Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 30 April 2013

KOMTAR


Bangunan Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak) ialah mercu tanda yang terdapat di bandar raya George Town, Pulau Pinang.

Tinggi bangunan Komtar ialah 232 meter dan menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Menara setinggi 65 tingkat itu pernah menjadi bangunan tertinggi di Malaysia sebelum terbinanya Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

-Kosmo!

Isnin, 29 April 2013

Batang Kali


Batang Kali terletak di daerah Hulu Selangor.

Daerah Hulu Selangor mempunyai keluasan 174,047 hektar iaitu hampir sama luas dengan Melaka.

Penduduk Hulu Selangor pada tahun 2010 adalah kira-kira 200,000 orang.

Jarak Batang Kali dari Kuala Lumpur ialah kira-kira 50 km atau sejam perjalanan dengan menaiki kereta.

-Kosmo!

Jumaat, 26 April 2013

Iran


Iran dikenali juga sebagai Republik Islam Iran.

Iran merupakan negara ke-18 terbesar di dunia dengan keluasan 1,648,195 kilometer persegi.

Ia dikelilingi beberapa perairan utama seperti Laut Kaspia, Teluk Oman, Teluk Parsi dan Laut Arab.

Iran mempunyai antara tamadun terawal di dunia selain Rom, Greek dan Mesir kuno.

Ia mengamalkan sistem monarki sehingga kejatuhan pemerintah terakhirnya Mohammad Reza Pahlavi atau juga dikenali sebagai Shah Iran.

Revolusi Iran pada tahun 1979 yang diketuai Ayatollah Ruhollah Khomeini menyebabkan Iran bertukar menjadi republik.

Populasi penduduknya seramai 75,149,669 orang (2012) manakala majoriti penduduknya berfahaman Syiah dan menggunakan bahasa Parsi sebagai bahasa pengantar.

Pentadbirannya terbahagi kepada 31 wilayah diketuai seorang gabenor.

Ibu negara Iran ialah Teheran.

Sektor ekonomi utama Iran ialah perdagangan minyak dan gas (ketiga terbesar di dunia), pertanian dan perindustrian.

-Kosmo!

Khamis, 25 April 2013

Gua Kelam

Pemandangan di sekitar Gua Kelam, Perlis

Gua Kelam ialah gua batu kapur yang terdiri daripada 370 meter panjang terletak di bandar Kaki Bukit, Perlis.

Ia boleh dimasuki melalui jambatan gantung.

Perjalanan sepanjang melalui jambatan tersebut merupakan suatu pengalaman yang unik dan menyeronokkan.

Sungai bawah tanah mengalir di kaki gua batu kapur tersebut sepanjang 400 meter.

-Kosmo!

Rabu, 24 April 2013

Adrenalin


Adrenalin ialah hormon yang dirembes oleh kelenjar adrenal dan dikenali juga sebagai epinefrina.

Ia membantu badan menyesuaikan diri dengan tekanan yang tiba-tiba misalnya ketika marah dan takut sekali gus meningkatkan kadar tekanan darah dan denyutan jantung.

Ia juga mencepatkan penukaran glikogen kepada glukos yang memberikan tenaga kepada otot.

Hormon ini juga menyebabkan perubahan dalam badan yang menjadikan seseorang itu lebih cekap untuk berlawan atau berlari.

-Kosmo!

Selasa, 23 April 2013

Norodom Sihanouk


Norodom Sihanouk dilahirkan pada 31 Oktober 1922. Sihanouk melalui zaman kanak-kanak ketika era kolonial Perancis Indochina.

Pada tahun 1941, Perancis menabalkan beliau sebagai Raja Kemboja walaupun baharu berusia 18 tahun.

Perancis menganggap Sihanouk sebagai seorang putera yang tidak serius dan mudah dikawal. Mereka memandang rendah kebolehan Sihanouk, namun pada tahun 1953, Perancis akhirnya berundur.

Pada tahun 1955, Sihanouk turun takhta dan memberi laluan kepada ayahandanya, Norodom Suramarit untuk menaiki takhta.

Beliau menceburi dunia politik dan membentuk parti sendiri serta memegang beberapa posisi penting seperti perdana menteri dan ketua negara.

Sepanjang hidupnya, beliau cuba menjadikan Kemboja sebagai negara berkecuali ketika Perang Dingin memuncak dan menjadi pengasas kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Pada tahun 1965, beliau memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat yang kemudiannya menggandakan asakan dalam Perang Vietnam.

