Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 27 Disember 2013

Saham Felda terbesar di Asia


Tarikh 31 Mei 2012 merupakan hari bersejarah buat warga Felda apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan prospektus awam permulaan (IPO) yang terbesar di Asia pada tahun 2012.

Tawaran tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia (2012) selepas Facebook yang membabitkan 2.19 bilion saham.

FGV merupakan syarikat perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di dunia (2012) disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.

-Kosmo!

Khamis, 26 Disember 2013

Innocence of Muslims

Penganut Islam di seluruh dunia tanpa mengira parti politik bersatu mengadakan bantahan terhadap pembikinan dan penayangan filem Innocence of Muslims.

Innocence of Muslims ialah judul sebuah filem anti-Islam yang telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia pada tahun 2012 apabila filem tersebut didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Filem arahan Sam Bacile itu disiarkan dalam laman YouTube menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, melakukan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem tersebut.

Seorang lelaki dari California, Amerika Syarikat, Nakoula Basseley Nakoula mengaku membekalkan logistik untuk produksi pembikinan filem tersebut.

-Kosmo!

Jumaat, 20 Disember 2013

Bujang Sebelak


Bujang Sebelak ialah nama gelaran kepada seekor buaya seberat 200 tan dan sepanjang lima meter yang telah mengganas dan mengorbankan tiga mangsa di sekitar Sungai Sebelak, Sarawak pada tahun 2012.

Antara mangsa yang menjadi korban Bujang Sebelak termasuklah isteri ketua rumah panjang Nanga Sungai Anak, Roban iaitu Siah Munsong.

Bujang Sebelak yang buta di sebelah mata kirinya dan menjadi buruan selama 14 hari akhirnya berjaya ditumpaskan oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong pada 2 Julai 2012 dengan menggunakan mantera dan umpan khas iaitu daging anjing putih.

-Kosmo!

Khamis, 19 Disember 2013

Oscar Niemeyer


Oscar Niemeyer ialah seorang arkitek tersohor warga Brazil.

Oscar Niemeyer atau nama sebenarnya Oscar de Almeida Soares dilahirkan pada 15 Disember 1907 di Rio de Janeiro, Brazil.

Beliau mempunyai enam orang adik beradik.

Beliau dianggap sebagai arkitek paling prolifik di dunia.

Gaya rekaannya dipengaruhi oleh dua orang idolanya iaitu Le Corbusier dan Lucio Costa.

Bangunan pejabat Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Brazil

Projek pertamanya ialah membina ibu pejabat Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Brazil.

Oscar Niemeyer pernah ditawarkan sebagai dekan di Universiti Harvard tetapi visanya ditolak oleh kerajaan Amerika Syarikat.

The Work of Oscar Niemeyer oleh Stamo Papadaki merupakan buku pertama mengenai Niemeyer diterbitkan pada tahun 1950.

Beliau kehilangan dua individu yang paling dikasihi iaitu isterinya Annita Baldo meninggal dunia pada 2004 dan anak perempuan tunggalnya, Anna Maria pada Jun 2012.

Beliau mempunyai empat orang cucu, tiga belas cicit serta enam orang piut.

Oscar Niemeyer berkahwin dengan setiausahanya Vera Lucia Cabreira ketika berusia 99 tahun.

Projek terakhir yang sempat disiapkannya ialah Administrative City di Belo Horizonte ketika berusia 102 tahun.

Memoirnya, The Curves of Time diterbitkan pada tahun 2001.

Antara pencapaian tertingginya ialah:
  • 1963: Lenin Peace Prize
  • 1988: Pritzker Prize
  • 1989: Prince of Asturias Awards
  • 1998: RIBA Royal Gold Medal
  • 2004: Praemium Imperiale

Oscar Niemeyer meninggal dunia pada 5 Disember 2012 sewaktu berusia 105 tahun.


Lima tapak teratas seni bina Oscar Niemeyer

Oscar Niemeyer telah mengabadikan selama 80 tahun usianya untuk melahirkan rekaan yang unik dan kreatif.

Bermula daripada pekerja bawahan, beliau terus gigih mengembangkan bakatnya sehingga digelar antara arkitek terhebat abad ke-20.

Biarpun beliau kini telah tiada, namun hasil kerjanya yang mengagumkan masih boleh dilihat sehingga kini.

