Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 27 September 2013

Harimau akar


Nama saintifik bagi harimau akar ialah neofelis nebulosa.

Ia merupakan sejenis kucing besar.

Harimau akar mempunyai bulu yang berwaran kelabu dan kekuningan.

Ia biasa dijumpai di kaki bukit Himalaya melalui tanah besar Asia Tenggara hingga ke China.

Diklasifikasikan sebagai terancam pada 2008.

Jumlah populasinya dijangka kurang daripada 10,000 ekor yang matang dengan trend populasi semakin menurun.

Merupakan antara pemanjat pokok yang terbaik dalam kategori kucing.

Musim mengawan bagi harimau akar adalah antara Disember hingga Mac.

Harimau akar diancam kepupusan ekoran aktiviti pemburuan antaranya bagi tujuan perubatan tradisional.

- Kosmo!, www.defenders.org

Khamis, 26 September 2013

Ultras Malaya


Ultras Malaya ialah kumpulan besar penyokong tegar pasukan bolasepak Malaysia atau dikenali juga sebagai skuad Harimau Malaya.

Ultras Malaya ditubuhkan secara rasmi pada 2007 dengan sekelompok kecil peminat tegar bola sepak tempatan yang terus kukuh di belakang skuad bola sepak Malaysia.

Ultras Malaya dibentuk untuk Piala Asia 2007. Walaupun pasukan kebangsaan bermain agak buruk, Ultras Malaya masih terus memberikan sokongan.

Ultras Malaya juga merupakan kelab penyokong terbesar di Malaysia.

Kumpulan ini mudah dikenali dengan membentuk satu gabungan besar di balik ribuan penonton di stadium sambil menyanyikan lagu beriringan dengan alat muzik serta kain rentang gergasi.

Sepanjang adanya perlawanan antarabangsa membabitkan Malaysia, kelompok penyokong ini pasti akan muncul memberikan sokongan walaupun sesetengah perlawanan diadakan di luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.


Pada 2010, Ultras Malaya dianggap penyokong terbaik di Malaysia oleh FAM selepas Malaysia menang Piala AFF Suzuki 2010.

Tema hitam dan kuning adalah warna serasi menggambarkan perjuangan Ultras Malaya.

Ultras Malaya kini mempunyai lebih 10,000 ahli dan semakin meningkat.

Kumpulan penyokong lain berstatus negeri ialah Silver State Ultras (Perak FA), Ultras Kedah (Kedah FA), The Mania Merah (Kelantan FA), ultraSel (Selangor FA) dan Boys Selat (B.O.S) (Johor FA).

- BH

Rabu, 25 September 2013

Cili hantu paling pedas di dunia


Cili hantu atau dalam bahasa India dipanggil bhut jolokia ialah cili yang paling pedas di dunia.

Cili ini ditanam di Assam, India.

Ia mendapat lebih 1,000,000 mata pada skala Scoville yang mengukur tahap kepedasan cili.

Cili hantu telah digunakan secara meluas sebagai senjata oleh tentera India.

Pegawai Pertahanan India memberitahu, pihak tentera menggunakan cili hantu untuk menghasilkan gas pemedih mata dalam bentuk bom tangan bagi menumpaskan pengganas.

"Grenad cili hantu merupakan senjata tanpa toksik yang berkesan kerana aroma pedasnya mampu membuatkan pengganas tersedak sekali gus memaksa mereka keluar dari tempat persembunyian," kata Pengarah Jabatan Sains Hayat, Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India, R.B. Srivastava.

Cili juga menyebabkan tubuh pemakannya menjadi panas. Malah terdapat kes kematian disebabkan memakan cili dalam jumlah yang banyak.

Pada tahun 2008, seorang lelaki Britain, Andrew Lee, 33, menggunakan sebungkus cili merah yang ditanam sendiri untuk membuat sos yang paling pedas.

Pemandu trak itu kemudian mencabar abang teman wanitanya supaya memakan satu sudu besar cili manakala dia memakan satu pinggan cili yang sama.

Malangnya akibat perbuatan itu dia diserang sakit jantung sebelum mati.