Namun, pada tahun 1969, beliau mencipta perhubungan baharu bersama Amerika Syarikat dan mengetepikan China kerana bimbang bahan mentah negaranya dikuasai komunis Vietnam.

Keutamaan Sihanouk adalah bagi mengelakkan Kemboja daripada terlibat dengan perang, tanpa mengira musuh atau kawan, tetapi beliau gagal.

Tentera udara Amerika Syarikat mengebom markas komunis Vietnam di Kemboja yang disangka telah dipersetujui Sihanouk menerusi persefahaman tidak bertulis.

Bagi merebut kembali takhtanya selepas dirampas Jeneral Lon Nol yang mendapat sokongan Amerika Syarikat pada tahun 1970, beliau membuat pakatan bersama Khmer Rouge. Ketika itu beliau melalui tempoh buangan di China.

Apabila Khmer Rouge berjaya merampas kuasa pada tahun 1975, Sihanouk kembali ke Kemboja.

Namun, beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara selepas beberapa bulan dan diarahkan menjalani hukuman mati. Campur tangan pemimpin China, Zhou Enlai menyelamatkan beliau.

Sihanouk kemudiannya ditahan di istananya sendiri sambil menyaksikan Khmer Rouge menubuhkan rejim fahaman Mao Zedang yang bersifat ultra radikal bermula tahun 1975 sehingga tahun 1979.

Sepanjang tempoh itu, kira-kira 1.7 juta rakyat terbunuh termasuk lima anaknya iaitu Putera Ravivong, Putera Khemanourak, Puteri Soriyaraingsey, Puteri Botumbopha dan Puteri Sucheatvateya. Anak angkat beliau iaitu Putera Naradipo turut terkorban.

Vietnam kemudiannya menawan Khmer Rouge pada tahun 1978 manakala Sihanouk dibuang negeri ke Beijing dan Korea Selatan.

Walaupun kurang menyukai Khmer Rouge, Sihanouk terpaksa bersama tentera itu untuk membentuk Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea dan menghalau tentera Vietnam.

Selepas 10 tahun, Sihanouk kembali menaiki takhta pada tahun 1993 dan membina semula reputasi sebagai pemerintah negara mengikut sistem raja berperlembagaan.

Keamanan negara bagaimanapun masih belum dapat dikembalikan ekoran trauma rakyat terhadap Pol Pot sehinggalah pemimpin Khmer Rouge itu mati pada tahun 1998.

Pada tahun 2004, atas faktor kesihatan Sihanouk akhirnya menyerahkan takhta kepada anak lelakinya, Norodom Sihamoni untuk menjadi Raja Kemboja.

Norodom Sihanouk meninggal dunia pada 15 Oktober 2012 di Beijing, China akibat serangan jantung.

sumber: Artikel Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 19 Oktober 2012

Isnin, 22 April 2013

Hari Bumi


Hari Bumi disambut pada 22 April setiap tahun di lebih 192 negara seluruh dunia sebagai tanda sokongan untuk melindungi alam sekitar.

Diuruskan secara global oleh Earth Day Network yang ditubuhkan sejak sambutan Hari Bumi pertama pada 1970.

Tema sambutan Hari Bumi pada tahun 2013 ialah The Face of Climate Change yang menekankan perubahan iklim bumi yang meninggalkan kesan kepada manusia, haiwan, tempat dan alam sekitar kita.

Pemusnahan hutan

Hutan tropika meliputi 23% permukaan Bumi, tetapi semakin menghilang pada kadar 4.6 juta hektar setahun.

  • Asia - 2.2 juta hektar setahun
  • Amerika Latin dan Carribean - 1.9 juta hektar setahun
  • Afrika - 470,000 hektar setahun

Secara dasarnya, satu kawasan hutan hujan sebesar padang bola dimusnahkan setiap saat.

Lebih daripada 5,000 barangan diperbuat daripada pokok; seperti rumah, perabot, pensil, perkakas rumah, pagar, buku, suratkhabar, tiket wayang malah termasuk pakaian dan ubat gigi.

Pencemaran udara

Kita menyedut 12,000 liter (lebih 3,000 gelen) udara ke dalam paru-paru. Kita bernafas lebih kurang 20,000 kali sehari.

