Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 24 Jun 2013

Poker


Poker ialah sejenis permainan bersaing yang popular.

Untuk bermain Poker, seseorang perlu belajar asas-asas dan prosedur permainan, nilai-nilai pelbagai kombinasi kad dan peraturan-peraturan tentang had pertaruhan.

Lazimnya permainan Poker adalah sinonim dengan perjudian disebabkan itu bagi masyarakat Islam permainan Poker adalah ditegah melainkan jika ia tidak melibatkan pertaruhan.

-wikipedia.

Khamis, 20 Jun 2013

Propaganda

Pada era Perang Dunia Kedua, kebanyakan propaganda yang disebarkan adalah mengenai patriotisme

Propaganda ialah maklumat sama ada benar atau palsu yang disebarkan untuk menjalankan sesuatu agenda.

Sekalipun ia benar, ia tidak akan menjadi non-partisan dan juga tidak memberikan gambaran yang lengkap.

Propaganda mempunyai banyak persamaan dengan pengiklanan. Bagaimanapun, propaganda lazimnya mempunyai tema politik atau nasionalis.

Banyak teknik yang digunakan dalam propaganda adalah kesalahan yang logik kerana pandangan propagandis mengemukakan hujah-hujah yang meyakinkan walaupun ia tidak semestinya sah.

-wikipedia

Rabu, 19 Jun 2013

Pablo Escobar


Colombia terkenal dengan kartel dadah yang digeruni masyarakat antarabangsa.

Salah seorangnya ialah Pablo Escobar yang pada era kegemilangannya pada tahun 1989 merupakan manusia ketujuh terkaya di dunia hasil jualan dadah dengan nilai kekayaan mencecah AS$29.9 bilion (RM102.5 bilion) seperti dilaporkan majalah Forbes.

Escobar yang datang daripada sebuah keluarga petani merupakan ketua kartel dadah Medellin.

Dalam satu peristiwa, Escobar sanggup membakar wang kertas Amerika bernilai lebih AS$1.6 juta (RM4.8 juta) bagi memastikan anak perempuannya tidak kesejukan.

Anak gadisnya itu, Manuela menggeletar kesejukan kesejukan semasa mereka bermalam di sebuah kawasan pergunungan setelah melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Escobar yang berusia 44 tahun ditembak mati pada Disember 1993.

-Kosmo!

Selasa, 18 Jun 2013

Kembar siam


Kembar siam merupakan satu kejadian yang amat jarang berlaku iaitu hanya satu dalam 50,000 hingga 80,000 kelahiran di dunia.

Pembentukan fizikal mereka berbeza-beza dengan sesetengahnya terpaksa berkongsi organ.

Dari segi bahagian tubuh yang bercantum, ada yang melekat pada seluruh tubuh, sendi pinggul, karnium, dada dan kepala.

Adakalanya salah satu kembar Siam menjadi manusia normal manakala pasangannya bergantung hidup pada pasangannya yang sempurna. Tidak kurang juga yang meninggal dunia semasa proses kelahiran.

Terdapat kembar Siam yang dilahirkan memiliki tangan atau kepala yang lebih daripada satu.

-Kosmo!

Isnin, 17 Jun 2013

Air kencing


Pelbagai sebab boleh menentukan warna air kencing atau urin, antaranya keseimbangan bendalir badan, pemakanan ubatan dan penyakit.

Warna urin selalunya jernih. Bakteria, darah, sperma, kristal atau mukus boleh menyebabkan ia bertukar menjadi warna gelap.

Bau urin tidaklah terlalu kuat. Sebahagian penyakit boleh menyebabkan baunya berubah. Contohnya jangkitan bakteria E.coli menyebabkan baunya busuk manakala diabetes membuatkan baunya manis.

Protein boleh ditemui di dalam urin. Demam, latihan keras, kehamilan dan beberapa penyakit terutamanya berkaitan buah pinggang boleh mengakibatkan ia wujud dalam urin.

Glukosa adalah sejenis gula di dalam darah. Selalunya terdapat sedikit atau tiada langsung glukosa di dalam urin.

-Kosmo!

Jumaat, 7 Jun 2013

Batu nisan


Batu nisan diperbuat daripada batu dengan sesetengah tempat masih menggunakan kayu.

Bagi bahan batu, ia dihasilkan daripada campuran simen dan pasir halus. Bahan-bahan ini akan digaul mengikut nisbah yang diperlukan sebelum dimasukkan ke dalam acuan.

Acuan yang disediakan biasanya mempunyai saiz dan tinggi yang telah ditetapkan. Biasanya, batu nisan orang dewasa mempunyai tinggi 1.5 meter sementara kanak-kanak pula adalah 1 meter.

Sebelum bancuhan dimasukkan ke dalam acuan, besi yang berfungsi sebagai kerangka dibentuk untuk menguat dan mengukuhkan lagi batu nisan yang dihasilkan.

Campuran pasir dan simen akan dibiarkan semalaman sebelum acuan tersebut dibuka.

Setelah kering, batu nisan akan dikeluarkan dan proses menggilap serta melicin akan dimulakan. Antara kaedah melicin yang biasa digunakan adalah menggunakan mesin khas selain penggunaan manual menerusi kertas pasir.

Proses terakhir adalah mengukir dan menghias termasuk menulis maklumat si mati di atas jubin yang telah dipotong mengikut reka bentuk yang dikehendaki.

-Kosmo!

