  • 2004: Praemium Imperiale

Oscar Niemeyer meninggal dunia pada 5 Disember 2012 sewaktu berusia 105 tahun.


Lima tapak teratas seni bina Oscar Niemeyer

Oscar Niemeyer telah mengabadikan selama 80 tahun usianya untuk melahirkan rekaan yang unik dan kreatif.

Bermula daripada pekerja bawahan, beliau terus gigih mengembangkan bakatnya sehingga digelar antara arkitek terhebat abad ke-20.

Biarpun beliau kini telah tiada, namun hasil kerjanya yang mengagumkan masih boleh dilihat sehingga kini.

Berikut merupakan senarai lima tapak yang wajib dilawati bagi mereka yang mahu melihat keistimewaan rekaan Niemeyer dengan lebih dekat.


Cathedral of Brasilia
Brasilia

Pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Brazil ini dibina pada tahun 1956 dan siap sepenuhnya empat tahun kemudian. Diiktiraf antara binaan terhebat pada abad ke-20, metropolis itu menempatkan beberapa rekaan seni bina Niemeyer seperti Alvorado Palace, Monumen Juscelino Kubitscheck dan Metropolitan Cathedral. Merupakan bandar keempat terbesar di Brazil, Brasilia dihuni kira-kira 2.6 juta penduduk pada tahun 2010. Selain menjadi bangunan-bangunan Kerajaan Persekutuan ia juga merupakan salah satu lokasi pelancongan terkenal di Brazil.


Museum Oscar Niemeyer

Curitiba

Terletak di wilayah bahagian selatan Brazil, Curitiba merupakan ibu negeri dan bandar terbesar Parana. Ia menempatkan Museum Oscar Niemeyer atau juga dikenali sebagai Eye Museum yang dibina oleh Niemeyer pada tahun 2002. Merupakan antara mercu tanda di Curitiba, ia terdiri daripada dua kompleks utama. Di samping menjadi simbol seni visual disebabkan reka bentuk dan keunikannya ia juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan lokasi pameran.


Bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

New York City

Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York City ini dibina pada tahun 1949 sebelum siap sepenuhnya tiga tahun kemudian. Berbanding konsep pertandingan, PBB Telah menubuhkan sebuah suruhanjaya kerjasama dalam kalangan pasukan multinasional yang disertai arkitek-arkitek terkemuka di seluruh dunia. Arkitek dari Amerika Syarikat, Wallace K. Harrison dipilih sebagai ketua arkitek dan mengetuai lembaga perunding reka bentuk yang diwakili oleh ND Bassov (Kesatuan Soviet), Gaston Brunfaut (Belgium), Ernest Cormier (Kanada), Le Corbusier (Perancis), Liang Seu-cheng (China), Sven Markelius (Sweden), Oscar Niemeyer (Brazil), Howard Robertson (United Kingdom), GA Soilleux (Australia) dan Julio Vilamajo (Uruguay). Daripada 50 rekaan yang dihantar, rekaan Niemeyer telah dipilih. Bagaimanapun dengan sedikit kontroversi dan sedikit pengubahsuaian, rekaan Niemeyer telah digabungkan dengan rekaan Le Corbusier seperti yang dilihat pada hari ini.


Museum of Contemporary Art (MAC)

Rio de Janeiro

Sebagai penduduk asal Rio de Janeiro, Niemeyer telah mereka cipta banyak bangunan di wilayah itu seperti juga di Brazil. Salah satunya binaan terkenal ialah Hotel Nacional dibina pada 1968. Tidak jauh dari situ iaitu di bandar Niteroi, terdapat dua rekaan utama Niemeyer. Pertama, Museum of Contemporary Art atau MAC yang dibuka pada tahun 1996. Terletak di atas tebing bukit berlatarbelakangkan Teluk Guanbura, MAC pantas mengundang perhatian lensa kamera kerana bentuknya yang unik seakan-akan piring terbang. Rekaan kedua Niemeyer pula ialah Centro Petrobras do Cinema iaitu sebuah muzium filem Brazil.


Copan Building

Sao Paulo

Bandar terbesar di Amerika Selatan itu merupakan contoh terbaik untuk melihat hasil rekaan Niemeyer. Antara yang paling menonjol ialah Copan Building, bangunan setinggi 38 tingkat menempatkan kawasan kediaman dibina pada tahun 1966 dan diiktiraf antara bangunan terbesar di Brazil. Di samping itu, pengunjung juga boleh melawat Latin American Memorial yang dibina pada tahun 1989. Ia merupakan kompleks kebudayaan dan lokasi acara yang menempatkan gerai jualan seni kraf tangan dan sebagainya yang berkaitan tradisi dan budaya masyarakat Latin.

Sumber: Artikel Reka 500 bangunan ikonik dunia susunan Ammar Jazlan Mad Lela, Kosmo! 28 Disember 2012.

Selasa, 26 November 2013

Gigitan piranha hitam mengalahkan T-Rex


Gigitan ikan piranha hitam dilaporkan lebih kuat berbanding haiwan-haiwan lain di seluruh dunia termasuklah haiwan prasejarah.

Menurut hasil kajian yang diterbitkan jurnal Scientific Reports (2012), otot rahang ikan itu yang luar biasa membolehkannya mempunyai daya gigitan menyamai haiwan yang 30 kali ganda lebih berat berbanding ikan tersebut.

Menurut penyelidik, walaupun dubuk, jerung putih termasuklah buaya mempunyai kuasa gigitan yang agak kuat, namun kuasa itu menjadi tidak mengkagumkan bila dilihat daripada saiz dan berat haiwan itu.

Malah, menurut kajian itu, piranha juga mengalahkan haiwan gergasi prasejarah seperti Tyrannosaurus Rex (T-Rex) dan paus besar yang mendahului jerung putih.

Menurut jurnal itu, penyelidik telah menangkap 15 ekor ikan piranha hitam di sungai Amazon, Brazil dan melakukan pelbagai ujian gigitan ke atas gajet khas yang dicatatkan pasukan dari Amerika Syarikat, Mesir dan Brazil.

Ia merupakan ujian gigitan yang pertama kali dilakukan ke atas ikan piranha hitam atau nama saintifiknya, Serrasalmus rhombeus.