Kualiti udara di jalan yang sibuk adalah 20 kali lebih baik daripada pejabat anda - terdapat hampir 20,000 partikel di dalam 10 kaki padu udara bilik.

Pencemaran udara di dalam rumah atau bangunan berkemungkinan lebih teruk daripada di luar. Antara sumber pencemaran di dalam rumah termasuklah hama di atas katil, cat dinding, asap rokok, kulapuk dan pelbagai lagi.

Antara sumber utama pencemaran udara adalah pengeluaran asap dari kilang dan kenderaan yang mengeluarkan pelbagai bahan kimia ke udara - mengakibatkan peningkatan masalah pernafasan.

- www.earthday.org

Khamis, 18 April 2013

Lombong bijih timah Sungai Lembing

Papan tanda lombong bijih timah Sungai Lembing

Lombong bijih timah bawah tanah di Sungai Lembing, Pahang dibuka oleh seorang lelaki cina bernama Lim Ah Sam pada tahun 1868.

Lombong tersebut kemudian diusahakan secara insentif oleh syarikat perlombongan British iaitu The Pahang Corporated Limited pada tahun 1887.

Kegiatan perlombongan bijih timah dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1906 sebaik sahaja pengurusan lombong diambil alih oleh sebuah lagi syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

Terowong untuk masuk ke dalam lombong bijih timah bawah tanah Sungai Lembing

Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing dilengkapi kemudahan asas seperti sekolah, hospital, balai polis, kediaman tersusun, sistem pengangkutan yang baik dan banyak lagi.

Harga bijih timah yang jatuh merudum pada tahun 1985 menyebabkan lombong bawah tanah sepanjang 322 kilometer dengan kedalaman sehingga 700 meter itu terpaksa ditutup pada September 1986.

PCCL menanggung banyak kerugian dan terpaksa menghentikan operasinya. Aktiviti ekonomi di Sungai Lembing yang dahulunya berkembang maju mula merosot.

Ramai pekerja lombong hilang pekerjaan dan terpaksa berpindah ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan.

-Kosmo!

Rabu, 17 April 2013

Institut Jantung Negara


Sejarah Institut Jantung Negara (IJN) bermula sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977.

Pada tahun 1982, ia beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL.

Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan dan memiliki bangunan sendiri di Kuala Lumpur.

Selama 18 tahun penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa.

IJN muncul sebagai hospital pertama di negara ini yang menjalankan pembedahan pemindahan jantung pada tahun 1997.

IJN juga telah menjalankan pembedahan pintasan cantuman koronari arteri (CABG) ke atas pesakit dalam keadaan sedar pada tahun 2004.

Pada tahun 2005, IJN telah menjadi hospital pertama di Asia memperkenalkan alat bantuan jantung mekanikal yang ditambah baik secara berterusan juga menjadi hospital yang pertama di Malaysia menjalankan pembedahan pemindahan paru-paru.

IJN juga menjadi hospital pertama di negara ini yang memperkenalkan ciptaan terbaharu antaranya peranti Watchman bagi mengurangkan risiko strok pada tahun 2010 dan peranti Klip Mitra bagi mengatasi masalah kebocoran injap mitral (mitral valve prolapse) pada tahun 2011.

Mulai tahun 2006, IJN telah membiayai rawatan perubatan seramai 529 pesakit yang bernilai RM12 juta melalui inisiatif Yayasan IJN.

Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga 2011.

Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala 2,556 kes pembedahan jantung berlubang.

Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan jantung berlubang (296).

IJN turut mewujudkan Klinik Bergerak IJN bagi menghubungkan masyarakat luar bandar kepada perkhidmatan dan rawatan di IJN.

Institut Jantung Negara telah menerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri pada tahun 2011 atas kecemerlangan dalam bidang perubatan tempatan.

-Kosmo!

Selasa, 16 April 2013

Badak Sumbu


Badak ialah haiwan dalam keluarga Rhinocerotidae.

Keluarga badak dikelaskan pada beberapa ciri:
  • Saiz badan
  • Corak pemakanan iaitu gemar makan daun atau herbivor
  • Ketebalan kulit perlindungan (antara 1.5 hingga 5 sentimeter)
  • Saiz otak yang kebanyakannya kecil iaitu antara 400 hingga 600 gram
  • Bilangan dan saiz tanduk (Spesies Afrika dan Sumatera mempunyai dua tanduk manakala India dan Jawa memiliki satu tanduk)

Terdapat lima spesies badak sumbu di dunia iaitu dua di Afrika dan tiga di Asia Tenggara. Spesies-spesies tersebut ialah:

Badak putih di Afrika yang mempunyai dua subspesies iaitu badak putih utara dan badak putih selatan.

