Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 16 Julai 2014

Serangan terhadap Gaza pada 8 Julai 2014


Gaza merupakan bandar terbesar di Palestin.

Populasi penduduk di Gaza seramai 450,000 orang (2013, kemungkinan berkurangan akibat daripada serangan Israel pada bulan Ramadan bersamaan bulan Julai 2014).

Sumber utama ekonomi penduduk Gaza berpunca daripada industri kecil seperti pertanian dan kerja buruh.

Pada tahun 1967 Gaza telah diserang tentera Israel pada peristiwa Perang Enam Hari.

Pada tahun 1993 Gaza berada di bawah pimpinan Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin.

Pada tahun 2006 telah berlaku konflik bersenjata antara puak politik Fatah dan Hamas yang akhirnya dimenangi oleh Hamas.

Pada 8 Julai 2014 Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza yang berpunca dengan penculikan dan pembunuhan tiga pemuda Israel yang didakwa dilakukan oleh anggota Hamas beberapa hari sebelumnya.

Sebagai balasan, ratusan anggota Hamas ditangkap di Tebing Barat dan seorang remaja Palestin berusia 16 tahun bernama Mohammed Abu Khdeir telah diculik dan dibunuh.

Pembunuhan remaja tersebut telah mencetuskan kemarahan masyarakat Palestin dan menyebabkan serangan roket dilancarkan oleh pejuang-pejuang Hamas.

Satu gencatan senjata telah diadakan pada 4 Julai 2014 dan pihak Palestin bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata ini jika pihak Israel juga menghentikan serangan udaranya terhadap Gaza.

Bagaimanapun, tentera Israel meneruskan serangan udara terhadap Gaza pada 5 dan 6 Julai yang telah mengorbankan 9 rakyat Palestin.

Pada 8 Julai 2014 pejuang-pejuang Palestin telah bertindak balas dengan melancarkan serangan roket terhadap Israel dan Israel telah melancarkan serangan balas bertubi-tubi kononnya untuk mempertahankan diri dengan operasi yang dikenali sebagai Operation Protective Edge.

- Kosmo!, wikipedia

Jumaat, 4 Julai 2014

Ikan Kelah Merah


Antara spesies ikan hiasan termahal dan popular.

Harganya berbeza mengikut saiz.

Ikan kelah merah hidup di sungai dan tasik.

Ikan kelah merah merupakan spesies ikan lasak dan lincah berenang.

Banyak terdapat di negara Asia seperti India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

- BH

Khamis, 3 Julai 2014

Tasik Timah Tasoh


Tasik Timah Tasoh ialah nama yang tidak asing lagi bagi penduduk Perlis.

Ia bukan sahaja nadi pertanian di utara Semenanjung Malaysia, bahkan empangan saliran terbesar itu merupakan lokasi percutian pelancong yang cintakan alam semula jadi.

Tasik tersebut pada asalnya merupakan pertemuan dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Ia juga merupakan lokasi sebuah kampung iaitu Tasoh yang telah ditenggelamkan bagi mewujudkan empangan tersebut.

Turut ditenggelamkan bersama kampung itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan.

Selain nostalgianya yang semakin luput daripada ingatan penduduk setempat, kampung tersebut terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air bagi menyediakan bekalan air domestik dan perindustrian.

Selain itu, ia bagi memenuhi keperluan untuk mengairi 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

sumber: Artikel Panorama Tasik Timah Tasoh oleh Noraidah Abd Karim, Kosmo! 20 Jun 2013.

Rabu, 2 Julai 2014

Masyarakat Sidi


Masyarakat Sidi ialah keturunan pendatang dari Afrika yang berhijrah ke India pada abad kesembilan.

Masyarakat Sidi hidup dalam kemiskinan di India bagaimanapun masih berpegang teguh dengan budaya yang dibawa dari negara asal.

Dianggarkan kira-kira 60,000 hingga 70,000 daripada 1.2 juta masyarakat Sidi dari Afrika Timur berhijrah ke India.

Masyarakat Sidi kurang senang dengan kunjungan orang asing dan tidak menggalakkan perkahwinan campur.

Masyarakat Sidi dibawa oleh tentera Portugis dan orang Arab ke India.

Mereka tinggal di kawasan kampung dan bandar di pantai barat India dan ada dalam kalangan mereka tinggal bertebaran di negara itu.

Kebanyakan mereka berhijrah bukanlah untuk menjadi buruh tetapi bekerja sebagai askar.

Sesetengah adat masyarakat Sidi telah hilang manakala selebihnya seperti muzik, tarian dan penggunaan perkataan Swahili dalam dialek pertuturan Gujarati masih diamalkan oleh masyarakat Sidi.

Masyarakat Sidi Muslim masih mengamalkan ritual dan upacara melibatkan gendang dan tarian.

Ia dipanggil goma dalam bahasa Swahili yang bermaksud gendang, lagu dan tarian.

Antara keturunan Sidi yang terkenal di peringkat antarabangsa ialah pemain bolasepak India iaitu Juje Jackie Harnodkar.

sumber: Artikel Keturunan hamba Afrika di India, Kosmo! 20 Jun 2013


Jumaat, 27 Jun 2014

Bendalu


Bendalu atau benalu ialah tumbuhan yang menumpang dan memperoleh makanan daripada tumbuhan yang ditumpangnya.

Ia digolongkan dalam spesies mistletoe atau mistletoe eropaatau iaitu sejenis hemiparasit semak.

Beberapa penelitian dan fakta membuktikan bendalu memberi kesan positif terhadap kanser.

Di Jerman misalnya, pesakit kanser diubati dengan memberikan ubat tradisional berupa ekstrak bendalu yang dipercayai mampu menghalang dan memusnahkan sel tumor sekali gus meningkatkan kekebalan tubuh.

Bagaimanapun, tumbuhan bendalu hanya ditemui di tempat bertmusim dingin.

Keberkesanan bendalu merawat kanser ditemui sekitar 1920.

Jerman meneruskan kajian dan akhirnya bendalu dijadikan ubat sokongan kepada pesakit kanser.

Sehingga hari ini, para onkologi menggunakannya sebagai ubat utama dalam penyembuhan kanser.

Hasil penyelidikan mendedahkan bendalu memiliki zat lektin atau dikenali sebagai mistellektin.

Di Jerman, penggunaan mistellektin diterapkan dalam rawatan terapi kanser.

Malah, menurut statistik, pesakit yang diubati menggunakan mistellektin secara umumnya menunjukkan kualiti hidup semakin baik.

Bagi mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, pemberian mistellektin mengurangkan kesan akibat rawatan itu seperti rasa mual, keguguran rambut, pening dan kehilangan nafsu makan.

Di Asia Tenggara, catatan pengkaji botani menunjukkan bendalu digunakan di Pulau Jawa sejak tahun 1968.