Kajian itu menunjukkan, gigitan piranha hitam bersamaan 320 newton (N) hampir tiga kali lebih kuat berbanding saiz buaya aligator Amerika.

Satu newton merupakan kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan satu kilogram jisim bagi satu meter kaki persegi.

- Kosmo! Agensi.

Jumaat, 22 November 2013

Tali layang-layang bersalut kaca


Tali pengikat layang-layang bersalut kaca sangat popular dalam kalangan pemain layang-layang di Afghanistan, Bangladesh, Chile, India, Nepal dan Pakistan.

Cara menyediakan tali tersebut ialah menumbuk serpihan kaca sehingga halus sebelum serbuk kaca tersebut dicampur dengan sejenis gam.

Campuran serbuk kaca dan gam tersebut kemudian disalut pada tali layang-layang yang kemudian dijemur sehingga kering.

Sering digunakan oleh peserta pertandingan layang-layang bagi memutuskan tali layang-layang pihak lawan.

Akhbar The Times of India pernah melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas lehernya terlilit tali layang-layang bersalut kaca.

-Kosmo!

Khamis, 21 November 2013

Buaya tembaga 2


Nama saitifik bagi buaya tembaga ialah Crocodylus porosus.

Badan buaya tembaga berwarna kuning kecoklatan.

Reptilia ini hanya akan mengganas sekiranya terancam dan mungkin menyerang manusia tetapi biasanya lebih gemar melarikan diri jika menyedari kehadiran manusia.

Reptilia paling besar dan juga dikenali sebagai Buaya Indo-Pacific atau Buaya Air Masin.

Spesies ini merupakan haiwan yang mempunyai tenaga yang kuat.

Kadangkala ia juga dipanggil Buaya Naked-Neck kerana tidak mempunyai sisik besar di bahagian belakang leher.

Buaya tembaga ialah perenang yang handal.

Spesies ini telah dijumpai di India hingga Australia dan dari Kepulauan Cocos di Lautan India hingga Fiji di Lautan Pasifik.

Habitatnya di sekitar persisiran sungai, lagun dan muara termasuk di lautan terbuka.

Saiz buaya tembaga, purata bagi buaya jantan ialah lima meter dengan berat 450 kilogram tetapi ada spesimen pernah direkodkan sepanjang tujuh meter dan seberat satu metrik tan.

Jangka hayat maksimum bagi buaya tembaga kira-kira 70 tahun.

Buaya tembaga boleh menghasilkan sebanyak 20-60 biji telur.

-Kosmo!, www.zootaiping.gov.my/bm/r-estaurine.html

Rabu, 20 November 2013

Elephant Tower

Elephant Tower, Bangkok, Thailand

Elephant Tower terletak di pertemuan Paholyothin Road dan Ratchadaphisek Road iaitu di tengah-tengah Chatuchak, daerah komersial terulung di Bangkok, Thailand.

Elephant Tower merupakan bangunan paling diperkatakan di Thailand dan seluruh dunia.

Ia merupakan idea pemiliknya, Arun Chaiseri, seorang ahli politik, jurutera dan pemilik syarikat kejuruteraan Arun Chaiseri Consulting Engineers Company Ltd.

Arun Chaiseri berkelulusan kejuruteraan University of Illinois, Amerika Syarikat.

Beliau bersama arkitek Ong-ard Satrabhandhu bergabung tenaga untuk menyiapkan Elephant Tower pada tahun 1997.

Bangunan Lucy the Elephant di Atlantic City, Amerika Syarikat

Elephant Tower merupakan bangunan kedua berbentuk gajah yang dibina di dunia selepas Lucy the Elephant di Atlantic City, Amerika Syarikat.

Elephant Tower ialah gabungan kompleks pejabat, pusat beli-belah dan kondominium mewah setinggi 32 tingkat.

Ia turut dikenali sebagai Chang Building.

Berbentuk kiub, binaan setinggi 102 meter itu menyerupai bentuk seekor gajah yang sedang berdiri.

Bahagian telinganya dihasilkan daripada ruang balkoni kaca bertingkat berkeluasan 170 meter panjang dan 40 meter lebar manakala matanya pula merupakan sebuah tingkap besar.

Bahagian ekornya pula terdiri daripada bilik berkaca setinggi 20 tingkat yang kini menjadi ruang pejabat pengurusan bangunan.

Ia dianggap sebagai simbol bernasib baik dan kejayaan.

Boleh diakses menggunakan pengangkutan awam seperti teksi dan Transit Aliran Pantas (MRT).

- Kosmo!

Khamis, 14 November 2013

Kiub rubik


Kiub rubik adalah sebuah permainan teka-teki mekanik yang ditemui pada tahun 1974 oleh pemahat dan profesor dari Hungary, Erno Rubik.

Kiub rubik diperbuat daripada plastik dan terdiri daripada 26 pecahan kotak kecil.

Setiap sisi daripada kiub memiliki sembilan permukaan yang terdiri daripada tema warna berbeza.

Terdapat beberapa cara penyelesaian iaitu blindfolded solving, multiple blindfolded solving, team blindfolded, one handed solving dan solving with feet.

-Kosmo!

Isnin, 11 November 2013

Makan-makan

Macaroon

Macaroon berasal dari Itali. Macaroon bermaksud rangup dan kenyal. Ia merupakan sejenis manisan yang diperbuat daripada serbuk badam, gula kastor dan putih telur. Ia mempunyai dua keping kulit luar yang diletakkan inti di tengah-tengahnya yang kelihatan seperti burger.


Kek red velvet

Kek red velvet merupakan kek berwarna merah gelap, terang atau merah-coklat. Ia biasanya disediakan sebagai kek berlapis yang ditambah dengan gula aising vanila berkrim atau krim aising keju.


Pavlova

Menurut sejarah, asal-usul nama Pavlova diambil sempena nama seorang penari ballet Russia, Anna Pavlova. Pavlova berkunjung ke sebuah hotel di New Zealand ketika makanan tersebut dihidangkan buat pertama kalinya di hotel tersebut pada tahun 1926. Ia merupakan sejenis kek meringue iaitu putih telur yang dicampur gula, tepung, cuka dan vanila. Kek itu dibakar pada suhu sederhana sehingga permukaan luarnya menjadi garing tetapi bahagian dalamnya lembut dan kenyal. Pavlova dihias dengan buah-buahan dan krim serta sesuai dijadikan pencuci mulut.