Badak hitam di Afrika yang mempunyai empat subspesies iaitu Diceros bicornis minor di selatan tengah Afrika, Diceros bicornis bicornis di selatan daya Afrika, Diceros bicornis michaeli di timur Afrika dan Diceros bicornis longipes di barat Afrika yang sudah mengalami kepupusan.

Badak India ditemui di Nepal dan timur laut India.

Badak Jawa ditemui di Pulau Jawa dan Vietnam.

Badak Sumatera ditemui di altitud tinggi di Borneo dan Sumatera.

-Kosmo!

Isnin, 15 April 2013

Porsche Panamera 4


Porsche Panamera 4 menggunakan enjin V6 3.6 liter yang mampu menghasilkan 300 kuasa kuda dan 400 Nm Torque.

Ia merupakan sebuah kereta jenis hatchback pacuan empat roda.

Porsche Panamera 4 terkenal dengan prestasi enjin dan kawalan pemanduan yang mantap.

Ia juga dikenali kerana ruangan dalaman kereta yang eksklusif dan lebih selesa berbanding model Porsche lain.

Porsche Panamera 4 mula diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun 2010.

Ia berharga lingkungan RM740,000 hingga RM1.3 juta bergantung kepada spesifikasi.

-Kosmo!, www.livelifedrive.com

Jumaat, 12 April 2013

Masjid di Amerika Syarikat

Masjid Induk Amerika (Mother Mosque of America) di Cedar Rapids, Iowa, Amerika Syarikat
Terdapat lebih 2,000 buah masjid di Amerika Syarikat.

Sebahagian besar masjid-masjid ini pada mulanya dibina untuk tujuan lain.

Pada pertengahan 1990-an, kurang daripada 100 buah masjid adalah bangunan yang pada asalnya direka sebagai masjid.

Kebanyakan daripada bangunan-bangunan ini dijadikan sebagai pusat kebudayaan atau masyarakat dengan kemudahan seperti kuliah, perpustakaan, dewan persidangan, kedai buku, dapur, dewan sosial serta kemudahan rekreasi, bilik penginapan dan tempat pengurusan mayat.

Masjid pertama yang dibina di Amerika Syarikat ialah di Cedar Rapids, Iowa pada tahun 1934.

Masjid-masjid lain ialah Pusat Kebudayaan Islam di Washington DC yang dibina pada tahun 1957, Masjid Darul Islam di Abiquiu, New Mexico yang dibina pada tahun 1981, Pusat Kebudayaan Islam di Tempe, Arizona dibina pada tahun 1984 dan Pusat Islam Virginia di Richmond, Virginia yang dibina pada tahun 1990.

sumber: Masjid di Amerika Syarikat tulisan Omar Khalidi, usembassy.gov.

Khamis, 11 April 2013

Pelukis yang berperangai pelik atau eksentrik

Salvador Dali

Memiliki penampilan pelik dengan bentuk misai mengarah ke atas. Beliau menggunakan cecair lilin bagi membentuk misainya. Terdapat khabar angin yang mengatakan dia memakai kasut lebih kecil daripada kakinya bagi memastikan Salvador berada dalam keadaan berjaga-jaga.


Michelangelo

Michelangelo ialah seorang pelukis yang tidak menjaga penampilan. Dia mempunyai tabiat jarang mandi dan selalu tidur tanpa menanggalkan kasut.


Millie Brown

Millie Brown melukis lukisan abstrak dengan menggunakan muntah selepas minum susu berwarna.


Vincent van Gogh

Terdapat mitos mengatakan van Gogh menghiris seluruh telinga dan mengirim telinganya itu kepada teman wanita yang telah meninggalkannya. Sebenarnya dia hanya memotong sedikit cuping telinga dan menyerahkannya kepada seorang pelacur.

-Kosmo!

Rabu, 10 April 2013

Margaret Thatcher

Margaret Thatcher ialah bekas Perdana Menteri Britain.

