Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 29 Mac 2013

Syabu

Nama saintifik bagi syabu ialah methamphetamine. Ia turut dikenali sebagai ice.

Syabu berbentuk ketulan kristal atau kaca pecah.

Ia diambil dengan cara dibakar dalam tiub kaca.

Syabu dijual pada harga RM300 hingga RM400 setiap gram.

Harga sekilogram syabu dianggarkan RM250,000 dan boleh dibekalkan kepada 1,000 penagih dadah.

Pengambilan syabu boleh menyebabkan mulut kering, peluh berlebihan, anak mata membesar, menggeletar, sakit kepala, sawan dan akhirnya membawa maut.

-Kosmo!

Khamis, 28 Mac 2013

George Soros


George Soros ialah bilionair terkenal dari Amerika Syarikat, dilahirkan pada 12 Ogos 1930 di Budapest, Hungary dan berketurunan Yahudi.

Dia berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1956 dan mendapat kerakyatan lima tahun kemudian serta terlibat dalam menguruskan dana pelaburan.

George Soros ialah ketua tabung kemanusiaan yang menghulurkan bantuan untuk pendidikan, kesihatan rakyat, sains dan kumpulan bukan kerajaan dan kebanyakan sumbangan itu dihulurkan di negara yang pernah mengamalkan fahaman komunis.

Dia menjadi terkenal di Asia selepas didakwa mendalangi serangan spekulatif mata wang pada tahun 1997 hingga 1998 yang menyebabkan mata wang beberapa buah negara merosot dengan teruk termasuk Malaysia.

George Soros pernah digelar sebagai penyangak mata wang oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

-Kosmo!

Rabu, 27 Mac 2013

Arowana

Arowana ialah sejenis ikan yang turut dikenali dengan nama kelisa, peyang, tangkelesa, kelesa, siluk dan kahyangan.

Ia juga terkenal dengan nama jolokan Dragon Fish dan Dragon Bonytongues kerana sisik dan sesungut besar menyerupai naga.

Ikan arowana ialah ikan hiasan eksotik bermutu tinggi.

Ia terbahagi kepada 10 spesies iaitu tiga dari Amerika Selatan, satu dari Afrika, empat dari Asia dan dua dari Australia.

Antara sebab ikan ini bernilai tinggi ialah kepercayaan masyarakat Cina bahawa ia boleh membawa tuah.

Arowana dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).

Ikan ini memakan serangga dan berupaya melompat setinggi 1.5 meter dari permukaan air untuk menangkap makanan.

-Kosmo!, www.arowana2u.com

Selasa, 26 Mac 2013

Barista

Di gerai makanan kecil, kopi biasanya dihasilkan menggunakan pembancuh kopi sahaja.

Barista selalunya merujuk kepada pembancuh kopi di kedai atau kafe besar kerana ia menggunakan mesin espresso komersial.

Tugas barista bukan mudah kerana ia bermula daripada mengisar biji kopi dan memampat serbuk ke dalam bekas.

Tekanan yang betul untuk memampat serbuk kopi akan menghasilkan rasa kopi yang terbaik.

Jika terlalu kuat kopi akan menjadi terlalu pahit, jika sebaliknya kopi menjadi cair.

Barista juga perlu memastikan suhu air yang digunakan tepat selain sukatan gula dan susu mengikut kehendak pelanggan.

Cara membuat dan menikmati yang betul termasuklah membiarkan air panas bersatu dengan serbuk kopi selama empat hingga lima minit air sebelum diminum.

Dalam tempoh tersebut campuran air dan serbuk kopi akan sebati. Seeloknya kopi yang telah dihasilkan haruslah dinikmati tidak melebihi 20 minit bagi memastikan rasanya sentiasa di tahap optimum.

-Kosmo!

Isnin, 25 Mac 2013

Larangan lawat Israel dalam pasport Malaysia

Jika diteliti pasport Malaysia pada muka surat satu, ia jelas menyatakan bahawa dokumen berwarna merah itu sah digunakan di semua negara kecuali Israel.

