Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 26 November 2013

Gigitan piranha hitam mengalahkan T-Rex


Gigitan ikan piranha hitam dilaporkan lebih kuat berbanding haiwan-haiwan lain di seluruh dunia termasuklah haiwan prasejarah.

Menurut hasil kajian yang diterbitkan jurnal Scientific Reports (2012), otot rahang ikan itu yang luar biasa membolehkannya mempunyai daya gigitan menyamai haiwan yang 30 kali ganda lebih berat berbanding ikan tersebut.

Menurut penyelidik, walaupun dubuk, jerung putih termasuklah buaya mempunyai kuasa gigitan yang agak kuat, namun kuasa itu menjadi tidak mengkagumkan bila dilihat daripada saiz dan berat haiwan itu.

Malah, menurut kajian itu, piranha juga mengalahkan haiwan gergasi prasejarah seperti Tyrannosaurus Rex (T-Rex) dan paus besar yang mendahului jerung putih.

Menurut jurnal itu, penyelidik telah menangkap 15 ekor ikan piranha hitam di sungai Amazon, Brazil dan melakukan pelbagai ujian gigitan ke atas gajet khas yang dicatatkan pasukan dari Amerika Syarikat, Mesir dan Brazil.

Ia merupakan ujian gigitan yang pertama kali dilakukan ke atas ikan piranha hitam atau nama saintifiknya, Serrasalmus rhombeus.

Kajian itu menunjukkan, gigitan piranha hitam bersamaan 320 newton (N) hampir tiga kali lebih kuat berbanding saiz buaya aligator Amerika.

Satu newton merupakan kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan satu kilogram jisim bagi satu meter kaki persegi.

- Kosmo! Agensi.

Jumaat, 22 November 2013

Tali layang-layang bersalut kaca


Tali pengikat layang-layang bersalut kaca sangat popular dalam kalangan pemain layang-layang di Afghanistan, Bangladesh, Chile, India, Nepal dan Pakistan.

Cara menyediakan tali tersebut ialah menumbuk serpihan kaca sehingga halus sebelum serbuk kaca tersebut dicampur dengan sejenis gam.

Campuran serbuk kaca dan gam tersebut kemudian disalut pada tali layang-layang yang kemudian dijemur sehingga kering.

Sering digunakan oleh peserta pertandingan layang-layang bagi memutuskan tali layang-layang pihak lawan.

Akhbar The Times of India pernah melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas lehernya terlilit tali layang-layang bersalut kaca.

-Kosmo!

Khamis, 21 November 2013

Buaya tembaga 2


Nama saitifik bagi buaya tembaga ialah Crocodylus porosus.

Badan buaya tembaga berwarna kuning kecoklatan.

Reptilia ini hanya akan mengganas sekiranya terancam dan mungkin menyerang manusia tetapi biasanya lebih gemar melarikan diri jika menyedari kehadiran manusia.

Reptilia paling besar dan juga dikenali sebagai Buaya Indo-Pacific atau Buaya Air Masin.

Spesies ini merupakan haiwan yang mempunyai tenaga yang kuat.

Kadangkala ia juga dipanggil Buaya Naked-Neck kerana tidak mempunyai sisik besar di bahagian belakang leher.

Buaya tembaga ialah perenang yang handal.

Spesies ini telah dijumpai di India hingga Australia dan dari Kepulauan Cocos di Lautan India hingga Fiji di Lautan Pasifik.

Habitatnya di sekitar persisiran sungai, lagun dan muara termasuk di lautan terbuka.

Saiz buaya tembaga, purata bagi buaya jantan ialah lima meter dengan berat 450 kilogram tetapi ada spesimen pernah direkodkan sepanjang tujuh meter dan seberat satu metrik tan.

Jangka hayat maksimum bagi buaya tembaga kira-kira 70 tahun.

Buaya tembaga boleh menghasilkan sebanyak 20-60 biji telur.

-Kosmo!, www.zootaiping.gov.my/bm/r-estaurine.html

Rabu, 20 November 2013

Elephant Tower

Elephant Tower, Bangkok, Thailand

Elephant Tower terletak di pertemuan Paholyothin Road dan Ratchadaphisek Road iaitu di tengah-tengah Chatuchak, daerah komersial terulung di Bangkok, Thailand.