Burger bakar

Burger bakar berbeza dengan burger biasa. Ia dipanggang menggunakan batu-batan yang dipanaskan. Kaedah ini menghasilkan daging tanpa minyak.


Bubble tea

Dikenali sebagai teh susu mutiara, bubble tea merupakan minuman berasaskan teh yang dicipta di Taichung, Taiwan sekitar tahun 1980-an. Kebanyakan resipi bubble tea mengandungi teh yang dicampurkan dengan buah-buahan atau sirap. Bebola kecil bubble tea diperbuat daripada tepung ubi kayu.


Durian crepe

Menurut sejarah kulinari, resipi crepe ditemui buat pertama kalinya di Perancis pada tahun 1390 dalam sebuah buku masakan yang bertajuk Manger de Paris (Makanan yang berasal dari Paris). Perkataan crepe berasal daripada bahasa latin iaitu crispa yang bermaksud bergulung. Jika di Perancis crepe disajikan sebagai hidangan utama, di Amerika pula ia dianggap sajian terlazat dan sering dihidangkan sebagai penutup hidangan. Ia turut disajikan dalam pelbagai cara. Antaranya mengisi lapisan-lapisan ini dengan gula halus, cip coklat, krim vanila, keju, sayur-sayuran, daging, telur dan yang terbaharu ialah durian.

-Kosmo!

Jumaat, 8 November 2013

Cape Coast


Cape Coast terletak di utara Teluk Guinea.

Ia merupakan sebuah bandar di Ghana dan mula diteroka oleh Portugis pada kurun ke-15.

Pada masa tersebut, pembangunan atau sejarah bandar berkenaan tidak dapat dipisahkan dengan Istana Cape Coast yang kini merupakan Tapak Warisan Dunia.

Ia dibangunkan oleh Belanda pada tahun 1650 sebelum pedagang Sweden membesarkan istana itu dua tahun kemudian.

Pedagang-pedagang Sweden menjadikan bangunan tersebut sebagai pusat perniagaan kayu dan emas.

Kilang papan pertama dibina di kawasan tersebut ialah pada tahun 1653 oleh Syarikat Swedish Africa. Bagaimanapun, 10 tahun kemudian, orang Denmark mengambil alih keseluruhan kawasan tersebut dan menumpukan dengan perdagangan emas.

Perusahaan itu cuma bertahan setahun sahaja apabila British menjajah negara berkenaan pada tahun 1664, sekali gus menukar landskap istana berkenaan.

British turut menaik taraf bangunan istana secara besar-besaran.

Sepanjang zaman penjajahan, perdagangan hamba menjadi salah satu komoditi yang menguntungkan di negara berkenaan.

Istana Cape Coast juga pernah menyaksikan beratus-ratus hamba ditempatkan di dalam bilik dalam keadaan bersesak-sesak sebelum dipindahkan ke bot-bot milik orang Barat.

Kebanyakan orang menyifatkan Cape Coast sebagai 'pintu tanpa kepulangan' kerana ia merupakan lokasi terakhir perhentian kapal-kapal dagang sebelum mereka memasuki Lautan Atlantik.

Bandar Cape Town menjadi tumpuan pedagang Eropah kerana pada masa tersebut banyak emas ditemui di Ghana.

Penduduk tempatan menjadikan emas, mahogani dan orang mereka sendiri sebagai produk perniagaan.

Komoditi berkenaan ditukarkan dengan pakaian, selimut, rempah ratus, gula, sutera dan lain-lain.

Istana tersebut menjadi pasar bagi urusan jual beli.

Ghana akhirnya mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pada tahun 2010 terdapat seramai 169,894 orang penduduk.

Istana Cape Coast dijadikan muzium pada tahun 1957 iaitu selepas Ghana mencapai kemerdekaan.

Antara koleksi di muzium berkenaan merangkumi arkeologi, sejarah bangunan dan gambar-gambar.

sumber: Artikel 1,001 kisah Cape Coast oleh Nasri Jamaluddin, Kosmo! 13 Disember 2012

Khamis, 7 November 2013

Phoenix


Phoenix terletak di negeri Arizona, Amerika Syarikat.

Phoenix antara bandar yang terletak dalam kawasan padang pasir tercantik di dunia.

Phoenix juga antara bandar yang mempunyai penduduk teramai di Amerika Syarikat iaitu 1,445,632 orang pada 2010.

Phoenix diumumkan sebagai bandar pada tahun 1881 selepas diasaskan pada tahun 1861.

Ia terletak di timur laut Padang Pasir Sonoran.

Pada musim panas, purata suhu tertingginya adalah melebihi 38 darjah celcius.

-Kosmo!

Khamis, 31 Oktober 2013

Tengkorak Lelaki Piltdown palsu

Ilustrasi tengkorak lelaki Piltdown

Pada Disember 1912, seorang peguam dan ahli arkeologi amatur, Charles Dawson mengumumkan dia telah menemui tengkorak manusia dan rahang beruk di sebuah kawasan berbatu di Kampung Piltdown, selatan England.

Tengkorak itu diberi nama jolokan Lelaki Piltdown sempena nama tempat ia ditemui.

Tengkorak tersebut dianggarkan berusia sejuta tahun bagaimanapun, pada tahun 1953, sekumpulan saintis dari Muzium Sejarah Semula Jadi London mendapati dakwaan itu merupakan satu penipuan.

Lukisan pasukan yang menemui tengkorak lelaki Piltdown pada tahun 1912

Seorang saintis iaitu Chris Stringer menulis artikel dalam jurnal Nature (2012) bahawa dia melancarkan misi untuk mencari dalang yang menyebarkan dakwaan palsu tentang tengkorak tersebut.

Misi tersebut bertujuan untuk mencari siapa dan punca yang menyebabkan dakwaan palsu itu dibuat sama ada ia bermotifkan cita-cita saintifik, humor ataupun bertujuan jahat.

15 orang penyelidik yang diketuai oleh Stringer cuba untuk membongkar siapakah dalang tersebut.