Ia digunakan sebagai ubat tradisional bagi merawat penyakit cacar air dan lembu, cirit-birit, ubat untuk cacing kait pada anjing, tumor dan kanser.

sumber: Artikel Kuasa perubatan dalam tumbuhan oleh Hemawathi Ramaya, Nathiya Loganathan dan Harpreet Kaur Pagneek Singh, Kosmo! 21 Jun 2013.

Khamis, 26 Jun 2014

Mengkudu


Buah mengkudu dikenali juga sebagai buah noni.

Selain dijadikan jus, daun dan pulpa mengkudu didapati mempunyai pelbagai manfaat penyembuhan.

Antaranya, mengatasi masalah darah tinggi, demam, rasa nyeri dan jangkitan.

Buah mengkudu merupakan sumber utama vitamin C, A, B kompleks, kalsium, sulfur, kalium, fosfor serta asid amino seperti fenilalanin dan tirosin.

Kebiasaannya, mengkudu digunakan sebagai sgen antiinflamasi bagi mengurangkan rasa sakit berkait dengan penyakit artritis dan ketidakselesaan sendi.

Mengkudu merupakan pelindung terbaik untuk ginjal, hati dan perut.

Ia membantu menyeimbangkan kandungan alkalin dalam tubuh.

Mengkudu juga membantu pankreas mengatur dan menstabilkan kadar gula dalam darah.

Ia bermanfaat bagi mereka yang menderita diabetes mahupun hipoglisemia.

Pengambilan jus mengkudu terbukti melindungi perkembangan sel kanser kerana ia bersifat antitumor di samping berkemampuan mencegah luka dalam usus, menurunkan kandungan asid di dalam perut dan meningkatkan lendir yang melindungi lapisan perut.

Sumber: Artikel Kuasa perubatan dalam tumbuhan oleh Hemawathi Ramaya, Nathiya Loganathan dan Harpreet Kaur Pagneek Singh, Kosmo! 21 Jun 2013.

Rabu, 25 Jun 2014

Bunga lawang


Bunga lawang dikenali juga sebagai buah pekak atau kembang lawang.

Ia merupakan sejenis rempah yang memiliki rasa seakan-akan jintan manis.

Biasanya bunga lawang ini dijadikan rempah penyedap makanan.

Bunga lawang banyak ditemui dalam masakan kaum India, Thailand, Vietnam dan Indonesia seperti kari atau sebagai penyedap rasa makanan.

Di Indonesia khususnya, rempah ini digunakan di beberapa daerah yang memiliki ciri khas masakan berperisa rempah yang kaya.

Antaranya ialah gulai Aceh, rendang Padang, masakan Jawa dan Bali.

Selain memberi rasa kepada makanan, bunga lawang mempunyai kesan perubatan yang sangat mujarab.

Secara amnya, bunga lawang dikenali sebagai agen penyembuh jangkitan respirasi dan radang, selsema (influenza), selsema babi dan burung.

Selain itu ia juga boleh dijadikan penawar kepada gangguan pencernaan, perut kembung, kehilangan nafsu makan, kolik bayi, batuk dan bronkitis.

Bunga lawang juga digunakan secara oral untuk meningkatkan penghasilan susu ibu, kesakitan haid, memudahkan kelahiran bayi, meningkatkan libido dan menangani gejala klimakterik lelaki.

Dalam industri pembuatan, minyak bunga lawang digunakan sebagai komponen utama dalam aroma sabun, kosmetik, pewangi dan ubat gigi.

Bunga lawang juga digunakan secara meluas dalam industri farmasi bagi mengawal bau ubat-ubatan.

sumber: Artikel Kuasa perubatan dalam tumbuhan oleh Hemawathi Ramaya, Nathiya Loganathan dan Harpreet Kaur Pagneek Singh, Kosmo! 21 Jun 2013

Selasa, 24 Jun 2014

Denmark

Copenhagen skyline.jpg
"Pemandangan Copenhagen (Copenhagen Skyline)" oleh Ibrahim50, Licensed under CC BY-SA 3.0 via Wikimedia Commons.

Kerajaan Denmark merupakan sebuah negara di rantau Scandinavia yang terletak di Eropah Utara.

Ia memiliki pengawalan autonomi di dua buah negara di utara Lautan Atlantik, Faroe dan Greenland.

Denmark mempunyai populasi penduduk melebihi 5.58 bilion (2013).

Ibu negara Denmark ialah Copenhagen.

Negara ini terdiri daripada kawasan semenanjung Jutland dan kepulauan Denmark (407 buah pulau).

Ia berjiran dengan Sweden di barat daya, Norway dan Jerman di selatan.

Bahasa rasmi Denmark ialah Danish.

Denmark merupakan negara pemerintahan beraja.

- Kosmo!

Isnin, 23 Jun 2014

Jerebu


Jerebu adalah partikel halus seperti debu, asap dan bahan pencemar lain yang terapung di udara.

Jerebu boleh menjejaskan jarak pandangan dan menjejaskan kesihatan.

Jerebu berpunca daripada pembakaran terbuka, asap kilang dan asap kenderaan.

Tanda-tanda dan gejala jerebu adalah seperti gatal kerongkong, batuk, sesak nafas, mata pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin, kulit gatal dan sakit dada.

Pesakit batuk, selsema, asma, mata, jantung atau paru-paru kronik hendaklah segera ke klinik jika keadaan menjadi bertambah buruk.

Golongan berisiko tinggi perlu mengambil ubat seperti nasihat doktor.

Golongan ini juga dinasihatkan agar memakai penutup hidung dan mulut bagi aktiviti luar.

Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan saudara berpenyakit berkaitan pernafasan tidak digalakkan untuk merokok berhampiran mereka ini kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Kurangkan aktiviti di luar rumah ketika cuaca berjerubu.

Kerap basuh muka dan kulit serta minum banyak air.

Elakkan pembakaran terbuka.

- BH

Isnin, 16 Jun 2014

Kuil Ise Grand Shrine


Kuil Ise Grand Shrine di Jepun berusia beratus-ratus tahun.

Kuil itu didakwa menyimpan beberapa dokumen sulit mengenai negara itu.

Ia dirobohkan setiap 20 tahun sekali sebelum dibina semula.

Tempat itu merupakan kawasan larangan untuk orang awam kecuali mereka yang pernah menjadi pemimpin atau maharaja Jepun.

- Kosmo!

Jumaat, 13 Jun 2014

Kelab White


Kelab White di London, England mula dibina pada tahun 1963 oleh Francesco Bianco, kelab itu diasaskan untuk pencinta minuman coklat panas.

Namun, ia kemudian menjadi tempat eksklusif dan terkenal dengan permainan judinya yang aneh, seperti ahlinya yang bertaruh sebanyak RM9,000 hanya untuk meneka titisan pertama air hujan.

Mereka yang ingin mendaftar keahliannya hanya akan diterima sekiranya dipersetujui oleh dua anggota yang lain.

Malah, kelab itu tidak menerima wanita untuk menjadi ahli.