Nama asalnya Margaret Hilda Roberts dilahirkan di Grantham, England pada 13 Oktober 1925.

Pada bulan Oktober 1943 beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kimia di Universiti Oxford.

Beliau berkahwin dengan seorang ahli perniagaan iaitu Denis Thatcher pada 13 Disember 1951. Sebelum menerima lamaran Denis, Margaret Thatcher menetapkan syarat kepada Denis agar beliau diberi kebebasan berpolitik dan enggan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Setelah berkahwin dengan Denis Thatcher dikurniakan sepasang anak kembar iaitu Mark dan Carol Thatcher pada tahun 1953.

Pada 11 Februari 1975 beliau telah dipilih sebagai ketua Parti Konservatif selepas parti itu menjadi pembangkang. Parti Konservatif memenangi pilihanraya pada 3 Mei 1979 dengan undian yang besar selepas Parti Buruh yang memerintah gagal menangani masalah kewangan dan sosial negara itu. Margaret Thatcher menjadi Perdana Menteri wanita yang pertama di Britain dan mendapat gelaran Wanita Besi Britain.

Margaret Thatcher juga pernah digelar Milk Snatcher selepas tindakannya memansuhkan susu percuma kepada pelajar sekolah berumur tujuh hingga 11 tahun ketika memegang posisi Setiausaha Pendidikan pada tahun 1971.  Keputusan itu dibuat atas arahan peringkat atasan yang berdepan kerapuhan ekonomi yang kritikal.

Populariti Margaret Thatcher meningkat apabila Argentina menyerah kalah pada 14 Jun 1982 di dalam Peperangan Falklands.

Margaret Thatcher mengetuai Parti Konservatif dalam pilihan raya umum pada 9 Jun 1983 dan Parti Konservatif telah memenanginya.

Pada 12 Oktober 1984 Tentera Republik Ireland (IRA) telah mengebom hotel yang diduduki oleh Margaret Thatcher. Beliau cedera manakala lima orang lain terbunuh termasuk isteri Menteri Kabinet John Wakeham.

Pada 19 Disember 1984 Margaret Thatcher telah menandatangani deklarasi untuk mengembalikan Hong Kong kepada China pada bulan Julai 1997.

Margaret Thatcher mengetuai Parti Konservatif untuk penggal ketiga berturut-turut kerajaan Britain pada 11 Jun 1987.

Pada 9 Ogos 1990 Margaret Thatcher telah menyokong Great Britain yang diketuai Amerika Syarikat untuk berperang dengan Iraq selepas Saddam Hussein yang ketika itu menjadi Presiden Iraq menawan Kuwait. Bagaimanapun, pada 28 November 1990 Margaret Thatcher telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Britain selepas perbalahan berlaku dalam kalangan anggota Parti Konservatif ekoran dasar-dasarnya tentang Eropah. Tempatnya digantikan oleh John Major.

Margaret Thatcher pernah diserang strok ringan pada tahun 2002.

Suami Margaret Thatcher iaitu Sir Denis Thatcher meninggal dunia akibat kanser pankreas pada 26 Jun 2003.

Pada bulan Jun 2009 Margaret Thatcher pernah dimasukkan ke sebuah hospital selama dua minggu selepas patah tulang tangan kiri kerana terjatuh di rumahnya.

Pada 20 Disember 2012 Margaret Thatcher telah dimasukkan ke hospital selepas menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan.

Margaret Thatcher meninggal dunia pada 8 April 2013 ketika berusia 87 tahun akibat diserang strok.

-Kosmo!

Pegomastax africanus


Pegomastax africanus ialah spesies dinosaur yang mempunyai badan seperti landak.

Dinosaur tersebut mempunyai gigi taring dan paruh seperti burung kakak tua.

Spesimen dinosaur tersebut ditemui pada serpihan seketul batu di Afrika Selatan pada tahun 1960-an.

Ia dipercayai hidup antara 100 juta hingga 200 juta tahun yang lalu.

Pegomastax africanus bermaksud rahang tebal dari Afrika yang diberi nama oleh seorang pengkaji haiwan purba Paul Sereno pada 2012.

Panjang dinosaur itu kurang 61 sentimeter dan ia memakan tumbuh-tumbuhan.

Beratnya seperti seekor kucing peliharaan manakala ketinggiannya kurang 30 sentimeter.