- Kosmo!

Rabu, 30 Oktober 2013

Nanjing


Berkeluasan 6,598 kilometer persegi, wilayah Nanjing berada di salah satu zon ekonomi terbesar China, Delta Sungai Yangtze dengan populasi penduduk seramai 15,274,700 (2012).

Dikenali sebagai Nanking satu ketika dahulu, ia merupakan ibu negeri wilayah Jiangsu yang menjadi pusat pendidikan dan kebudayaan terpenting di republik tersebut.

Terletak di kawasan timur China, Nanjing juga diiktiraf sebagai salah satu daripada Empat Bandar Kuno Terhebat sekali gus menawarkan pelbagai destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi.

Boleh dikatakan Nanjing ialah antara bandar paling indah di tanah besar China dengan kehijauan taman-taman, tasik semula jadi, pergunungan kecil, bangunan dan monumen sejarah serta banyak lagi.

Bandar yang pernah menjadi ibu kota semasa pemerintahan 10 Dinasti China itu mempunyai 397 tapak warisan sejarah, kebudayaan dan keagamaan yang dilindungi.

Antara destinasi istimewa yang boleh dikunjungi termasuklah Dewan Memorial Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing, Makam Sun Yat-sen, Muzium Sejarah Moden China, Kun Opera iaitu salah satu teater terbaik bagi Kunqu, seni pentas kuno China dan Galeri Seni Jiangsu yang merupakan galeri terbesar di wilayah tersebut. Ia memaparkan karya seni tradisional dan kontemporari terbaik dari republik China.

-Kosmo!

Selasa, 29 Oktober 2013

Tragedi Nanjing

Mayat pembunuhan beramai-ramai di Nanjing atau Nanking, China pada tahun 1937.

Tragedi Nanjing berlaku di China pada tahun 1937. Dalam tragedi tersebut, kira-kira 300,000 rakyat China didakwa terbunuh sepanjang dua bulan tentera Jepun berkuasa.

Mereka dengan rakus tanpa belas kasihan bertindak menyembelih, merogol dan memusnahkan kediaman penduduk.

Tragedi pembunuhan beramai-ramai itu ternyata memberi kesan besar terhadap hubungan antara China dan Jepun pada masa kini.

Bagi mengingati peristiwa Pembunuhan Nanjing, sebuah bangunan Memorial Nanjing telah dibina pada tahun 1985 yang dikenali sebagai Jiangdongmen.

Ia terletak berhampiran kawasan perkuburan besar bagi mangsa yang terbunuh dalam peristiwa tersebut.

Memorial itu mempamerkan rekod sejarah dan objek dalam pelbagai bentuk termasuk seni bina, ukiran dan video untuk menggambarkan peristiwa Pembunuhan Nanjing.

Memorial tersebut terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu ruang pameran luar, rangka mangsa pembunuhan dan bangunan untuk dokumen sejarah.

Nanjing terletak 300 kilometer di barat laut Shanghai dan 1,200 kilometer di tenggara Beijing.

Selain mengekalkan bangunan tinggalan warisan, bandar raya ini turut berkembang pesat seiring kemajuan yang dikecapi China.

Bandar raya ini akan menjadi tuan rumah sempena Olimpik Musim Panas Remaja 2014.

Pernah dianugerahkan gelaran Habitat Scroll of Honour of China 2008, Special UN Habitat Scroll of Honour dan National Civilized City.

-Kosmo!

Isnin, 28 Oktober 2013

Fosil dinosaur dipercayai tertua di dunia ditemui

Sejumlah fosil tulang yang digali seorang ahli paleontologi Britain pada tahun 1930-an di Tanzania dipercayai milik spesies dinosaur tertua di dunia.

Hidup pada zaman Trias Tengah sekitar 243 juta tahun dahulu, haiwan itu wujud 10 hingga 15 juta tahun lebih tua daripada dinosaur-dinosaur lain yang ditemui sebelum ini.


Saintis-saintis berkenaan berkata, spesimen yang ditemui turut memberi petunjuk bahawa haiwan tersebut hidup di benua besar dikenali sebagai Pangea.

Menurut kajian mereka, dinosaur itu yang dinamakan Nyasasaurus parringtoni memiliki ketinggian 80 sentimeter dengan panjang tiga meter dan ekor sepanjang 1.5 meter.

Berat dinosaur itu pula dipercayai antara 20 hingga 60 kilogram.

Dinosaur itu diberi nama Nyasasaurus parringtoni sempena gabungan perkataan Tasik Lake Nyasa yang kini dikenali sebagai Tasik Malawi dan nama ahli paleontologi dari Universiti Cambridge, Rex Parrington.

Pasukan Parrington menemui enam vertebra dan tulang lengan spesies tersebut di Lembah Ruhuhu, selatan Tanzania pada awal 1930-an.

-Kosmo!

Jumaat, 25 Oktober 2013

Menara Alor Setar


Menara Alor Setar terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar iaitu Alor Setar, Kedah manakala kira-kira lima kilometer dari Lebuh raya Utara-Selatan.

Menara Alor Setar merupakan menara perhubungan yang ke-22 tertinggi di dunia dengan ketinggian 165.5 meter.

Mula beroperasi pada tahun 1997 dengan kos pembinaan sebanyak RM40 juta.

Ia mempunyai tiga tingkat termasuk pelantar pemandangan yang terletak pada ketinggian 88 meter di atas paras laut.

sumber: Artikel Panorama dari puncak Menara Alor Setar oleh Shahni Farhana Mat Sahir, Kosmo! 6 Disember 2012

Khamis, 24 Oktober 2013

Bucharest

Istana Vlad Tepes atau Vlad the Impaler atau popular juga sebagai Istana Dracula di Bucharest, Romania

Bucharest terletak di tenggara negara Romania.

Ia mempunyai keluasan 228 kilometer persegi.

Populasi keseluruhan ialah 1.93 juta (tahun 2011).

Bucharest mula menjadi ibu negara Romania pada 1862.

Ia merupakan antara 10 bandar raya terbesar di Eropah.

Ia dikenali dengan datarannya yang luas dikelilingi pokok-pokok menghijau dan keunikan bangunan-bangunan neoklasik dan reputasi kehidupan elitnya satu ketika dahulu.