- Kosmo!

Khamis, 12 Jun 2014

Club 33


Taman Tema Disneyland dikenali sebagai hab hiburan untuk kanak-kanak mahupun dewasa.

Tahukah anda bahawa Disneyland mempunyai sebuah kelab khas iaitu Club 33?

Kelab itu cukup eksklusif sehingga ahli-ahlinya dikenakan yuran tahunan sehingga mencecah RM40,000.

Tidak semua orang boleh diterima untuk menjadi ahli walaupun si pemohon mempunyai banyak wang kerana proses permohonannya sebelum diluluskan boleh mengambil masa sehingga 10 tahun.

Bayaran yuran keahliannya pula melebihi RM100,000.

"Saya menggemari kelab itu walaupun terpaksa menunggu sehingga 10 tahun sebelum diterima menjadi ahli," kata seorang ahli Club 33 yang bernama Michael.

Selain itu, identiti beberapa orang ahli kelab tersebut juga tidak didedahkan.

Kira-kira 800 individu yang masih dalam senarai menunggu untuk menjadi ahli kelab tersebut.

Selebriti Hollywood yang dikatakan menjadi ahli kelab itu ialah Tom Hanks, Michael Jackson, Christina Aguilera dan Elton John.

- Kosmo!

Rabu, 11 Jun 2014

Mezhgorye

Papan tanda kota Mezhgorye di Russia

Mezhgorye merupakan sebuah kota tertutup di Rusia yang terletak di Gunung Yamantaw didirikan pada tahun 1979 pada ketinggian 1,640 meter.

Bandar itu pernah didakwa Amerika Syarikat sebagai lokasi pembuatan senjata nuklear sehingga ia diawasi oleh satelit pada tahun 1990.

Namun, bekas negara komunis itu mendakwa Mezhgorye sebuah bandar khusus untuk aktiviti perlombongan.

Dahulunya, ia dikenali dengan nama pelik iaitu Ufa-105 dan Belorefsk-16.

Selain itu, terdapat laluan keretapi bawah tanah iaitu Moscow Metro-2.

Moscow Metro-2 merupakan sistem pengangkutan bawah tanah terbesar di dunia yang dibina semasa era pemerintahan pemimpin komunis terkenal, Joseph Stalin.

Kewujudan kota itu dirahsiakan kerana untuk memasukinya boleh menyebabkan seseorang ditahan pihak polis.

Namun, peneroka terowong bawah tanah yang dikenali dengan panggilan Eugin telah beberapa kali menceroboh tempat itu.

Katanya, tempat itu merupakan kawasan laluan kereta api bawah tanah yang mungkin digunakan untuk mengangkut trak dan kereta kebal tentera pada era Perang Dunia Kedua.

"Namun, lokasi itu kini turut digunakan oleh atlet sukan ekstrem lelaki atau perempuan untuk menguji tahap kecergasan mereka.

"Laluan kereta api itu tidak lagi digunakan sekarang," ujarnya.

- Kosmo!

Selasa, 10 Jun 2014

Setenil de las Bodegas


Setenil de las Bodegas terletak di negara Sepanyol.

Bandar tersebut kelihatan seperti bandar yang telah dilanggar oleh meteor besar.


Tanggapan itu boleh dibuat kerana kira-kira 3,000 orang (2013) di Setenil de las Bodegas tinggal di bawah bongkah batu.

Luas bandar itu ialah 82 kilometer persegi dan terletak di wilayah Cadiz, timur laut Sepanyol.

Bandar itu dibina sepanjang jurang yang terbentuk akibat hakisan air Sungai Trejo Rio.

- Kosmo!

Isnin, 9 Jun 2014

Muzium Bola Sepak Selangor

Muzium ini adalah hasil cetusan idea Sultan Selangor sendiri.

Pada awalnya, bangunan yang menjadi muzium adalah tempat istirehat baginda Allahyarham Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Dimulakan pada tahun 2012 dan koleksinya terus ditambah sehingga kini.

Trofi Piala Sultan Selangor turut berada di muzium ini.

Selain gambar milik Sultan Selangor dan media, kelengkapan, jersi, bola dan piala yang digunakan turut dipertontonkan.

Tuanku menjadi pemangkin kepada penubuhan kelab peminat bola sepak di Malaysia dimulakan dengan kelab peminat Selangor.

Bagi Tuanku, semua koleksi yang dipamerkan di muzium ini amat berharga begitupun, antara yang paling istimewa adalah jersi legenda Allahyarham Mokhtar Dahari dan bola yang digunakan ketika menjuarai Piala Malaysia pada 1986,

Lokasi Muzium Bola Sepak Selangor adalah di perkarangan Istana Alam Shah Klang.

- BH

Selasa, 3 Jun 2014

Jutawan rambut Vietnam


Seorang penduduk kampung di Binh An, Vietnam, Do Van Thu (gambar) menjadi jutawan selepas dia menjalankan bisnes rambut manusia.

Kejayaannya itu telah mendapat liputan berita agensi berita AFP pada tahun 2012.

Menurut Thu, dia memperoleh bekalan rambut palsu itu daripada penduduk tempatan.

Lelaki tersebut menyatakan sebahagian penduduk tempatan menjual rambut mereka kepadanya.

Dia mempunyai bengkel yang menyimpan dan membersihkan rambut yang dibelinya daripada orang ramai.

Bengkel itu diusahakan oleh keluarganya.

Bekalan rambut itu turut diperoleh dari Laos dan Kemboja,

Pada setiap tahun, dia mengeksport 50 hingga 60 tan rambut ke China.

Thu memberitahu, pekerjanya memperoleh pendapatan sebanyak AS$140 (RM448.49) sebulan.

Angka sebanyak itu adalah tiga kali ganda daripada purata pendapatan penduduk luar bandar di Vietnam.

Menurut seorang penduduk Kampung Binh An, Nguyen Van Tam, harga rambut itu boleh mencecah sehingga AS$250 (RM800.87) bagi setiap satu kilogram.

Thu dianggap wira kerana dia menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di kampungnya.

- Kosmo!

Isnin, 2 Jun 2014

Pasar Payang


Pasar Payang terletak di negeri Terengganu.

Payang menurut Kamus Dewan edisi keempat bermaksud sejenis perahu nelayan bagi menarik pukat.

Nama Pasar Payang dikhabarkan diambil daripada perahu payang yang dahulunya menjadi medium jual beli barangan harian di tepi Laut China Selatan (tapak Pasar Payang sekarang).

Merangkumi kompleks pasar dua tingkat, bahagian bawah pasar menempatkan barangan basah manakala tingkat atas pasar memuatkan lot kedai bagi barangan kraf tangan, kain dan perkakas dapur.

- Kosmo!

Rabu, 28 Mei 2014

Al-Quran Braille di Malaysia


Tidak diketahui bilakah orang Islam mula menggunakan al-Quran Braille.