-Kosmo!, Agensi

Selasa, 9 April 2013

Basikal fixed gear


Sebuah basikal fixed gear mampu mencecah sehingga harga RM20,000 sebuah mengikut spesifikasi tertentu.

Selain kegunaan di atas jalan raya, fixed gear juga boleh digunakan untuk membuat beberapa skil tertentu.

Antara kegunaan basikal fixed gear adalah untuk sukan polo berbasikal, bola berbasikal dan seni artistik (artistic cycle).

Menjaga basikal fixed gear lebih mudah kerana ia tidak menggunakan banyak alatan berbanding basikal biasa yang mempunyai gear.

-Kosmo!

Isnin, 8 April 2013

Taman Negara Virunga

Taman Negara Virunga terdahulu dinamakan Taman Negara Albert.

Ia meliputi kawasan seluas 7,800 kilometer persegi iaitu dari pergunungan Virunga di selatan hingga pergunungan Rwenzori di utara.

Taman Negara yang diwujudkan pada tahun 1925 adalah yang pertama di Afrika dan merupakan tapak warisan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 1979.

Taman tersebut diuruskan oleh Pihak Berkuasa Congolese dari Institut Congolais pour la Conservation de la Nature dengan kerjasama Dana Konservasi Afrika.

Di sebalik pelbagai masalah militari dan pertempuran, taman negara itu berjaya mengekalkan kepelbagaian spesies dan populasi haiwan pupus seperti gorila gunung yang telah bertambah sejak lewat 1980-an.

Ia dikatakan hasil daripada dedikasi pihak renjer hutan dan kakitangan yang mengharungi pelbagai cabaran.

-Kosmo!

Jumaat, 5 April 2013

Lembah Danum


Lembah Danum terletak kira-kira 70 kilometer dari Lahad Datu, Sabah, Malaysia.

Hutan seluas 438 kilometer persegi itu merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan flora dan fauna.

Melalui kajian dan penyelidikan mendedahkan kepelbagaian tumbuhan tanah rata di Sabah termasuklah badak sumbu Sumatera, seladang, gajah Asia, harimau akar dan orang utan.

Pusat Kajian Lapangan Lembah Danum (DVFC) di situ diuruskan oleh Yayasan Sabah di bawah jawatankuasa yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa agensi yang berminat mengenai penyelidikan dan pemuliharaan hutan.

Di Lembah Danum, terdapat lebih 300 spesies burung yang pernah direkodkan di situ seperti kuang Bulwer, pitta, Borneo bristlehead dan lapan spesies burung enggang selain lebih 40 spesies ikan.

Banyak program penyelidikan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum dan Royal Society, London diadakan sejak tahun 1984.

Puncak tertinggi di Lembah Danum ialah Gunung Danum yang setinggi 1,093 meter.

Gunung Danum memerlukan masa tiga hari dua malam untuk sampai manakala mereka yang tegar cukup hanya empat jam.

Bukit Rafflesia juga mampu menarik perhatian para penggemar alam sekitar kerana di situ orang ramai berpeluang menemui bunga rafflesia.

Kawasan Konservasi Lembah Danum dikategorikan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan.

Sumber: artikel William dan Kate ke Lembah Danum, Kosmo! 26 September 2012



Khamis, 4 April 2013

Enggang


Semua spesies burung enggang mempunyai paruh yang sangat besar dan permukaan atasnya dihiasi dengan satu bonggol yang besar dipanggil kaska.

Ia mempunyai bulu mata yang melentik.

Apabila terbang, kibasan sayap burung enggang akan mengeluarkan bunyi yang kuat kerana ia hanya mempunyai bulu primer dan tiada bulu sekunder seperti burung-burung lain.

Enggang merupakan haiwan omnivor. Makanan yang digemarinya ialah betik, pisang serta haiwan invertebrata dan vertebrata seperti serangga, reptilia kecil (ular, biawak) dan mamalia kecil (tikus, mencit).

Sifat agresif dan dominan burung enggang jantan menyukarkan manusia mendekati dan menjinakkan mereka.