Khamis, 6 Jun 2013

Buluh


Pokok buluh tergolong dalam kategori rumput dan hidup meliar dengan ketinggian 30 sentimeter.

Terdapat lebih 1,000 spesies pokok buluh di dunia.

Buluh antara pokok paling cepat membesar dengan purata antara 100 sentimeter dalam 24 jam.

Rebung buluh boleh dijadikan ulam.

Batang buluh pula digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti membuat rakit, perabot, kraftangan, senjata, rumah dan banyak lagi.

-Kosmo!

Selasa, 4 Jun 2013

Pokok gharqad


Pokok gharqad dalam nama saintifiknya ialah African boxthorn.

Dikategorikan sebagai pokok yang beracun dan tidak boleh dimakan.

Ia mempunyai dahan yang berjalin-jalin dan berduri.

Menurut laman web Jewish National Fund, bangsa Yahudi giat menanam pokok gharqad sebanyak 220 juta pokok di seluruh dunia.

Kempen ini bertujuan untuk mengaburi masyarakat antarabangsa tentang kekejaman yang mereka lakukan terhadap rakyat Palestin.

Pokok gharqad pernah disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi. Lantas orang-orang Islam membunuh mereka hinggalah orang-orang Yahudi bersembunyi di balik batu-batu dan pohon-pohon kayu. Maka berkatalah batu-batu dan pokok-pokok berkenaan: "Wahai hamba Allah! Ini dia Yahudi di belakangku. Datanglah ke mari dan bunuhlah dia." Kecuali pohon gharqad (kerana sesungguhnya pohon tersebut adalah pohon Yahudi)." - Hadis Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah.

-Kosmo!

Isnin, 3 Jun 2013

Melaka Bandar Raya Bersejarah

Melaka diisytiharkan sebagai Bandar Bersejarah pada 15 April 1989 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia kemudian mendapat gelaran baharu iaitu Melaka Bandar Raya Bersejarah pada tahun 2003.

Perisytiharan Melaka Bandar Raya Bersejarah meletakkan negeri itu setaraf dengan bandar-bandar bersejarah lain di dunia seperti Fez, Maghribi, Lisbon, Sepanyol, Hoorn, Belanda dan Nanjing.

Melaka hakikatnya kaya dengan sejarah dan warisan yang dipengaruhi oleh penjajah serta pedagang contohnya Portugis, Belanda, Inggeris, Arab dan China.

Salah satu tarikan yang menyerlahkan kehebatan Melaka sudah tentunya seni bina bangunannya.

Antara tarikan bersejarah utama yang terdapat di Melaka ialah:

Kota A Famosa

Kota A Famosa yang dibina oleh Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan.  A Famosa telah mengalami kerosakan struktur yang agak teruk semasa pencerobohan Belanda.  Apabila pihak British mengambil alih pentadbiran di Tanah Melayu, A Famosa nyaris-nyaris dimusnahkan jika tidak kerana campurtangan Sir Stamford Raffles pada tahun 1808 yang telah menyelamatkan apa yang tertinggal sebagai A Famosa pada hari ini.
    Kota St. John

    Kota St. John yang dibina semula oleh pihak Belanda semasa suku ketiga abad ke-18.  Kota ini sebenarnya ialah sebuah kubu yang mempunyai meriam yang menghadap ke tanah besar kerana pada masa itu serangan ke atas Melaka datang dari tanah besar dan bukan dari arah laut.
      Gereja St. Peter

      Gereja St. Peter dibina oleh Belanda pada tahun 1710 yang merupakan gereja Katolik tertua di Malaysia.  Dinding depan dan perhiasannya adalah gabungan seni reka bentuk timur dan barat.  Locengnya dibawa khas dari Goa pada tahun 1608.
        Gereja St. Paul

        Gereja St. Paul dibina pada tahun 1521 oleh seorang kapten Portugis bernama Duarte Coelho.  Gereja ini yang pada mulanya dinamakan Our Lady of The Hill kemudiannya dijadikan oleh pihak Belanda sebagai tempat persemadian golongan bangsawan dan dinamakan Gereja St. Paul.  Jasad St. Francis Xavier pernah disemadikan di sini pada tahun 1553 sebelum dibawa ke Goa, India.
          Gereja Christ

          Gereja Christ yang dibina pada tahun 1753 oleh pihak Belanda menampakkan seni reka bentuk Belanda yang tulin.  Bangunan ini mengandungi bangku gereja yang dibuat dengan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa sambungan, replika kitab Injil yang dibuat daripada tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan The Last Supper.
            Gereja St. Francis Xavier

            Gereja St. Francis Xavier yang dibina pada tahun 1849 oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis.  Gereja ini dibina khas untuk memperingati St. Francis Xavier yang dikenali sebagai Mubaligh sulung di timur (Apostle of the East).
              Bangunan Stadthuys

              Bangunan Stadthuys yang dibina pada tahun 1650 oleh pihak Belanda sebagai penempatan rasmi Naib Gabenor dan Gabenor Belanda.  Struktur bangunan yang bercat merah ini melambangkan seni reka bentuk Belanda.  Kini ia dijadikan Muzium Sejarah dan Etnografi.  
                Jonker Street

                Lain-lain tarikan yang terdapat di Melaka adalah seperti Jonker Street atau Jalan Hang Jebat yang terkenal dengan barang antiknya, Muzium Maritim Melaka yang menempatkan replika kapal Portugis Flor de la Mar, Menara Tamingsari dan sebagainya.

                sumber: Kosmo!, wikipedia