Namun menurut kajian, dipercayai sekitar awal 1950-an.

Antara negara Islam yang terawal menghasil dan menggunakan al-Quran Braille adalah Jordan (sekitar 1952), Mesir (awal 1960-an), Tunisia (1976) dan diikuti banyak negara lain termasuk Arab Saudi, Indonesia, Maghribi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Uzbekistan, Nigeria, Pakistan dan Iran.

Di Masjidil Haram, al-Quran Braille disediakan kepada jemaah haji yang cacat penglihatan sejak 2004 lagi.

Kini, al-Quran Braille juga terdapat di banyak negara, khususnya di masjid dan madrasah di negara-negara bukan Islam termasuk Amerika Syarikat dan Britain, yang disedekahkan oleh pihak yang prihatin.

Al-Quran Braille pertama di Malaysia ialah pada 1952.

Ia dibawa masuk dari Jordan, mempunyai 30 juzuk dan dibahagi kepada 6 jilid.

Usaha pertama dibuat oleh seorang guru di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru yang mempelajari al-Quran Braille walaupun dia tidak buta.

Akhirnya, guru itu, Ustaz Sulaiman Shafie, menguasai kod dalam al-Quran Braille dan mampu mengajar pelajarnya sehingga tahun 1991.

Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) telah melancarkan Projek Quran Braille pada 1979 dengan dibiayai oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Projek ini mengambil masa 5 tahun antara tahun 1980 dan 1985.

Akhirnya, dua salinan master telah dihasilkan, satu dalam Bahasa Arab dan satu lagi terjemahan dalam Bahasa Melayu.

Pada 1983, Kementerian Pelajaran menubuhkan Jawatankuasa Kod Braille al-Quran al-Karim, dianggotai lebih 20 pakar pelbagai bidang berkaitan, bertujuan mencadangkan kepada kerajaan satu kod yang selaras dan sistematik bagi menghasil dan mempelajari al-Quran Braille di Malaysia.

Jawatankuasa ini mengambil masa 15 tahun untuk menyempurnakan tugasnya.

Akhirnya, Kod Braille Wasilah Bacaan al-Quran terhasil dan dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1998.

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), NGO Islam yang aktif menghasil dan mengajar al-Quran Braille kepada umat Islam, selain ahli-ahlinya sekitar 1,000 orang.

- BH

Isnin, 26 Mei 2014

Mitos mengenai mutiara


Tamadun awal China percaya mutiara hitam adalah simbol kebebasan dan ia boleh didapati di dalam otak naga.

Masyarakat lama Mesir menghargai mutiara. Apabila meninggal mutiara akan dikebumikan bersama-sama.

Masyarakat Greece percaya mutiara terbentuk apabila hujan menimpa tiram dan mutiara juga adalah lambang kasih sayang dan perkahwinan.

Dengan memakai perhiasan mutiara, mereka boleh mengetahui status individu dan akan melindungi wanita yang baru berkahwin daripada sebarang kejadian yang boleh menyebabkan mereka menitiskan air mata.

- BH

Jumaat, 23 Mei 2014

Dua kaedah pembenihan awan


Kaedah semburan air garam

Proses pembenihan awan melalui kaedah bancuhan air garam yang disembur di ruang udara ataupun awan mengambil masa lima hingga 30 minit bagi menghasilkan hujan.

1,000 liter air akan dibancuh dengan 150 kilogram garam dan akan diterbangkan menggunakan pesawat ke ruang udara dan disembur ke dalam awan Kumulus bagi menghasilkan hujan.

Larutan garam digunakan kerana sifatnya yang mampu menarik molekul air dalam udara yang kemudian jatuh ke bumi sebagai hujan.


Kaedah flare

Ketulan garam berbentuk silinder mempunyai sumbu seperti lilin dipasang pada sayap pesawat.

Sejurus sebelum pesawat berlepas, sumbu pada silinder garam itu dibakar dan pesawat terus menuju ke ruang udara yang terbabit dengan operasi pembenihan awan, manakala serbuk garam dari silinder itu akan dibebaskan ke udara.

Proses pembenihan awan secara flare biasanya dilakukan menggunakan pesawat ringan di kawasan terjejas dan di ruang udara di bawah paras awan.

sumber: Artikel Dua kaedah hasilkan hujan di empat negeri oleh Haspaizi Mohd Zain, BH, 27 Jun 2013.

Jumaat, 16 Mei 2014

Sistem dan polisi di Sweden


Sweden dikatakan antara kerajaan pemurah di dunia apabila melaksanakan sistem cuti untuk ibu bapa yang diberikan sehingga 480 hari untuk kelahiran setiap anak.

Ibu bapa yang mengambil cuti menerima bayaran gaji atau elaun sebanyak 80 peratus atau dibayar sebanyak 910 SEK (atau kira-kira RM400 sehari).

Majikan tidak terbabit dalam membayar kos cuti tetapi diuruskan oleh Pentadbiran Insuran Sosial Sweden atau Social Sweden Insurance Administration yang akan mengeluarkan bayaran.

Cuti ini boleh diambil mengikut bulan, minggu, hari malahan mengikut kiraan jam.

Cuti 390 hari, ibu bapa menerima maksimum elaun: SEK 946 (lebih kurang RM480) sehari, mulai 2013.

Untuk 90 yang lain hari, elaun harian ialah SEK 180 (RM100) sehari.

Tambahan 20 hari bagi kelahiran kembar.

Kementerian Keselamatan Sosial Sweden mengambil berat mengenai masyarakat dan mempertahankan keperluan penduduk dengan memperkenalkan pelbagai jenis polisi terbaik dalam tempoh 100 tahun.

Antara polisi yang dikendalikan:
  • National Pension Insurance 1913
  • Insurance Against Accidents at Work 1918
  • Officially Approved Unemployment Insurance Funds 1937
  • Child Allowances 1947
  • National Sickness Insurance 1955
  • Parental Insurance 1973
  • Retirement Age Lowered to 65 in 1976
  • Sickness Insurance Reform 2008
  • Social Insurance Centenary 2013

- BH

Rabu, 14 Mei 2014

Kepala air


Kepala air ialah gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar, mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama.

Biasanya berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.

Aliran air ini apabila hujan sangat besar dan deras dan boleh membawa segala macam kelodak, batu dan kayu balak.

Ia akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya.

- Kosmo!

Isnin, 12 Mei 2014

Bunga sebagai agen penyembuh


Beberapa kajian menunjukkan bunga-bunga pernah digunakan sebagai agen penyembuh dan magis.

Ketua Bahagian Psikologi Tumbuhan di sebuah institut botani di Rusia, Prof. Ivan Isidogovich Gunar menyimpulkan, dalam sekuntum bunga terdapat beratus-ratus ekspresi.

Ia dibuktikan melalui kewujudan impuls elektrik yang berfungsi sama seperti saraf manusia.