Terdapat 10 spesies burung enggang iaitu:
  1. Rhinoceros Hornbill (enggang badak) - Buceros rhineceros
  2. Oriental Pied Hornbill (enggang kelengking) - Anthracoceros albirostris
  3. Asian Black Hornbill (enggang gatal birah) - Anthracoceros malayanus
  4. Wreathed Hornbill (enggang bukit/gunung) - Aceros undulatus
  5. Great Hornbill (enggang papan) - Buceros bicernis
  6. White-crowned Hornbill (enggang jambul putih) - Berenicornis comatus
  7. Bushy-crested Hornbill (enggang belukar) - Anorrhinus galeritus
  8. Helmeted Hornbill (enggang terbang mentua) - Buceros vigil
  9. Tenasserim Hornbill (enggang belantara/hutan) - Aceros subruficollis
  10. Wrinkled Hornbill (enggang merantau/berkedut) - Aceros corrugatos

-Kosmo!

Rabu, 3 April 2013

Tanjung Piai

Tanjung Piai terletak dalam mukim Kukup, daerah Pontian, Johor.

Ia berkeluasan 926 hektar dengan kawasan pantai sepanjang lapan kilometer yang menghadap Selat Melaka.

Tanjung Piai diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar (Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa) pada 31 Januari 2003.

Ia juga merupakan hutan simpan ke 1,289 dalam senarai Ramsar.

Tanjung Piai ialah bahagian paling hujung di selatan benua Asia.

Ia merupakan pusat ekopelancongan negara.

Tanjung Piai menempatkan 20 spesies tumbuhan bakau sebenar serta sembilan spesies bakau berkaitan.

Ia juga menempatkan mercu tanda daratan penghujung iaitu glob dunia yang dibina atas sebuah pelantar menghadap Selat Melaka.

-Kosmo!, Majlis Daerah Pontian, Johor.

Selasa, 2 April 2013

Kamera segera

Kamera segera pertama dicipta oleh saintis Amerika, Edwin Land (gambar) selepas anak perempuan beliau bertanya "kenapa dia tidak boleh melihat terus gambar yang diambil?"

Polaroid Corporation antara yang terawal mengeluarkan kamera segera namun ia menghentikan operasinya pada Februari 2008.

Syarikat fotografi, Fuji Film terus aktif mengeluarkan kamera segera dan terkini mereka memasarkan kamera segera bersaiz mini Instax Mini.

Harga bagi kebanyakan kamera segera adalah jauh lebih murah berbanding kos penggunaannya. Sekotak filem biasa dijual pada harga RM30 hingga RM90 untuk 10 atau 20 keping.

Filem dan gambar kamera segera perlu disimpan dalam suhu rendah bagi mengekalkan kualiti.

Kamera kompak lebih ringan dan mudah dibawa kerana saiz yang kecil tetapi ia masih boleh mengambil gambar yang berkualiti setanding kamera DSLR, bergantung kepada jenis jenama yang digunakan.

Kamera kompak mempunyai kelemahan dari aspek ketahanan kuasa bateri dan masih tidak dapat menandingi kamera DSLR.

Kamera DSLR menggunakan sensor untuk menukar cahaya kepada piksel, hasilnya gambar jauh lebih baik berbanding kamera kompak.

Selain itu, kamera DSLR lebih fleksibel kerana lensa kamera boleh ditukar mengikut kesesuaian dan kehendak pengguna.

Pengguna kamera DSLR perlu mahir menggunakan fungsi-fungsi yang sedikit kompleks selain penjagaan rapi terutama pada sensor kamera bagi mengelakkan kerosakan.

Walaupun harga kamera DSLR lebih mahal berbanding kamera kompak dan kamera segera, ia mampu mengambil gambar lebih daripada 200,000 keping bergantung kepada jenis kamera.

-Kosmo!

Isnin, 1 April 2013

Kain Kapas

Kain kapas bukan sekadar berupaya menyerap peluh malah menghasilkan pengaliran udara yang baik pada badan, tahan lasak, mudah dicuci dan selesa digayakan.

Kain kapas tidak terhad untuk penghasilan baju tidur malah ia juga boleh dibuat baju tradisional, baju kanak-kanak, langsir atau selimut.

Selain kain kapas India, kain kapas Swiss, Jepun, Inggeris dan Indonesia turut menjadi perhatian.

Sementara itu, tekstur kain kapas Pakistan pula sedikit kasar manakala corak di dada kain juga berbeza.

Sebahagian kainnya mempunyai batu permata yang dipanggil Chicken Lawn Stone.

Kain kapas Pakistan diperbuat daripada 100 peratus kapas tanpa campuran poliester iaitu sejenis serat tiruan.

- Kosmo!