Kosmo!, 9 Disember 2012

Selasa, 24 September 2013

Gaza, Palestin


Negara Palestin digelar Bumi Anbiya kerana ramai cendikiawan dan tokoh Islam yang lahir dan bersemadi di sini.

Antara tokoh Islam kelahiran Gaza ialah pengasas Mazhab Shafie iaitu Imam Shafie yang sudah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun.

Moyang Rasulullah SAW yang bernama Hashim Abdul Manaf turut disemadikan di bumi Gaza.

Bumi yang dianggap suci dan diberkati kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, sebuah masjid yang menjadi kiblat pertama dan masjid ketiga paling suci bagi orang Islam. Malah, siapa yang bersolat di masjid ini akan mendapat 500 kali ganda pahala.

Di bumi ini jugalah kejadian Isra' (perjalanan malam berlaku, iaitu Nabi Muhammad SAW melakukan pengembaraan malam yang penuh keajaiban ke langit).

- Kosmo!

Rabu, 11 September 2013

Kegemaran Adolf Hitler

Adolf Hitler bersama Menteri Luar Jepun, Yosuke Matsuoka

Dikenali sebagai antara pemimpin paling kejam dalam sejarah dunia namun seperti manusia lain beliau juga mempunyai beberapa kelemahan.

Hitler sememangnya bermula dari bawah sebelum menjulang nama dalam parti dan kemudiannya memimpin tenteranya dalam Perang Dunia Kedua.

Namun beberapa fakta menarik mengenai beliau menunjukkan sikap dan siapa dirinya yang sebenar.

Beliau ialah seorang yang langsung tidak menggemari sebarang sukan serta langsung tidak pernah bersenam melainkan berjalan kaki di sekitar rumah sekali-sekala.

'Senaman' yang paling biasa dilakukan adalah berjalan mundar-mandir dari penjuru ke penjuru biliknya terutama apabila berhadapan dengan masalah.

Satu perkara yang menarik mengenai Hitler adalah beliau begitu menggemari pertunjukan sarkas.

Hitler akan menjadi begitu teruja apabila melihat pertunjukan sarkas yang bahaya apa lagi jika melibatkan wanita seksi.

Malah dikatakan beliau akan menghantar bunga dan coklat mahal kepada ahli sarkas wanita selain meminta pegawainya membantu mereka dan ahli keluarga jika ditimpa sebarang masalah.

Hitler juga menggemari filem-filem negara lain yang diharamkan kepada penduduk negaranya dan ditonton di bilim peribadinya.

Beliau begitu menggemari filem-filem komedi Amerika Syarikat, lagu dan muzik yang dilantunkan oleh penyanyi berketurunan Gipsi selain gemar menonton berita terutama yang melibatkan dirinya.

Selain itu beliau mempunyai bakat melukis namun agak mengejutkan apabila dikatakan begitu gemar melukis watak-watak kartun Disney.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012

Selasa, 10 September 2013

Kim Jong-Il, Presiden yang cintakan bidang perfileman


Pemimpin Korea Utara ini sering sahaja menimbulkan kontroversi sepanjang pemerintahannya.

Walaupun kini anaknya, Kim Jong-Un mengambil alih pemerintahan negara komunis itu tetapi masih tiada sebarang perubahan yang dilakukan sebaliknya tidak ubah seperti mendiang bapanya.

Sikap pelik bapanya ketika memerintah masih lagi diperkatakan sehingga kini.

Jong-Il sering sahaja menjadi perhatian kerana sentiasa mengeluarkan kenyataan yang adakalanya tidak masuk akal. Antaranya beliau mendakwa ketika kelahirannya dua bentuk pelangi dan sebuah bintang baru terpancar dari angkasa.

Beliau juga mendakwa boleh mengawal cuaca, mendakwa bapanya masih lagi mengeluarkan arahan walaupun telah lama mati serta mendakwa beliaulah yang mencipta hamburger.

Malah apabila doktor menasihatkannya supaya berhenti merokok, Jong-Il turut mengheret rakyatnya supaya menghentikan tabiat itu. Beliau turut mengharamkan akhbar dan buku yang tidak sealiran dengan pendiriannya selain telefon bimbit dan internet.

Namun satu perkara yang senantiasa menjadi perhatian adalah bagaimana beliau menculik pengarah dan pelakon Korea Selatan, Shin Sang-ok untuk memenuhi hajatnya yang paling besar.