Beliau yang mempunyai kemahiran berhubung tumbuhan mengakui bunga mempunyai pelbagai sikap seperti berharap, bertindak balas dan menunjukkan ekspresi termasuk kesakitan.

Pembantu Gunar, Leonid A. Panishkin memberitahu bunga-bungaan juga mempunyai memori ingatan yang pendek.

Ada kepercayaan mendakwa jika anda menanam bunga pada waktu petang bulan baharu, ia membawa tuah.

Kepercayaan Mesir pula mempercayai amalan memberikan bunga kepada seseorang turut membawa tuah tetapi jika bunga dialih dari kubur dan dibuang, lokasi yang dibuang itu akan dihantui selama-lamanya.

Kaum India antara pengguna bunga segar yang paling banyak dan paling kerap menggunakan bunga dalam hampir semua upacara.

Peranan bunga segar dalam adat dan upacara Hindu tidak boleh dipisahkan.

Daripada kelahiran seorang bayi, akil baligh, berkahwin, majlis melenggang perut sewaktu hamil, masuk rumah baharu, sambutan perayaan hingga kematian semuanya memerlukan bunga segar.

Sama seperti kaum Melayu yang menggunakan bunga segar untuk mandi bunga bagi menaikkan seri wajah, kaum India turut mempercayai adat itu tetapi kurang diamalkan.

Ia hanya dilakukan apabila seorang anak perempuan mencapai akil baligh dan bunga akan digunakan sebagai aksesori hiasan diri.

Bunga melur misalnya, mempunyai bau wangi yang kuat meningkatkan ciri-ciri kewanitaan.

Atas sebab itulah ramai dalam kalangan wanita India menggunakan melur selain mawar sebagai aksesori hiasan kepala.

sumber: Artikel Potensi bisnes bunga segar oleh Nizha Periaswamy, Kosmo! 17 Julai 2013

Rabu, 23 April 2014

Jarum dan mesin jahit


Jarum telah dicipta pada abad ke-14.

Pada tahun 1755, imigran Jerman yang tinggal di England, Charles Weisenthal mematenkan jarumnya yang dirancang untuk sebuah mesin.

Kemudian pada 1790, seorang pembuat almari, Thomas Saint turut berhasil mendapatkan paten untuk rancangan mesin jahitnya.

Namun, kedua-dua rekaan individu ini termasuk rekaan Bathasar Krems pada tahun 1810 tidak dapat berfungsi.

Seorang penjahit dari Austria, Josef Madersperger juga pernah berusaha membuat mesin untuk menjahit dan mendapatkan paten pada tahun 1814, tetapi mesin jahit buatannya itu juga dianggap gagal.

Mesin jahit yang pertama dapat berfungsi dengan baik adalah mesin jahit yang diciptakan oleh seorang penjahit Perancis, Barthelemy Thimonnier pada tahun 1830.

Mesin itu hanya menggunakan satu benang dan sebuah jarum kait seperti jarum bordir atau sulam.

Namun ciptaan itu tidak mendapat sambutan baik daripada masyarakat, malah Barthelemy hampir terbunuh apabila sejumlah tukang jahit membakar kilang pakaian miliknya.

Tindakan itu dikatakan sebagai protes kepada Barthelemy kerana mewujudkan persaingan dalam dunia jahitan selain mencetuskan pengangguran akibat kebergantungan kepada mesin.

Pada tahun 1834, Walter Hunt berjaya menghasilkan sebuah mesin jahit yang dianggap terbaik pada zaman itu, namun dia memilih untuk tidak mempatenkan kerana takut bakal menyebabkan pengangguran.

Akhirnya pada tahun 1860 pereka kelahiran New York, Isaac Singer berhasil membuat mesin jahit dengan jarum jahit yang mampu digerakkan menggunakan kayuhan pedal kaki.

Mesin jahit itu kemudian dipasarkan secara besar-besaran dan menjadi perintis kepada mesin jahit moden yang digunakan hari ini.

Sumber: Artikel Baiki mesin jahit dalam masa satu jam oleh Mustapha Lakawa, Kosmo! 22 Julai 2013

Selasa, 22 April 2014

Mesir


Mesir merupakan sebuah negara yang terletak di Afrika Utara.

Ia bersempadan dengan Libya, Sudan, Semenanjung Gaza dan Israel serta Laut Mediterranean dan Laut Merah.

Mesir mempunyai populasi penduduk seramai 77,498,000 (2013).

Mesir memperoleh kemerdekaan daripada United Kingdom pada 28 Februari 1922.

Diisytiharkan sebagai sebuah republik pada 18 Jun 1953.

Kawasan di Mesir merupakan tapak tamadun awal Mesir Purba.

Monumen-monumen Mesir Purba seperti Piramid Giza, Sphinx, Kuil Luxor dan sebagainya menjadi tarikan berjuta-juta pelancong luar negara setiap tahun.

Mesir dianggap sebagai jantung umat Islam kerana ia merupakan antara negara Arab terpenting di Asia Barat.

- Kosmo!

Isnin, 21 April 2014

Projek Lynas


Projek nadir bumi oleh Lynas adalah hasil pelaburan syarikat perlombongan dan pemprosesan kimia dari Sydney, Lynas Corporation Ltd.

Lynas menyumbang pelaburan langsung asing berjumlah RM2.3 bilion dan mampu memberi lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Kilang memproses nadir bumi yang beroperasi di Gebeng, Kuantan, Pahang itu diberi lesen untuk beroperasi pada 2008 di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Lynas juga mendapat pengesahan daripada enam badan bebas iaitu Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), panel pakar akademik, jawatankuasa bebas, pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk beroperasi dan menerima lesen pengendalian sementara (TOL).

Isu kilang Lynas Advanced Material Plant (Lynas) yang dibina di Kawasan Perindustrian Gebeng bermula ekoran berita dalam akhbar New York Times pada 8 Mac 2011.

Pada 10 Mac berita ini dikutip dan disiarkan kembali sepenuhnya oleh akhbar tempatan, The Star selepas sehari berlaku kebocoran reaktor nuklear di Fukushima, Jepun, akibat gempa bumi sebelum disusuli tsunami.

Sejak itulah, isu ini dibangkitkan dan disuarakan secara lantang oleh pembangkang pada sidang Dewan Rakyat 2011.

Pihak pembangkang membantah kewujudan kilang itu dengan mendakwa kononnya penduduk sekitar bakal diancam bahaya radiasi nuklear dari kilang berkenaan.

Lynas tiada kaitan langsung dengan reaktor nuklear ataupun makmal uranium.

Ia menghasilkan nadir bumi iaitu produk kimia daripada bahan mentah yang digunakan sebagai pemangkin bagi pengeluaran mentol jimat tenaga dan tahan bateri sel kering.

sumber: Artikel Lynas Kuantan bukan Fukushima oleh Luqman Hakim Ab. Rahim, Kosmo! 28 April 2013.