Elephant Tower merupakan bangunan paling diperkatakan di Thailand dan seluruh dunia.

Ia merupakan idea pemiliknya, Arun Chaiseri, seorang ahli politik, jurutera dan pemilik syarikat kejuruteraan Arun Chaiseri Consulting Engineers Company Ltd.

Arun Chaiseri berkelulusan kejuruteraan University of Illinois, Amerika Syarikat.

Beliau bersama arkitek Ong-ard Satrabhandhu bergabung tenaga untuk menyiapkan Elephant Tower pada tahun 1997.

Bangunan Lucy the Elephant di Atlantic City, Amerika Syarikat

Elephant Tower merupakan bangunan kedua berbentuk gajah yang dibina di dunia selepas Lucy the Elephant di Atlantic City, Amerika Syarikat.

Elephant Tower ialah gabungan kompleks pejabat, pusat beli-belah dan kondominium mewah setinggi 32 tingkat.

Ia turut dikenali sebagai Chang Building.

Berbentuk kiub, binaan setinggi 102 meter itu menyerupai bentuk seekor gajah yang sedang berdiri.

Bahagian telinganya dihasilkan daripada ruang balkoni kaca bertingkat berkeluasan 170 meter panjang dan 40 meter lebar manakala matanya pula merupakan sebuah tingkap besar.

Bahagian ekornya pula terdiri daripada bilik berkaca setinggi 20 tingkat yang kini menjadi ruang pejabat pengurusan bangunan.

Ia dianggap sebagai simbol bernasib baik dan kejayaan.

Boleh diakses menggunakan pengangkutan awam seperti teksi dan Transit Aliran Pantas (MRT).

- Kosmo!

Khamis, 14 November 2013

Kiub rubik


Kiub rubik adalah sebuah permainan teka-teki mekanik yang ditemui pada tahun 1974 oleh pemahat dan profesor dari Hungary, Erno Rubik.

Kiub rubik diperbuat daripada plastik dan terdiri daripada 26 pecahan kotak kecil.

Setiap sisi daripada kiub memiliki sembilan permukaan yang terdiri daripada tema warna berbeza.

Terdapat beberapa cara penyelesaian iaitu blindfolded solving, multiple blindfolded solving, team blindfolded, one handed solving dan solving with feet.

-Kosmo!

Isnin, 11 November 2013

Makan-makan

Macaroon

Macaroon berasal dari Itali. Macaroon bermaksud rangup dan kenyal. Ia merupakan sejenis manisan yang diperbuat daripada serbuk badam, gula kastor dan putih telur. Ia mempunyai dua keping kulit luar yang diletakkan inti di tengah-tengahnya yang kelihatan seperti burger.


Kek red velvet

Kek red velvet merupakan kek berwarna merah gelap, terang atau merah-coklat. Ia biasanya disediakan sebagai kek berlapis yang ditambah dengan gula aising vanila berkrim atau krim aising keju.


Pavlova

Menurut sejarah, asal-usul nama Pavlova diambil sempena nama seorang penari ballet Russia, Anna Pavlova. Pavlova berkunjung ke sebuah hotel di New Zealand ketika makanan tersebut dihidangkan buat pertama kalinya di hotel tersebut pada tahun 1926. Ia merupakan sejenis kek meringue iaitu putih telur yang dicampur gula, tepung, cuka dan vanila. Kek itu dibakar pada suhu sederhana sehingga permukaan luarnya menjadi garing tetapi bahagian dalamnya lembut dan kenyal. Pavlova dihias dengan buah-buahan dan krim serta sesuai dijadikan pencuci mulut.


Burger bakar

Burger bakar berbeza dengan burger biasa. Ia dipanggang menggunakan batu-batan yang dipanaskan. Kaedah ini menghasilkan daging tanpa minyak.


Bubble tea

Dikenali sebagai teh susu mutiara, bubble tea merupakan minuman berasaskan teh yang dicipta di Taichung, Taiwan sekitar tahun 1980-an. Kebanyakan resipi bubble tea mengandungi teh yang dicampurkan dengan buah-buahan atau sirap. Bebola kecil bubble tea diperbuat daripada tepung ubi kayu.