Sang-ok dan isterinya, pelakon filem Choi Eun-hee diculik pada 1978.


Beliau mengarahkan Sang-ok membikin semula filem Godzilla yang diberi tajuk Pulgasari selain beberapa filem propaganda lain. Jong-Il turut merancang untuk memasarkan filem tersebut ke pasaran antarabangsa.

Beliau juga meminta Sang-ok berunding dengan penerbit luar di Vienna, namun peluang itu digunakan pengarah terbabit untuk melarikan diri bersama isterinya ke kedutaan Amerika Syarikat.

Filem Pulgasari diharamkan daripada tayangan di luar negara namun setelah sekian lama diperam akhirnya ditayangkan di Seoul pada 1998 dan menerima sambutan memberangsangkan.

Difahamkan Jong-Il sememangnya mencintai bidang perfileman dan mempunyai koleksi filem melebihi 20,000 judul. Malah beliau pernah menulis buku mengenai filem bertajuk, On the Art of Cinema yang kemudiannya menjadi panduan untuk pengarah filem negara itu.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Isnin, 9 September 2013

Sarah Palin, calon Naib Presiden Amerika Syarikat yang jelita


Beliau menempa kemasyhuran apabila dinamakan sebagai calon Naib Presiden bersama calon Presiden John McCain untuk Parti Republikan pada Pilihan Raya Presiden 2008.

Popularitinya begitu mendadak sehinggakan pada peringkat awal dikatakan mampu memberi saingan sengit untuk menewaskan pesaingnya gandingan Presiden Barrack Obama dan Naib Presiden, Joe Biden.

Apatah lagi dengan keputusan yang tidak disangka apabila calon wanita muda dipilih sebagai calon Naib Presiden oleh Parti Republikan yang terkenal dengan sisi konservatif, pada awalnya ramai menyangka golongan wanita akan memberi undi kepadanya.

Namun segalanya terbongkar apabila calon ini sebenarnya tidaklah begitu menyinar seperti diharapkan.

Pada peringkat awalnya beliau begitu mencuri tumpuan ketika memberi ucapan dan berkempen. Namun apabila disoal oleh para pemberita dan beberapa pengacara televisyen, terdedah bahawa beliau langsung tidak mengetahui tentang isu semasa dan dasar luar negara.

Terdedah juga bahawa beliau begitu dangkal dalam isu ekonomi walhal isu itu begitu penting bagi seorang calon pemimpin sepertinya apatah lagi Amerika Syarikat ketika itu sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang terburuk dalam sejarahnya.

Tidak boleh dibayangkan seorang yang bertanding jawatan kedua tertinggi di negara kuasa besar itu tidak memahami soal ekonomi dan dasar luar yang begitu penting dan mempunyai impak besar kepada dunia.

Walaupun Palin dengan lantang menyatakan sokongan kepada Israel - sesuai pendirian Amerika Syarikat - namun beliau langsung tidak mengetahui kewujudan Parti Hamas dan peranan negara itu di Genting Gaza.

Hakikatnya, bekas Gabenor Alaska yang juga ibu kepada lima anak ini belum bersedia untuk memegang jawatan setinggi itu.

Hanya kerana beberapa anggota kempen Presiden McCain kagum dengan kepetahan serta penampilannya, mereka terlupa untuk menguji pengetahuan beliau dalam perkara yang lebih penting.

Ternyatan pemilihan Palin telah memberikan imej yang terlalu buruk kepada Parti Republikan apatah lagi dengan segala keburukan yang telah dilakukan oleh bekas Presiden George W. Bush terutama dalam perang di Iraq dan Afghanistan.

sumber: Artikel Gelagat Kaya dan Miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Jumaat, 6 September 2013

Jose Mujica, presiden paling miskin di dunia


Namanya mungkin kurang dikenali namun hakikatnya beliau ialah Presiden paling miskin di dunia ketika masih memegang jawatan tersebut.

Lari daripada kebiasaan kehidupan mewah golongan kenamaan, Presiden Uruguay ini memilih untuk hidup sederhana di sebuah rumah ladang malah mendermakan 90 peratus gajinya untuk orang yang lebih memerlukan.