Bucharest berasal daripada nama seorang lelaki iaitu Bucur. Mengikut legendanya, Bucur ialah seorang penggembala yang telah menemui sebuah lembah luas yang terletak di tebing Sungai Dambovita.

Kepandaian Bucur bermain seruling mempesonakan orang ramai. Sebagai penghormatan, kota yang tidak bernama itu telah dinamakan Bucur yang bermaksud kegembiraan.

Bucharest pernah digelar Little Paris.

Antara tarikan di Bucharest seperti Stavropoleos Monastery, sebuah gereja berunsurkan gaya Brancovenesc dan seni bina Rom yang dibina pada tahun 1724.

Di Curtea Veche terdapat istana milik Vlad Tepes yang dibina pada abad ke-15. Tepes, juga dikenali sebagai Vlad the Impaler kerana kekejamannya dan kegemarannya terhadap darah manusia. Kisahnya menjadi inspirasi kepada penghasilan filem Bram Stoker's Dracula pada tahun 1992.

Hanul lui Manuc pula ialah lokasi pertemuan para pedagang ke Romania sekitar abad ke-19.

sumber: Artikel Kota kegembiraan Bucharest, Kosmo! 6 Disember 2012

Khamis, 17 Oktober 2013

Guarana


Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana merupakan sejenis tumbuhan memanjat yang biasa ditemui di lembangan Amazon di Brazil.

Pokok guarana mempunyai daun yang besar dan lebar serta memekarkan bunga yang bergugusan.

Buah guarana pula bertukar warna dari perang ke merah.

Apabila sudah matang, kulit buahnya merekah lalu menonjolkan bijinya yang berwarna hitam dan dikelilingi kelongsong putih.

Warna kontras buah guarana itu menyamai rupa biji mata.

Guarana sangat popular untuk dijadikan makanan tambahan yang bersifat perangsang.

Bijinya menyimpan dua kali ganda nilai kandungan kafein berbanding yang ditemui dalam biji kopi.

Kandungan bernilai tinggi menjadi bahan utama dalam pembuatan minuman ringan dan minuman tenaga terkenal di Brazil.

Banyak syarikat tempatan berebut-rebut untuk mengkomersialkan ekstrak guarana dalam produk keluaran masing-masing.

Rakyat Brazil dikenal pasti sebagai kelompok konsumer ketiga terbesar di dunia yang gemar mengambil minuman ringan.

- Kosmo!

Jumaat, 11 Oktober 2013

Kerajaan sementara


Definisi

Kerajaan sementara bermaksud kerajaan sedia ada akan terus mentadbir negara dan semua menteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebelum ini.


Bidang kuasa

Kuasa kerajaan sementara adalah terhad apabila ia hanya melibatkan tugasan harian tanpa melibatkan sebarang pembentukan dasar baharu.

Ketua Setiausaha Negara selaku ketua pelaksana dasar akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai pegawai tertinggi perkhidmatan awam tanpa kuasa tambahan.

Kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat. Kabinet masih mentadbir negara, yang tidak akan menjejaskan pentadbiran negara dari segi ekonomi dan politik.

Bertanggungjawab mengambil alih kerja-kerja pentadbiran namun tidak boleh melibatkan sebarang perubahan organisasi kerajaan.

Berhak memberi bantuan kepada rakyat semasa tempoh Parlimen dan DUN dibubarkan.

Tidak boleh mengemukakan dasar baharu, membuat pelantikan bagi jawatan penting dan memeterai perjanjian dengan pihak luar.

Semua wakil rakyat hilang status keanggotaan legislatif elaun dan kemudahan.

-Kosmo!

Selasa, 1 Oktober 2013

Kereta kayu


Pemilik kereta sememangnya mempunyai pelbagai ragam khususnya apabila mengubah suai kenderaan itu.


Seorang lelaki dari Chernovtsy, Ukraine, Vasily Lazarenko telah menukar badan kenderaan jenis Opel klasik yang dibuat pada tahun 1981 dengan kayu lantai rumahnya.

Menariknya, dia menghasilkan sendiri rekaan tersebut selama beberapa bulan.

-Kosmo!

Jumaat, 27 September 2013

Harimau akar


Nama saintifik bagi harimau akar ialah neofelis nebulosa.

Ia merupakan sejenis kucing besar.

Harimau akar mempunyai bulu yang berwaran kelabu dan kekuningan.

Ia biasa dijumpai di kaki bukit Himalaya melalui tanah besar Asia Tenggara hingga ke China.

Diklasifikasikan sebagai terancam pada 2008.

Jumlah populasinya dijangka kurang daripada 10,000 ekor yang matang dengan trend populasi semakin menurun.

Merupakan antara pemanjat pokok yang terbaik dalam kategori kucing.

Musim mengawan bagi harimau akar adalah antara Disember hingga Mac.

Harimau akar diancam kepupusan ekoran aktiviti pemburuan antaranya bagi tujuan perubatan tradisional.

- Kosmo!, www.defenders.org

Khamis, 26 September 2013

Ultras Malaya


Ultras Malaya ialah kumpulan besar penyokong tegar pasukan bolasepak Malaysia atau dikenali juga sebagai skuad Harimau Malaya.

Ultras Malaya ditubuhkan secara rasmi pada 2007 dengan sekelompok kecil peminat tegar bola sepak tempatan yang terus kukuh di belakang skuad bola sepak Malaysia.

Ultras Malaya dibentuk untuk Piala Asia 2007. Walaupun pasukan kebangsaan bermain agak buruk, Ultras Malaya masih terus memberikan sokongan.

Ultras Malaya juga merupakan kelab penyokong terbesar di Malaysia.

Kumpulan ini mudah dikenali dengan membentuk satu gabungan besar di balik ribuan penonton di stadium sambil menyanyikan lagu beriringan dengan alat muzik serta kain rentang gergasi.

Sepanjang adanya perlawanan antarabangsa membabitkan Malaysia, kelompok penyokong ini pasti akan muncul memberikan sokongan walaupun sesetengah perlawanan diadakan di luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.


Pada 2010, Ultras Malaya dianggap penyokong terbaik di Malaysia oleh FAM selepas Malaysia menang Piala AFF Suzuki 2010.