Ia bukan suatu larangan yang dikenakan tanpa sebab kerana menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, 51, pengecualian itu sebagai tanda Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel.

"Perkara tersebut dilakukan berikutan insiden rejim Israel merampas tanah Palestin pada tahun 1948.

"Ia menunjukkan Malaysia tidak mengadakan sebarang hubungan diplomasi dengan Israel," terang Mohamed Mustafa.

Mengulas mengenai ramai rakyat Malaysia yang melawat negara tersebut, Mohamed Mustafa berkata, risiko akibat tindakan itu perlu ditanggung individu terbabit.

Namun begitu, rakyat Malaysia masih boleh mendapatkan bantuan daripada kedutaan negara yang mempunyai hubungan dengan Israel seperti Mesir, Jordan dan Singapura.

Melalui kedutaan tersebut, bantuan daripada Malaysia turut boleh disampaikan.

Sebelum ini, kerajaan pernah mengenakan larangan kepada pemegang pasport Malaysia daripada melawat negara dari blok komunis seperti China, Cuba dan Vietnam.

Negara Kesatuan Soviet juga pernah tidak diiktiraf oleh Malaysia. Bagaimanapun, ia ditarik ketika zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

-Kosmo!

Sabtu, 23 Mac 2013

Earth Hour

Earth Hour dianjurkan oleh World Wildlife Fund (WWF) dan Sydney merupakan bandaraya pertama menjalankan sambutan ini pada tahun 2007.

Logo 60+ menandakan 60 minit waktu yang digunakan, simbol + ditambah pada tahun 2011 bagi mendorong orang ramai menyambut dalam tempoh yang lebih lama.

Program Earth Hour telah disertai oleh 135 buah negara pada tahun lepas dan dijangka meningkat pada tahun ini.

Kempen I Will If You Will sempena sambutan Earth Hour pada tahun 2012 telah membawa kepada kelulusan undang-undang di Rusia untuk melindungi perairannya daripada pencemaran minyak.

Hutan Earth Hour pertama dimulakan bersempena kempen I Will If You Will pada tahun ini (2013) di Uganda, sebagai langkah mengatasi masalah penebangan 6,000 hektar hutan pada setiap bulan di sana.

Jumaat, 22 Mac 2013

Projek empangan elektrik hidro Bakun

Empangan elektrik hidro Bakun terletak di Sungai Balui, Hulu Lembangan Sungai Rajang, Sarawak.

Ia merupakan empangan konkrit kedua terbesar di dunia.

Ia mempunyai ketinggian 270 meter dengan kawasan tadahan air hampir 70,000 hektar.

Kerja-kerja sivil utama dimulakan pada tahun 2002 oleh usaha sama Malaysia-China Hydro, diketuai oleh Sime Engineering Sdn. Bhd. melalui usaha sama dengan Sinohydro Corporation dari China.

Rakan-rakan konsortium lain ialah WCT Engineering Services Bhd, MTD Capital Bhd, Edward and Sons (EM) Sdn. Bhd.

Seramai lebih 3,000 tenaga kerja berada di lokasi pada puncak aktiviti pembinaan.

Empangan elektrik hidro Bakun akan menghasilkan 2,400 megawat (MW) tenaga elektrik bersih apabila semua turbin beroperasi yang dijangka pada 2013.

-Kosmo!, www.bakundam.com

Khamis, 21 Mac 2013

Planet Marikh

Planet Marikh kerap dirujuk sebagai planet merah, berada pada kedudukan keempat jauhnya dari matahari dan planet ketujub terbesar dalam sistem suria.

Ia mempunyai keluasan yang hampir sama dengan Bumi.

Jarak dari Bumi kira-kira 225 juta kilometer.

Marikh mempunyai gunungn tertinggi dalam sistem suria, Olympus Mons, yang setinggi 24 kilometer (78,000 kaki).

Purata suhu -55 darjah Celsius, suhu minimum -133 darjah Celsius manakala maksimum 27 darjah Celsius.