Rumahnya dikelilingi tanaman jagung dan bunga yang diusahakan sendiri, hanya terdapat dua orang polis yang menjaga keselamatannya selain seekor anjing peliharaan yang diberi nama Manuela.

Bekalan air diperolehi dari telaga di belakang rumah dengan kain baju tersidai di ampaian menjadi pemandangan biasa di belakang rumahnya.

Gaji Mujica kira-kira RM40,000 namun hanya RM2,500 yang ditinggalkan untuknya. Selebihnya didermakan kepada orang miskin dan golongan usahawan kecil.

Aset yang diisytiharkan hanyalah sekitar RM675,000 termasuklah rumah dan tanah ladang, traktor dan sebuah kereta buruk Volkswagen Beetle keluaran 1967.

Mujica yang dilantik sebagai Presiden Uruguay pada 2009 kini menjadi sumber inspirasi bukan sahaja oleh rakyatnya bahkan masyarakat dunia yang begitu mengaguminya.

Namun kehidupan sederhana bukanlah asing bagi yang sebenarnya sudah terbiasa dengan corak hidup sedemikian sejak muda.

Beliau menganggotai kumpulan gerila Tupamaros yang dibayangi gerila Cuba. Mujica pernah dipenjara selama 16 tahun sebelum dibebaskan pada 1986.

Dikatakan beliau pernah ditembak sebanyak enam kali tetapi terselamat.

"Saya digelar sebagai Presiden paling miskin di dunia namun saya langsung tidak berasa miskin. Orang miskin ialah mereka yang berusaha untuk memenuhi kehendak hidup mereka yang serba mewah dan akhirnya sentiasa mahukan lebih dan lebih lagi," ujar Mujica dan kata-kata itu jugalah yang menjadi falsafah hidupnya.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Khamis, 5 September 2013

James Buchanan, Presiden Amerika Syarikat Terburuk


Presiden Amerika Syarikat yang ke-15 ini diingati di negaranya sendiri sebagai antara presiden terburuk.

Ini kerana beliau telah membuat kesalahan besar tidak menghapuskan masalah perhambaan pada zamannya walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian berikutan sokongan ramai iaitu dengan mengubah perlembagaan.

Malah, sebelum menjadi presiden lagi, Buchanan telah bersekongkol dalam agenda memperluaskan perhambaan di negeri-negeri Amerika Syarikat terutama di bahagian barat.

Malah beliau juga dilihat lemah kerana gagal menahan keinginan beberapa negeri yang mahu keluar dari kesatuan.

Lebih memburukkan keadaan, presiden selama sepenggal (1857 - 1861) ini dikatakan seorang homoseksual. Sangkaan itu ekoran beliau satu-satunya presiden yang tidak pernah berkahwin malah pernah tinggal serumah bersama 'kawan rapatnya' Senator Alabama, William R. King.

King pernah menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat pada 1853 namun hanya memegang jawatan tersebut tidak sampai 50 hari kerana mati akibat penyakit tibi.

Perdebatan mengenai perkara ini masih diperkatakan namun ramai warga Amerika Syarikat sendiri melihat Buchanan sebagai antara atau mungkin yang paling teruk pernah menjadi presiden di negara itu.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012

Rabu, 4 September 2013

Sulfur


Sulfur atau belerang dalam bentuk aslinya adalah sejenis hablur pepejal yang berwarna kuning.

Dalam alam semula jadi, ia dijumpai dalam bentuk unsur tulen, mineral sulfida atau sulfat.

Ia merupakan unsur penting untuk kehidupan dan didapati dalam dua asid amino.

Sulfur adalah antara unsur yang berkepentingan tinggi sebagai bahan mentah perindustrian dan merupakan kepentingan utama dalam setiap sektor ekonomi dunia.

Sulfur digunakan dalam bateri, bahan pencuci, pemvulkanan getah, racun kulat dan dalam pembuatan baja fosfat.

Unsur sulfur boleh didapati berdekatan mata air panas dan kawasan gunung berapi di kebanyakan bahagian dunia, terutamanya di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

Sulfur juga boleh didapati berdekatan dengan kawah-kawah gunung berapi.

-Kosmo!