Tema hitam dan kuning adalah warna serasi menggambarkan perjuangan Ultras Malaya.

Ultras Malaya kini mempunyai lebih 10,000 ahli dan semakin meningkat.

Kumpulan penyokong lain berstatus negeri ialah Silver State Ultras (Perak FA), Ultras Kedah (Kedah FA), The Mania Merah (Kelantan FA), ultraSel (Selangor FA) dan Boys Selat (B.O.S) (Johor FA).

- BH

Rabu, 25 September 2013

Cili hantu paling pedas di dunia


Cili hantu atau dalam bahasa India dipanggil bhut jolokia ialah cili yang paling pedas di dunia.

Cili ini ditanam di Assam, India.

Ia mendapat lebih 1,000,000 mata pada skala Scoville yang mengukur tahap kepedasan cili.

Cili hantu telah digunakan secara meluas sebagai senjata oleh tentera India.

Pegawai Pertahanan India memberitahu, pihak tentera menggunakan cili hantu untuk menghasilkan gas pemedih mata dalam bentuk bom tangan bagi menumpaskan pengganas.

"Grenad cili hantu merupakan senjata tanpa toksik yang berkesan kerana aroma pedasnya mampu membuatkan pengganas tersedak sekali gus memaksa mereka keluar dari tempat persembunyian," kata Pengarah Jabatan Sains Hayat, Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India, R.B. Srivastava.

Cili juga menyebabkan tubuh pemakannya menjadi panas. Malah terdapat kes kematian disebabkan memakan cili dalam jumlah yang banyak.

Pada tahun 2008, seorang lelaki Britain, Andrew Lee, 33, menggunakan sebungkus cili merah yang ditanam sendiri untuk membuat sos yang paling pedas.

Pemandu trak itu kemudian mencabar abang teman wanitanya supaya memakan satu sudu besar cili manakala dia memakan satu pinggan cili yang sama.

Malangnya akibat perbuatan itu dia diserang sakit jantung sebelum mati.

Kosmo!, 9 Disember 2012

Selasa, 24 September 2013

Gaza, Palestin


Negara Palestin digelar Bumi Anbiya kerana ramai cendikiawan dan tokoh Islam yang lahir dan bersemadi di sini.

Antara tokoh Islam kelahiran Gaza ialah pengasas Mazhab Shafie iaitu Imam Shafie yang sudah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun.

Moyang Rasulullah SAW yang bernama Hashim Abdul Manaf turut disemadikan di bumi Gaza.

Bumi yang dianggap suci dan diberkati kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, sebuah masjid yang menjadi kiblat pertama dan masjid ketiga paling suci bagi orang Islam. Malah, siapa yang bersolat di masjid ini akan mendapat 500 kali ganda pahala.

Di bumi ini jugalah kejadian Isra' (perjalanan malam berlaku, iaitu Nabi Muhammad SAW melakukan pengembaraan malam yang penuh keajaiban ke langit).

- Kosmo!

Rabu, 11 September 2013

Kegemaran Adolf Hitler

Adolf Hitler bersama Menteri Luar Jepun, Yosuke Matsuoka

Dikenali sebagai antara pemimpin paling kejam dalam sejarah dunia namun seperti manusia lain beliau juga mempunyai beberapa kelemahan.

Hitler sememangnya bermula dari bawah sebelum menjulang nama dalam parti dan kemudiannya memimpin tenteranya dalam Perang Dunia Kedua.

Namun beberapa fakta menarik mengenai beliau menunjukkan sikap dan siapa dirinya yang sebenar.

Beliau ialah seorang yang langsung tidak menggemari sebarang sukan serta langsung tidak pernah bersenam melainkan berjalan kaki di sekitar rumah sekali-sekala.

'Senaman' yang paling biasa dilakukan adalah berjalan mundar-mandir dari penjuru ke penjuru biliknya terutama apabila berhadapan dengan masalah.

Satu perkara yang menarik mengenai Hitler adalah beliau begitu menggemari pertunjukan sarkas.

Hitler akan menjadi begitu teruja apabila melihat pertunjukan sarkas yang bahaya apa lagi jika melibatkan wanita seksi.

Malah dikatakan beliau akan menghantar bunga dan coklat mahal kepada ahli sarkas wanita selain meminta pegawainya membantu mereka dan ahli keluarga jika ditimpa sebarang masalah.

Hitler juga menggemari filem-filem negara lain yang diharamkan kepada penduduk negaranya dan ditonton di bilim peribadinya.

Beliau begitu menggemari filem-filem komedi Amerika Syarikat, lagu dan muzik yang dilantunkan oleh penyanyi berketurunan Gipsi selain gemar menonton berita terutama yang melibatkan dirinya.

Selain itu beliau mempunyai bakat melukis namun agak mengejutkan apabila dikatakan begitu gemar melukis watak-watak kartun Disney.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012

Selasa, 10 September 2013

Kim Jong-Il, Presiden yang cintakan bidang perfileman


Pemimpin Korea Utara ini sering sahaja menimbulkan kontroversi sepanjang pemerintahannya.

Walaupun kini anaknya, Kim Jong-Un mengambil alih pemerintahan negara komunis itu tetapi masih tiada sebarang perubahan yang dilakukan sebaliknya tidak ubah seperti mendiang bapanya.

Sikap pelik bapanya ketika memerintah masih lagi diperkatakan sehingga kini.

Jong-Il sering sahaja menjadi perhatian kerana sentiasa mengeluarkan kenyataan yang adakalanya tidak masuk akal. Antaranya beliau mendakwa ketika kelahirannya dua bentuk pelangi dan sebuah bintang baru terpancar dari angkasa.

Beliau juga mendakwa boleh mengawal cuaca, mendakwa bapanya masih lagi mengeluarkan arahan walaupun telah lama mati serta mendakwa beliaulah yang mencipta hamburger.

Malah apabila doktor menasihatkannya supaya berhenti merokok, Jong-Il turut mengheret rakyatnya supaya menghentikan tabiat itu. Beliau turut mengharamkan akhbar dan buku yang tidak sealiran dengan pendiriannya selain telefon bimbit dan internet.