Mariner 3 dari Amerika Syarikat ialah kapal angkasa pertama mendekati Marikh pada tahun 1965.

-Kosmo!, nineplanets.org/mars

Rabu, 20 Mac 2013

Prethopalpus attenboroughi

Prethopalpus attenboroughi ialah nama spesies labah-labah baharu yang berukuran lebih satu milimeter.

Labah-labah itu menggunakan perkataan attenboroughi yang diambil daripada nama David Attenborough yang merupakan saintis Britain dan penyumbang suara program televisyen tentang haiwan dan alam semula jadi yang berusia 86 tahun.

Labah-labah tersebut hanya terdapat di Pulau Horn, Australia.

-Kosmo!, Agensi.

Isnin, 18 Mac 2013

Jahitan sulaman

Jahitan sulaman dijahit menggunakan tangan, mesin jahit atau mesin bordir komputer.

Terdapat sulaman jenis datar iaitu rata dengan permukaan kain.

Sulam terawang (kerawang): hasil sulaman berlubang-lubang misalnya untuk pinggiran kebaya.

Sulam timbul: hasil sulaman membentuk gelombang di permukaan kain sesuai lekuk gambar.

-Kosmo!

Selasa, 12 Mac 2013

Etnik Rohingya

Etnik Rohingya merupakan kumpulan etnik beragama Islam yang tinggal di utara negeri Rakhine yang terletak di barat Burma.

Mereka berketurunan pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Benggali.

Sejarah orang Rohingya di Myanmar bermula seawal kurun ke-7 bagaimanapun, negara tersebut tidak memberi pengiktirafan kerana mereka berketurunan Benggali yang memasuki negara itu ketika pemerintahan British pada kurun ke-19.

Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan terutamanya orang Benggali.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan terdapat seramai 800,000 orang etnik Rohingya di Myanmar.

Mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara.

-Kosmo!

Isnin, 11 Mac 2013

Petrila

Petrila ialah sebuah bandar yang terletak di Lembah Jiu, Hunedoara County di Romania.

Ia merupakan sebuah penempatan kuno, namun kewujudannya tidak didokumenkan sehingga tahun 1493 dalam surat derma antara Raja Vladislav I, Raja Hungary dan Putera Romania, Mihai Cande.

Bandar Petrila mendapat namanya pada tahun 1733 yang datang daripada perkataan Latin, Petrinus atau Pietros dalam bahasa Romania yang bermaksud batu.

Ia merujuk kepada deposit arang batu besar di kawasan yang menjadi eksport menguntungkan dalam Revolusi Perindustrian.

Operasi perlombongan di Petrila telah bermula pada tahun 1840 tetapi bandar tersebut masih tidak ramai penduduknya.

Ketibaan buruh paksa dari Moldovia yang dibawa bekas Presiden Romania, Nicolae Ceausescu di bawah pemerintahan komunis ketika itu telah meningkatkan populasi di sana.

Bagaimanapun, penyusunan semula ekonomi sejak tahun 1989 telah membawa kepada penurunan dalam pengeluaran dan pembekalan arang batu bagi rantau Eropah termasuk Petrila.

-Kosmo!

Jumaat, 8 Mac 2013

Ungka

Ungka merupakan haiwan primat daripada kategori kera.

Ia bertangan panjang dan tidak berekor.

Ungka bergerak di dalam hutan dan mampu melompat sejauh 10 meter dari dahan ke dahan.

Haiwan ini berjaga pada waktu pagi dan tidur pada waktu malam.

Ia mengeluarkan bunyi yang nyaring jika diancam dan melindungi jajahannya.

Ungka gemar makan buah-buahan masak, daun-daun muda, tunas dan serangga.

Ungka bunting selama tujuh bulan dan melahirkan anak setiap dua tahun.

Anak ungka disusui selama dua tahun dan matang pada usia lapan tahun.

Tempoh hayatnya ialah sekitar 25 tahun.