Durian crepe

Menurut sejarah kulinari, resipi crepe ditemui buat pertama kalinya di Perancis pada tahun 1390 dalam sebuah buku masakan yang bertajuk Manger de Paris (Makanan yang berasal dari Paris). Perkataan crepe berasal daripada bahasa latin iaitu crispa yang bermaksud bergulung. Jika di Perancis crepe disajikan sebagai hidangan utama, di Amerika pula ia dianggap sajian terlazat dan sering dihidangkan sebagai penutup hidangan. Ia turut disajikan dalam pelbagai cara. Antaranya mengisi lapisan-lapisan ini dengan gula halus, cip coklat, krim vanila, keju, sayur-sayuran, daging, telur dan yang terbaharu ialah durian.

-Kosmo!

Jumaat, 8 November 2013

Cape Coast


Cape Coast terletak di utara Teluk Guinea.

Ia merupakan sebuah bandar di Ghana dan mula diteroka oleh Portugis pada kurun ke-15.

Pada masa tersebut, pembangunan atau sejarah bandar berkenaan tidak dapat dipisahkan dengan Istana Cape Coast yang kini merupakan Tapak Warisan Dunia.

Ia dibangunkan oleh Belanda pada tahun 1650 sebelum pedagang Sweden membesarkan istana itu dua tahun kemudian.

Pedagang-pedagang Sweden menjadikan bangunan tersebut sebagai pusat perniagaan kayu dan emas.

Kilang papan pertama dibina di kawasan tersebut ialah pada tahun 1653 oleh Syarikat Swedish Africa. Bagaimanapun, 10 tahun kemudian, orang Denmark mengambil alih keseluruhan kawasan tersebut dan menumpukan dengan perdagangan emas.

Perusahaan itu cuma bertahan setahun sahaja apabila British menjajah negara berkenaan pada tahun 1664, sekali gus menukar landskap istana berkenaan.

British turut menaik taraf bangunan istana secara besar-besaran.

Sepanjang zaman penjajahan, perdagangan hamba menjadi salah satu komoditi yang menguntungkan di negara berkenaan.

Istana Cape Coast juga pernah menyaksikan beratus-ratus hamba ditempatkan di dalam bilik dalam keadaan bersesak-sesak sebelum dipindahkan ke bot-bot milik orang Barat.

Kebanyakan orang menyifatkan Cape Coast sebagai 'pintu tanpa kepulangan' kerana ia merupakan lokasi terakhir perhentian kapal-kapal dagang sebelum mereka memasuki Lautan Atlantik.

Bandar Cape Town menjadi tumpuan pedagang Eropah kerana pada masa tersebut banyak emas ditemui di Ghana.

Penduduk tempatan menjadikan emas, mahogani dan orang mereka sendiri sebagai produk perniagaan.

Komoditi berkenaan ditukarkan dengan pakaian, selimut, rempah ratus, gula, sutera dan lain-lain.

Istana tersebut menjadi pasar bagi urusan jual beli.

Ghana akhirnya mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pada tahun 2010 terdapat seramai 169,894 orang penduduk.

Istana Cape Coast dijadikan muzium pada tahun 1957 iaitu selepas Ghana mencapai kemerdekaan.

Antara koleksi di muzium berkenaan merangkumi arkeologi, sejarah bangunan dan gambar-gambar.

sumber: Artikel 1,001 kisah Cape Coast oleh Nasri Jamaluddin, Kosmo! 13 Disember 2012

Khamis, 7 November 2013

Phoenix


Phoenix terletak di negeri Arizona, Amerika Syarikat.

Phoenix antara bandar yang terletak dalam kawasan padang pasir tercantik di dunia.

Phoenix juga antara bandar yang mempunyai penduduk teramai di Amerika Syarikat iaitu 1,445,632 orang pada 2010.

Phoenix diumumkan sebagai bandar pada tahun 1881 selepas diasaskan pada tahun 1861.

Ia terletak di timur laut Padang Pasir Sonoran.

Pada musim panas, purata suhu tertingginya adalah melebihi 38 darjah celcius.

-Kosmo!