Namun satu perkara yang senantiasa menjadi perhatian adalah bagaimana beliau menculik pengarah dan pelakon Korea Selatan, Shin Sang-ok untuk memenuhi hajatnya yang paling besar.

Sang-ok dan isterinya, pelakon filem Choi Eun-hee diculik pada 1978.


Beliau mengarahkan Sang-ok membikin semula filem Godzilla yang diberi tajuk Pulgasari selain beberapa filem propaganda lain. Jong-Il turut merancang untuk memasarkan filem tersebut ke pasaran antarabangsa.

Beliau juga meminta Sang-ok berunding dengan penerbit luar di Vienna, namun peluang itu digunakan pengarah terbabit untuk melarikan diri bersama isterinya ke kedutaan Amerika Syarikat.

Filem Pulgasari diharamkan daripada tayangan di luar negara namun setelah sekian lama diperam akhirnya ditayangkan di Seoul pada 1998 dan menerima sambutan memberangsangkan.

Difahamkan Jong-Il sememangnya mencintai bidang perfileman dan mempunyai koleksi filem melebihi 20,000 judul. Malah beliau pernah menulis buku mengenai filem bertajuk, On the Art of Cinema yang kemudiannya menjadi panduan untuk pengarah filem negara itu.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Isnin, 9 September 2013

Sarah Palin, calon Naib Presiden Amerika Syarikat yang jelita


Beliau menempa kemasyhuran apabila dinamakan sebagai calon Naib Presiden bersama calon Presiden John McCain untuk Parti Republikan pada Pilihan Raya Presiden 2008.

Popularitinya begitu mendadak sehinggakan pada peringkat awal dikatakan mampu memberi saingan sengit untuk menewaskan pesaingnya gandingan Presiden Barrack Obama dan Naib Presiden, Joe Biden.

Apatah lagi dengan keputusan yang tidak disangka apabila calon wanita muda dipilih sebagai calon Naib Presiden oleh Parti Republikan yang terkenal dengan sisi konservatif, pada awalnya ramai menyangka golongan wanita akan memberi undi kepadanya.

Namun segalanya terbongkar apabila calon ini sebenarnya tidaklah begitu menyinar seperti diharapkan.

Pada peringkat awalnya beliau begitu mencuri tumpuan ketika memberi ucapan dan berkempen. Namun apabila disoal oleh para pemberita dan beberapa pengacara televisyen, terdedah bahawa beliau langsung tidak mengetahui tentang isu semasa dan dasar luar negara.

Terdedah juga bahawa beliau begitu dangkal dalam isu ekonomi walhal isu itu begitu penting bagi seorang calon pemimpin sepertinya apatah lagi Amerika Syarikat ketika itu sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang terburuk dalam sejarahnya.

Tidak boleh dibayangkan seorang yang bertanding jawatan kedua tertinggi di negara kuasa besar itu tidak memahami soal ekonomi dan dasar luar yang begitu penting dan mempunyai impak besar kepada dunia.

Walaupun Palin dengan lantang menyatakan sokongan kepada Israel - sesuai pendirian Amerika Syarikat - namun beliau langsung tidak mengetahui kewujudan Parti Hamas dan peranan negara itu di Genting Gaza.

Hakikatnya, bekas Gabenor Alaska yang juga ibu kepada lima anak ini belum bersedia untuk memegang jawatan setinggi itu.

Hanya kerana beberapa anggota kempen Presiden McCain kagum dengan kepetahan serta penampilannya, mereka terlupa untuk menguji pengetahuan beliau dalam perkara yang lebih penting.

Ternyatan pemilihan Palin telah memberikan imej yang terlalu buruk kepada Parti Republikan apatah lagi dengan segala keburukan yang telah dilakukan oleh bekas Presiden George W. Bush terutama dalam perang di Iraq dan Afghanistan.

sumber: Artikel Gelagat Kaya dan Miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Jumaat, 6 September 2013

Jose Mujica, presiden paling miskin di dunia


Namanya mungkin kurang dikenali namun hakikatnya beliau ialah Presiden paling miskin di dunia ketika masih memegang jawatan tersebut.

Lari daripada kebiasaan kehidupan mewah golongan kenamaan, Presiden Uruguay ini memilih untuk hidup sederhana di sebuah rumah ladang malah mendermakan 90 peratus gajinya untuk orang yang lebih memerlukan.

Rumahnya dikelilingi tanaman jagung dan bunga yang diusahakan sendiri, hanya terdapat dua orang polis yang menjaga keselamatannya selain seekor anjing peliharaan yang diberi nama Manuela.

Bekalan air diperolehi dari telaga di belakang rumah dengan kain baju tersidai di ampaian menjadi pemandangan biasa di belakang rumahnya.

Gaji Mujica kira-kira RM40,000 namun hanya RM2,500 yang ditinggalkan untuknya. Selebihnya didermakan kepada orang miskin dan golongan usahawan kecil.

Aset yang diisytiharkan hanyalah sekitar RM675,000 termasuklah rumah dan tanah ladang, traktor dan sebuah kereta buruk Volkswagen Beetle keluaran 1967.

Mujica yang dilantik sebagai Presiden Uruguay pada 2009 kini menjadi sumber inspirasi bukan sahaja oleh rakyatnya bahkan masyarakat dunia yang begitu mengaguminya.

Namun kehidupan sederhana bukanlah asing bagi yang sebenarnya sudah terbiasa dengan corak hidup sedemikian sejak muda.

Beliau menganggotai kumpulan gerila Tupamaros yang dibayangi gerila Cuba. Mujica pernah dipenjara selama 16 tahun sebelum dibebaskan pada 1986.

Dikatakan beliau pernah ditembak sebanyak enam kali tetapi terselamat.

"Saya digelar sebagai Presiden paling miskin di dunia namun saya langsung tidak berasa miskin. Orang miskin ialah mereka yang berusaha untuk memenuhi kehendak hidup mereka yang serba mewah dan akhirnya sentiasa mahukan lebih dan lebih lagi," ujar Mujica dan kata-kata itu jugalah yang menjadi falsafah hidupnya.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Khamis, 5 September 2013

James Buchanan, Presiden Amerika Syarikat Terburuk


Presiden Amerika Syarikat yang ke-15 ini diingati di negaranya sendiri sebagai antara presiden terburuk.