Selasa, 15 April 2014

Rozel


Spesies Hibiscus sabdariffa dikenali juga sebagai pokok Rozel.

Di Australia dan Indonesia ia dikenali sebagai Rosella.

Pokok Rozel dikatakan berasal dari India.

Ia banyak digunakan dalam rawatan perubatan secara tradisi sebagai julap semula jadi bagi mencuci perut.

Ia juga dikatakan dapat menyembuh penyakit berkaitan jantung, saraf, tekanan darah tinggi (hypertension) dan kanser.

Pokok Rozel hanya boleh hidup sehingga enam bulan sahaja sebelum layu dan mati.

Pokoknya boleh tumbuh sehingga lapan kaki manakala daunnya mempunyai tiga hingga lima lekuk, tumbuh tersusun berselang seli di tangkai daunnya.

Kelopak bunganya pula berwarna merah muda dan berbentuk seperti kelopak bunga raya dan bendi kerana kedua-duanya juga dari tumbuhan yang sama iaitu Malvaceae.

Ladang rozel di Terengganu

Pokok Rozel mula diperkenalkan di Malaysia pada awal 1990-an dan mula ditanam secara komersial di ladang pada 1993.

Pada mulanya Terengganu merupakan satu-satunya negeri pengeluar utama Rozel di Malaysia namun kini negeri lain juga sudah mula menanam Rozel secara komersial.

Dua spesies yang popular ditanam di Malaysia ialah jenis Terengganu atau UMKL-1 dan Arab.

Jenis Arab dikatakan mengeluar hasil yangn lebih berbanding Terengganu.

Minuman jus rozel

Kaliks buahnya diproses untuk dijadikan minuman yang mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Ia juga boleh diproses menjadi jem, jeruk, jeli pewarna makanan dan sebagainya.

sumber: Artikel Rozel, Roselle, Rosella, tumbuhan herba cantik untuk hiasan laman oleh Abubakr As-Siddiq, BH, 28 April 2013.

Isnin, 14 April 2014

Malindo Air


Malindo Airways (Malindo Air) adalah penerbangan usaha sama antara Malaysia National Aerospace and Defence Industries (NADI) dan Lion Air dari Indonesia.

Nama Malindo adalah cantuman dua nama Malaysia dan Indonesia.

Sebagai permulaan, Malindo Air yang berpangkalan di Malaysia memulakan penerbangan sulung antara Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak dengan penerbangan perdana pada 22 Mac 2013.

Setakat ini, Malindo Air menggunakan pesawat jenis Boeing 737-900ERs.

Dengan slogan Not Just Low Cost (bukan sekadar kos rendah), Malindo Air turut memperkenalkan dua segmen kelas penerbangan iaitu kelas perniagaan dan kelas ekonomi.

Bagi kelas perniagaan, sebanyak 12 tempat duduk ditawarkan manakala sebanyak 168 tempat duduk bagi kelas ekonomi.

Selain menawarkan program hiburan menarik di dalam pesawat, krew kabin Malindo Air turut menggayakan kebaya putih sebagai pakaian rasmi mereka.

Selepas Kuching dan Kota Kinabalu, Malindo Air turut mengadakan penerbangan ke Miri, Bintulu, Sibu, Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Bagi penerbangan antarabangsa pula Malindo Air turut terbang ke Dhaka dan Chittagong di Bangladesh, Ahmedabad, Kochi, Delhi, Mumbai dan Trichy di India, Bali, Denpasar, Batam dan Jakarta di Indonesia serta Bangkok dan Hat Yai di Thailand.

Untuk keterangan lanjut, layari www.malindoair.com.

- BH.

Jumaat, 11 April 2014

Ulat bulu The Saddleback


Ulat bulu The Saddleback mempunyai bentuk dan warna yang cantik tetapi perlu berhati-hati kerana racunnya boleh menyebabkan kesan bengkak, rasa mual dan ruam yang mengambil masa yang lama untuk pulih.

Ulat ini dikategorikan sebagai kuat makan kerana makan segala jenis tanaman.

- BH

Rabu, 9 April 2014

Kuih cincin


Kuih cincin dibuat secara tradisional di Papar, Sabah dan terkenal dengan rasa enak, rangup, asli dan berkualiti.

Kuih yang rasanya lemak manis dan rangup ini diadun bersama-sama resipi tradisional 'gula apong' yang berkualiti tinggi.

Rasanya dapat menarik perhatian pelancong dan juga penduduk setempat.

- BH.

Selasa, 8 April 2014

Toy Museum


Muzium Mainan Pulau Pinang atau Penang Toy Museum terletak di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Terdapat lebih 100,000 watak kartun yang dipamerkan di sini.

Patung mainan yang terdapat dalam muzium ini

Bukan sahaja kanak-kanak, malah golongan dewasa yang minat mengumpul koleksi animasi juga pasti menyukainya.

- BH.

Isnin, 7 April 2014

Kes-kes keganasan pilihan raya di dunia


Empat anggota polis Kenya dibunuh oleh sekumpulan penyerang sehari sebelum pilihan raya Presiden negara itu pada Mac 2013.

Tujuh orang terbunuh apabila keganasan dicetuskan oleh penyokong parti pembangkang yang tidak berpuas hati apabila kalah dalam pilihan raya Presiden di Venezuela yang menyaksikan Nicolas Maduro berjaya mengalahkan pemimpin pembangkang Henrique Capriles pada tahun 2013.

Sepuluh orang terbunuh dalam kejadian keganasan pasca pilihan raya di Armenia pada tahun 2008.

Dua lelaki mati ditikam ketika meraikan kemenangan Parti Bharatiya Janata dalam pilihan raya di India pada 2002.

Lapan orang mati dalam satu protes menentang keputusan pilihan raya di Iran pada tahun 2009. Pihak berkuasa Iran menyalahkan reformis yang juga bekas Perdana Menteri Iran, Mirhossein Mousavi yang menjadi dalang dalam kejadian itu.

- Kosmo!

Jumaat, 4 April 2014

Rambut


Secara purata manusia mempunyai 100,000 hingga 150,000 helai rambut pada kulit kepala.

Rambut manusia sebenarnya berwarna putih dan pigmen yang dipanggil melanin memberi warna rambut.

Pembentukan melanin sudah bermula sebelum manusia dilahirkan.

Rambut manusia sangat kuat dan setiap helai rambut boleh menampung berat sehingga 100 gram.

Rambut tumbuh sendiri tanpa kawalan dan setiap helai rambut mempunyai kitaran hayatnya sendiri.

Rambut mempunyai kadar mitosis iaitu pembahagian sel yang paling cepat.

Secara purata rambut tumbuh 0.3 milimeter sehari atau satu sentimeter sebulan.

Oleh kerana rambut mempunyai kitaran tersendiri, ia akan gugur pada waktu berbeza apabila sampai waktunya.