Salah satu spesies ungka yang paling terkenal ialah ungka tangan putih.

Ungka tangan putih sering ditemui di sekitar barat daya China dan timur Myanmar, Thailand, di sekitar barat laut Sumatera dan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ia mempuyai berat antara 4.5 hingga 6 kilogram.

Uniknya, ia mempunyai warna kulit berbeza-beza antara warna hitam, coklat tua atau coklat muda.

Spesies ungka tangan putih mudah dikenali melalui gegelung bulu putih pada sekeliling mukanya yang hitam, tapak tangan dan kakinya yang berwarna putih.

-Kosmo!

Rabu, 6 Mac 2013

Masjid-masjid di Timbuktu

Masjid Djinguereber

Masjid Djinguereber terletak di Timbuktu, Mali.

Ia dibangunkan pada zaman keemasan Timbuktu.

Ia dibina oleh Sultan Kankan Moussa selepas kepulangannya daripada membawa rombongan menunaikan haji di Mekah pada tahun 1325.

Di antara tahun 1570 hingga 1583, kadi Timbuktu, Imam al-Aqib telah mengubah suai dan membesarkan masjid tersebut yang kini mempunyai tiga ruang dalaman yang luas.

Masjid Sankore

Sebagaimana Masjid Djinguereber, Masjid Sankore juga telah dipulihara oleh al-Aqib pada tahun 1578 hingga 1582.

Dia merobohkan santuari sedia ada dan dibina semula mengikut saiz Kaabah di Mekah.

Kiraan saiz itu diambilnya dengan menggunakan tali ketika menunaikan haji.

Sementara itu, Masjid Sidi Yahia pula dibina sekitar tahun 1400 dan turut dipulihara oleh al-Aqib pada tahun 1577 hingga 1578.

Ia kini disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia yang menempatkan 16 tapak perkuburan dan makam.

sumber: Artikel Sisa Peradaban Timbuktu susunan Rosmalina Abd. Kadir, Kosmo! 20 Julai 2012.

Selasa, 5 Mac 2013

Mali

Mali atau Republik Mali merupakan negara daratan di barat Afrika. Ibu negaranya ialah Bamako.

Negara ini bersempadan dengan Algeria di utara, Niger di barat daya serta Senegal dan Mauritania di barat.

Saiznya cuma 1.24 juta kilometer persegi dengan populasi dianggarkan 14.5 juta orang.

Struktur ekonomi Mali berpusat sekitar sektor pertanian dan perikanan.

Beberapa sumber alam semula jadi Mali adalah emas, uranium, ternakan dan garam.

Separuh daripada populasi Mali hidup di bawah garisan kemiskinan antarabangsa iaitu AS$1.25 (RM3.95) sehari.

-Kosmo!

Isnin, 4 Mac 2013

Pesawat Nuri





Pesawat Nuri juga dikenali sebagai Sikorsky S-61A-4.


Ia merupakan pesawat buatan Amerika Syarikat.

Penerbangan sulung pesawat Nuri ialah pada 11 Mac 1959.

Nuri telah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia sejak 1968.

Nuri memiliki enjin berkembar dan pelbagai guna.

Pesawat Nuri pernah terlibat dalam kes kemalangan sejak tahun 1969.

-Kosmo!, Air-Britain, Utusan Online

Jumaat, 1 Mac 2013

Eurocopter EC725


Eurocopter EC725 juga dikenali sebagai Super Cougar buatan Perancis.

Penerbangan sulung Eurocopter EC725 ialah pada 27 November 2000.

Ia digunakan sebagai helikopter pengangkut jarak jauh untuk kegunaan ketenteraan.

Eurocopter EC725 menggunakan enjin pesawat udara berkembar dan mempunyai 28 tempat duduk berpasukan dengan dua anak kapal.

Eurocopter EC725 juga digunakan sebagai pengangkutan askar, tujuan bantuan kemalangan, menyelamat dan lain-lain.

-Kosmo!, Eurocopter Malaysia, Utusan Online.