Ini kerana beliau telah membuat kesalahan besar tidak menghapuskan masalah perhambaan pada zamannya walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian berikutan sokongan ramai iaitu dengan mengubah perlembagaan.

Malah, sebelum menjadi presiden lagi, Buchanan telah bersekongkol dalam agenda memperluaskan perhambaan di negeri-negeri Amerika Syarikat terutama di bahagian barat.

Malah beliau juga dilihat lemah kerana gagal menahan keinginan beberapa negeri yang mahu keluar dari kesatuan.

Lebih memburukkan keadaan, presiden selama sepenggal (1857 - 1861) ini dikatakan seorang homoseksual. Sangkaan itu ekoran beliau satu-satunya presiden yang tidak pernah berkahwin malah pernah tinggal serumah bersama 'kawan rapatnya' Senator Alabama, William R. King.

King pernah menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat pada 1853 namun hanya memegang jawatan tersebut tidak sampai 50 hari kerana mati akibat penyakit tibi.

Perdebatan mengenai perkara ini masih diperkatakan namun ramai warga Amerika Syarikat sendiri melihat Buchanan sebagai antara atau mungkin yang paling teruk pernah menjadi presiden di negara itu.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012

Rabu, 4 September 2013

Sulfur


Sulfur atau belerang dalam bentuk aslinya adalah sejenis hablur pepejal yang berwarna kuning.

Dalam alam semula jadi, ia dijumpai dalam bentuk unsur tulen, mineral sulfida atau sulfat.

Ia merupakan unsur penting untuk kehidupan dan didapati dalam dua asid amino.

Sulfur adalah antara unsur yang berkepentingan tinggi sebagai bahan mentah perindustrian dan merupakan kepentingan utama dalam setiap sektor ekonomi dunia.

Sulfur digunakan dalam bateri, bahan pencuci, pemvulkanan getah, racun kulat dan dalam pembuatan baja fosfat.

Unsur sulfur boleh didapati berdekatan mata air panas dan kawasan gunung berapi di kebanyakan bahagian dunia, terutamanya di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

Sulfur juga boleh didapati berdekatan dengan kawah-kawah gunung berapi.

-Kosmo!

Sabtu, 31 Ogos 2013

Kemboja


Kemboja terletak di bahagian selatan Indochina.

Phnom Penh merupakan ibu negara Kemboja.

Kemboja menggunakan mata wang Kemboja riel. Dollar Amerika Syarikat turut diterima dalam urusan harian.

Penduduk Kemboja kira-kira 14.8 juta.

Keluasan negara adalah 181,035 kilometer persegi.

Kemboja bersempadan dengan Thailand di bahagian barat laut dan barat daya, Vietnam di bahagian timur dan Laos di bahagian timur laut.

Agama rasmi adalah Buddha yang dianuti 95 peratus penduduknya.

Kumpulan etnik terdiri daripada Khmer (90 peratus), Vietnam (5 peratus), Cina (1 peratus) dan lain-lain (4 peratus).

-Kosmo!

Isnin, 26 Ogos 2013

Pusat Kewangan Dunia Shanghai

Pusat Kewangan Dunia Shanghai (SWFC) diiktiraf sebagai bangunan keenam tertinggi di dunia (2013).

Ia terletak di Zon Perdagangan dan Kewangan Luziajui di Pudong, Shanghai, China.

Ketinggiannya setinggi 492 meter atau 101 tingkat.

Sebuah firma dari Jepun, Mori Group telah diberi tanggungjawab merealisasikan pembinaannya pada 1997.

Krisis kewangan yang melanda Asia telah menyebabkan pembinaannya tertanggug selama hampir enam tahun sebelum diteruskan semula pada tahun 2003.

Sebaik siap pada 28 Ogos 2008, SWFC menjadi bangunan tertinggi di China dan ketiga tertinggi di dunia ketika itu.

Reka bentuknya dihasilkan oleh firma Kohn Pedersen Fox Associates P.C.

Pelan asalnya diubah semula agar ukurannya melebihi bangunan Taipei 101 yang dibina di Taiwan.

Bagaimanapun, lapisan asas yang dibina sebelum ini hanya membenarkan ia diubah dari ketinggian 460 meter (94 tingkat) kepada 492 meter (101 tingkat). Ini menyebabkan ia hanya 16 meter lebih rendah daripada bangunan Taipei 101.

Ia menggunakan bingkai besi dan keluli konkrit bertetulang sebagai bahan asas.

Ia juga mempunyai tarikan Sky Walk (laluan berkaca sepanjang 55 meter) di tingkat 100.

Tempoh satu minit diperlukan untuk tiba ke tingkat 95.

Penggunaan teknologi antigempa dan peredam angin membolehkan ia bertahan pada gegaran sehingga 8.0 skala Richter selain mengurangkan impak angin sehingga 40 peratus.

Terdapat lantai kalis api dibina di laluan kecemasan, serta berdozen-dozen lampu penunjuk isyarat laluan.

Penggunaan konduktor kilat dan lapisan dinding kaca yang penyaring sinaran ultra ungu (UV) juga diterapkan.

Rekaan lubang berbentuk trapezoid di bahagian atas bangunan tersebut tlah diubah semula apabila kerajaan China melihat ia seakan-akan sama dengan bendera Jepun.

Hotel Park Hyatt yang terletak di tingkat 79 hingga 93 diiktiraf sebagai hotel tertinggi di dunia.

-Kosmo!

Jumaat, 23 Ogos 2013

Pantai Remis Kuala Selangor


Pantai Remis, Kuala Selangor terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur.

Pantai Remis airnya berlumpur tetapi pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya bermain layang-layang, beristirehat di bawah pokok atau kerusi batu.

Sesuai juga untuk aktiviti memancing dan perkhemahan.

Kemudahan yang ada termasuk surau, tandas, medan selera dan tempat letak kereta.


Pantai ini di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Selangor.

Kemudahan penginapan seperti Hotel De Palma Kuala Selangor di Tanjung Keramat, Hotel Sun Inns (Taman Bendahara) dan Hotel Malawati Ria serta Hotel Kuala Selangor di pean lama Kuala Selangor.

-Kosmo!