Berikut merupakan senarai lima tapak yang wajib dilawati bagi mereka yang mahu melihat keistimewaan rekaan Niemeyer dengan lebih dekat.


Cathedral of Brasilia
Brasilia

Pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Brazil ini dibina pada tahun 1956 dan siap sepenuhnya empat tahun kemudian. Diiktiraf antara binaan terhebat pada abad ke-20, metropolis itu menempatkan beberapa rekaan seni bina Niemeyer seperti Alvorado Palace, Monumen Juscelino Kubitscheck dan Metropolitan Cathedral. Merupakan bandar keempat terbesar di Brazil, Brasilia dihuni kira-kira 2.6 juta penduduk pada tahun 2010. Selain menjadi bangunan-bangunan Kerajaan Persekutuan ia juga merupakan salah satu lokasi pelancongan terkenal di Brazil.


Museum Oscar Niemeyer

Curitiba

Terletak di wilayah bahagian selatan Brazil, Curitiba merupakan ibu negeri dan bandar terbesar Parana. Ia menempatkan Museum Oscar Niemeyer atau juga dikenali sebagai Eye Museum yang dibina oleh Niemeyer pada tahun 2002. Merupakan antara mercu tanda di Curitiba, ia terdiri daripada dua kompleks utama. Di samping menjadi simbol seni visual disebabkan reka bentuk dan keunikannya ia juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan lokasi pameran.


Bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

New York City

Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York City ini dibina pada tahun 1949 sebelum siap sepenuhnya tiga tahun kemudian. Berbanding konsep pertandingan, PBB Telah menubuhkan sebuah suruhanjaya kerjasama dalam kalangan pasukan multinasional yang disertai arkitek-arkitek terkemuka di seluruh dunia. Arkitek dari Amerika Syarikat, Wallace K. Harrison dipilih sebagai ketua arkitek dan mengetuai lembaga perunding reka bentuk yang diwakili oleh ND Bassov (Kesatuan Soviet), Gaston Brunfaut (Belgium), Ernest Cormier (Kanada), Le Corbusier (Perancis), Liang Seu-cheng (China), Sven Markelius (Sweden), Oscar Niemeyer (Brazil), Howard Robertson (United Kingdom), GA Soilleux (Australia) dan Julio Vilamajo (Uruguay). Daripada 50 rekaan yang dihantar, rekaan Niemeyer telah dipilih. Bagaimanapun dengan sedikit kontroversi dan sedikit pengubahsuaian, rekaan Niemeyer telah digabungkan dengan rekaan Le Corbusier seperti yang dilihat pada hari ini.


Museum of Contemporary Art (MAC)

Rio de Janeiro

Sebagai penduduk asal Rio de Janeiro, Niemeyer telah mereka cipta banyak bangunan di wilayah itu seperti juga di Brazil. Salah satunya binaan terkenal ialah Hotel Nacional dibina pada 1968. Tidak jauh dari situ iaitu di bandar Niteroi, terdapat dua rekaan utama Niemeyer. Pertama, Museum of Contemporary Art atau MAC yang dibuka pada tahun 1996. Terletak di atas tebing bukit berlatarbelakangkan Teluk Guanbura, MAC pantas mengundang perhatian lensa kamera kerana bentuknya yang unik seakan-akan piring terbang. Rekaan kedua Niemeyer pula ialah Centro Petrobras do Cinema iaitu sebuah muzium filem Brazil.


Copan Building

Sao Paulo

Bandar terbesar di Amerika Selatan itu merupakan contoh terbaik untuk melihat hasil rekaan Niemeyer. Antara yang paling menonjol ialah Copan Building, bangunan setinggi 38 tingkat menempatkan kawasan kediaman dibina pada tahun 1966 dan diiktiraf antara bangunan terbesar di Brazil. Di samping itu, pengunjung juga boleh melawat Latin American Memorial yang dibina pada tahun 1989. Ia merupakan kompleks kebudayaan dan lokasi acara yang menempatkan gerai jualan seni kraf tangan dan sebagainya yang berkaitan tradisi dan budaya masyarakat Latin.

Sumber: Artikel Reka 500 bangunan ikonik dunia susunan Ammar Jazlan Mad Lela, Kosmo! 28 Disember 2012.