- Harian Metro

Khamis, 3 April 2014

Teguh Samudera


Teguh Samudera ialah nama kapal latihan angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia dilancarkan pada 27 Februari 2013 oleh isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Siti Hasmah Mohd Ali.

Teguh Samudera mempunyai spesifikasi 75.9 meter panjang dan turut dilengkapi dengan tempat pendaratan helikopter yang mempunyai keberatan 1,366 tan metrik.

Teguh Samudera mampu beroperasi sejauh 2,500 batu nautika atau bersamaan 21 hari tanpa henti sebelum ulang bekal dilaksanakan.

Kapal berkenaan bakal menempatkan 47 orang krew dan mampu menampung seramai 60 pelatih pada setiap kali pelayaran termasuklah 12 penempatan untuk pelatih wanita.

Teguh Samudera dilengkapi sistem kombat, radar, peralatan navigasi dan komunikasi serta senjata jarak dekat.

Meskipun digunakan untuk latihan, ia juga mampu melaksanakan tugas operasi secara terhad sekiranya diperlukan.

Teguh Samudera dibina oleh syarikat tempatan iaitu NGV Tech Sdn. Bhd.

Ia dinamakan Teguh Samudera untuk meneruskan kesinambungan nama kapal latihan sedia ada iaitu KLD Tunas Samudera dan Gagah Samudera.

sumber: Artikel Teguh Samudera perkuat TLDM oleh Syukri Shaari, Kosmo! 6 Mac 2013

Rabu, 2 April 2014

Venezuela


Venezuela terletak di bahagian utara pesisiran pantai Amerika Selatan.

Ia merangkumi kawasan seluas 916,445 kilometer persegi dan beberapa buah pulau kecil di Lautan Caribbean.

Ia berjiran dengan Guyana di sebelah timur, berkongsi sempadan dengan Brazil di sebelah selatan, Colombia di barat dan Lautan Atlantik di sebelah utara.

Populasi penduduknya mencecah 27,730,435 orang setakat Julai 2007.

Venezuela mendapat namanya daripada ahli kartografi, Amerigo Vespucci.

Semasa meneruskan ekspedisinya ke bahagaian barat laut pesisiran Teluk Venezuela pada tahun 1499, beliau bertembung dengan sebuah perkampungan yang dibina di atas air.

Pemandangan ini mengingatkan dirinya kepada Venice, Itali lalu menamakan tempat itu Venezuola iaitu mini Venice.

Venezuela merupakan antara negara yang pesat membangun.

Sektor petroleum dilihat sebagai penyumbang terbesar kepada sumber ekonomi dan rakyatnya menikmati harga petrol yang rendah berikutan pemberian subsidi yang tinggi.

Sejak 1999, negara ini dikenali sebagai Republik Bolivar Venezuela.

Oleh kerana kedudukannya adalah berdekatan dengan garisan Khatulistiwa di Hemisfera Utara, Venezuela mengalami iklim Tropikal.

Kebanyakan hutan di negara itu dijadikan hutan simpan atau taman negara sekali gus menjadi habitat semula jadi bagi alam biodiversiti.

- Kosmo!

Selasa, 1 April 2014

Planetarium Negara


Planetarium Negara terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Planetarium Negara telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Februari 1994.

Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia tentang program-program sains angkasa.

Mengambil masa tiga tahun untuk dibina, Kompleks Planetarium Negara menempatkan sebuah teater berbentuk kubah di tengah-tengahnya.

Keunikan reka bentuk teater tersebut telah memberi cabaran yang cukup hebat kepada jurubina projek, jurutera dan kontraktor bangunan.

Ketelitian dan ketepatan yang diperlukan bagi projektor bintang dan filem berformat besar juga memberi cabaran yang tidak kurang hebatnya.

Hakikatnya, Planetarium Negara memainkan peranan penting dalam menyuntik kesedaran tentang kepentingan bidang sains angkasa dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, ia mengorak langkah pertama dalam usaha mendekatkan rakyat Malaysia dalam bidang berkenaan.

Sumber: Artikel 19 tahun Planetarium Negara oleh Khadijah Mohamad Nor, Kosmo! 20 Februari 2013.

Isnin, 31 Mac 2014

Python Reticulated


Python Reticulated ialah spesies ular sawa yang biasanya dijumpai di Asia Tenggara.

Ia merupakan ular terpanjang dalam keluarga reptilia dan ular dewasa boleh membesar melebihi 6.95 meter manusia.

Nama saintifik Reticulatus diambil daripada bahasa Latin kerana corak pada badan ular tersebut yang bercorak seperti jaring.

- Kosmo!

Rabu, 26 Mac 2014

Gaza


Semenanjung Gaza merupakan sebuah wilayah di Palestin dan namanya diambil daripada bandar Gaza.

Gaza merupakan bandar kedua terbesar di Palestin selepas Baitulmuqaddis.

Ia mewakili 1.3 peratus daripada keluasan seluruh Palestin dari sempadan Lebanon di utara hingga ke sempadan Mesir di selatan, laut Mediterranean di Barat hingga ke sempadan Jordan di timur.

Gaza dijajah Israel sejak tahun 1948.

- Kosmo!

Selasa, 25 Mac 2014

Tahi bintang dan asteroid


Tahi bintang turut dipanggil meteoroid, merupakan objek kecil yang bergerak di angkasa lepas dan jika memasuki atmosfera bumi akan meninggalkan kesan tujahan terbakar seperti roket.

Tahi bintang lebih kecil daripada asteroid dan boleh muncul dalam sebutir atau kumpulan yang dipanggil hujan tahi bintang.

Serpihan tahi bintang yang dipercayai berusia antara empat dan lima bilion tahun ditemui di kaki pergunungan Sierra, utara California, Amerika Syarikat pada April 2012.

Pada bulan Februari 2013 sebutir tahi bintang telah jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, Rusia yang menyebabkan lebih 1,000 orang cedera.


Asteroid (gambar) pula sejenis objek lebih besar daripada tahi bintang dan kerap dikaitkan sebagai serpihan planet dengan permukaan berbatu dan tidak mengandungi udara.

Asteroid juga dikenali sebagai planetoids atau planet kecil.

Sungguhpun kecil, ia amat berbahaya jika jatuh menghentam bumi kerana impaknya boleh menyebabkan kemusnahan besar.

Kebanyakan astroid berada di kedudukan antara Marikh dan Musytari.

Pakar astronomi Itali, Giuseppe Piazza menjadi orang pertama merekodkan penemuan asteroid sebesar 950 kilometer persegi (sebesar Texas, Amerika Syarikat) pada tahun 1801 dan menamakannya Ceres.

- Kosmo!

Isnin, 24 Mac 2014

Lembu susu jenis Friesian-Jersey


Lembu susu ini ialah kacukan daripada lembu baka Friesian dan Jersey.

Harga lembu jenis ini mampu mencecah RM4,000 seekor.

Lembu susu jenis Friesian-Jersey mampu menghasilkan susu sebanyak 15 hingga 20 liter sehari.

Ia dapat hidup dalam cuaca panas di Malaysia serta sukar diserang penyakit.

Susu yang dihasilkan dikategorikan kepada gred AA kerana pekat dan tidak bercampur dengan bahan lain seperti air dan kuman.

Lembu susu jenis Friesian-Jersey perlu diberi makan sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menghasilkan susu yang berkualiti.

- Kosmo!, Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Jumaat, 21 Mac 2014

Agen Oren

Helikopter tentera Amerika Syarikat sedang menyembur bahan kimia berhampiran Delta Mekong.
Helikopter tentera Amerika Syarikat sedang menyembur bahan kimia berhampiran Delta Mekong.

Agen Oren (Agent Orange) ialah senjata kimia yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat sewaktu Perang Vietnam 1975.

Ia menyebabkan masalah kesihatan dan kecacatan terhadap bayi yang baru lahir di Vietnam.

Dikenali sebagai agen oren sempena jalur berwarna oren yang terdapat di botol racun tersebut, ia menjadi pemusnah kepada sebahagian besar rakyat Vietnam yang menderita akibat kesan penggunaannya.

Kira-kira 75 juta liter agen oren dan racun rumpai lain telah disembur di satu pertiga daripada keluasan Vietnam Selatan antara tahun 1962 hingga 1971.

Ia bertujuan untuk memusnahkan kawasan pertanian dan hutan yang digunakan pihak gerila bagi tujuan makanan dan persembunyian.

Kesan daripada semburan racun itu mengakibatkan ribuan rakyat Vietnam hidup dalam keadaan abnormal, mengalami kerosakan otak dan kecacatan tubuh badan sejak dilahirkan.

Dianggarkan seramai 2.1 hingga 4.8 juta orang telah terdedah secara langsung kepada agen oren ketika Perang Vietnam berlaku.

Lebih teruk, penyemburan agen oren itu turut memberi kesan negatif kepada generasi kedua dan ketiga rakyat negara Vietnam akibat pencemaran makanan serta air yang diminum oleh ibu mengandung.

Ia sekali gus menyebabkan ramai yang mengalami kecacatan genetik yang diwarisi turun-temurun oleh mereka yang terdedah kepada bahaya racun itu.

sumber: Artikel Kraftangan kulit telur dari Vietnam oleh Khadijah Mohamad Nor, Kosmo! 4 Februari 2013.

Khamis, 20 Mac 2014

Rumah kiub heksagon


Kubuswoningen atau Cube House merupakan satu set rumah yang dibina penuh inovatif di Rotterdam dan Helmond di Belanda.

Direka oleh arkitek Piet Blom ia mengambil konsep tinggal di bumbung yang urban.

Mengekalkan bahagian bawah seperti bangunan biasa, namun tarikan utama Kubuswoningen terletak di atasnya yang berbentuk heksagon.

Kiub heksagon tersebut dibina dengan sudut 45 darjah.

Walaupun kelihatan seperti bumbung, namun jangan silap kerana di bahagian dalam kiub heksagon itu ia sama seperti sebuah rumah.

Menurut Blom, setiap kediaman tersebut menggambarkan sebatang pokok dan gabungan semuanya mewakili sebuah hutan.

Mula dibina pada tahun 1974, hanya tiga tahun kemudian sebanyak 18 buah rumah berjaya disiapkan di Helmond.

Selepas kejayaan pembinaan di Helmond, sebanyak 39 buah Cube House lagi dibina di Rotterdam.

Bergabung antara satu sama lain, terdapat 38 kiub sederhana dan dua bersaiz gergasi.

Berfungsi sebagai sebuah kediaman biasa, keunikan reka bentuk rumah tersebut ternyata menjadi tarikan dalam kalangan pelancong.

Disebabkan itu juga, pada tahun 2009, rumah dengan kiub gergasi diubah suai oleh seorang arkitek menjadi sebuah hostel diuruskan oleh rangkaian Stayokay.

- Kosmo!

Rabu, 19 Mac 2014

Long Pasia


Long Pasia ialah nama sebuah kampung di daerah Sipitang, Sabah.

Kampung ini bersempadanan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan timur, Indonesia.

Long Pasia bermaksud mulut Sungai Merah dalam bahasa etnik Lundayeh.

Perkampungan Lundayeh berusia lebih 400 tahun dengan penempatan awal seramai 2,000 penduduk.

Penduduk kampung kemudian berpecah kepada empat buah kampung iaitu Sungai Bungaya, Sungai Kampung Ruran, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

sumber: Artikel Kehidupan etnik Lundayeh oleh Siti Zubaidah Abdullah, Kosmo! 5 Februari 2013

Jumaat, 14 Mac 2014

KL Hop On Hop Off


KL Hop On Hop Off ialah bas dua tingkat yang mempunyai ruang terbuka di atas.

Ia mula beroperasi pada 1 Januari 2007 dengan hanya empat buah bas.

Pada bulan Julai 2008, sebanyak 2 buah bas ditambah dan menjadikan jumlah keseluruhan bas menjadi enam buah.

Setiap bas dibina dan dipasang di Malaysia dan rekaan bas adalah rekaan sendiri.

Pada tahun 2013, sebanyak empat buah bas ditambah kerana permintaan semakin meningkat di kalangan pelancong.

Bas akan beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam.

Jarak antara satu bas dengan bas yang lain adalah selama lebih kurang setengah jam.

Purata waktu menghabiskan pusingan melawat KL adalah selama 2 jam setengah.

Servis yang disediakan diadaptasi dari bas pelancong seperti ini dari negara luar.

Terdapat pelbagai bahasa disediakan di dalam bas termasuk seorang pembantu pelancong dan seorang pemandu.

Tempoh sah tiket adalah 24 jam dari waktu pembelian.

Penumpang bas boleh naik dan turun di mana-mana hentian bas tanpa had.

Terdapat beberapa hentian yang disediakan untuk bas KL Hop On Hop Off, hentian-hentian tersebut ialah:
  1. Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang
  2. Menara KL, Bukit Nanas
  3. Jalan P. Ramlee
  4. Pusat Konvensyen KL
  5. Kompleks Kraf KL
  6. Bukit Bintang
  7. Jalan Petaling dan Pasar Seni
  8. Little India, Brickfields
  9. KL Sentral
  10. Muzium Negara
  11. Istana Negara Baru
  12. Taman Warisan Tun Abdul Razak
  13. Dataran Merdeka
  14. Tasik Titiwangsa
  15. KLCC

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang KL Hop On Hop Off, sila lawati www.myhoponhopoff.com.

- BH

Khamis, 13 Mac 2014

Eleuthera


Eleuthera ialah sebuah kepulauan yang terletak 50 batu dari Nassau di Bahamas.

Eleuthera merupakan lokasi pertemuan Lautan Caribbean dan Atlantik secara sebelah menyebelah membentuk kawasan alam semula jadi yang indah.

-BH