Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 24 Januari 2014

Masjid Besar Djenne.

Djenné Moschee
Masjid Besar Djenne, imej dari Wikimedia Commons

Djenne merupakan sebuah kota purba yang terletak berhampiran delta Sungai Niger di wilayah Mopti di Republik Mali.

Sejak kewujudannya pada kurun kesembilan, ia pernah menjadi pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam khususnya ketika pemerintahan empayar Songhai, Sonni Ali.

Salah satu tarikan di kota itu ialah Masjid Besar Djenne yang dipercayai dibina pada kurun ke-13.

Diceritakan pada asalnya masjid itu merupakan sebuah istana dan dijadikan masjid selepas pemerintah Mali ketika itu, Sultan Koi Kunburu memeluk agama Islam.

Pemerintah seterusnya, Sheikh Amadou Lobbo yang menawan Djenne semasa Perang Tukulor mengarahkan masjid asal dirobohkan pada 1834.

Dia kemudiannya merancang sebuah masjid baharu berhampirannya pada 1896.

Bagaimanapun, penjajah Perancis yang berkuasa selepas itu telah mengarahkan pembinaan semula Masjid Besar Djenne di lokasi asalnya pada 1906.

Seorang arkitek tempatan, Ismaila Traore telah diberi tanggungjawab tersebut.

Menggabungkan gaya seni bina Islam dan Sudan, Masjid Besar Djenne tampak unik kerana tidak menggunakan konkrit sebaliknya lumpur sebagai bahan asas binaannya.

Memandangkan kedudukannya yang terletak berhampiran delta Sungai Niger yang sering dilanda banjir, Ismaila telah membina pelantar tinggi berkeluasan 5,625 meter persegi sebagai tapak masjid.

Bahagian tiang-tiang masjid menggunakan blok lumpur kering sebelum dilapisi dengan lumpur basah bagi memastikan ia kelihatan licin dan halus.

Dindingnya pula mempunyai ketebalan yang berbeza antara 0.4 meter hingga 0.6 meter.

Dinding lumpur yang digunakan memerangkap haba pada waktu siang dan memberikan suasana sejuk pada waktu malam.

Dahan pokok palma turut dimasukkan ke dalam binaan dinding bagi mengurangkan rekahan akibat perubahan mengejut suhu di samping bertindak sebagai tangga ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan setiap tahun.

Kiblat masjid itu ditanda oleh tiga menara besar berbentuk segi empat yang dibina lebih tinggi daripada dinding utama.

Menara yang puncaknya seperti kon itu juga turut dilengkapi tangga berputar yang menghala ke arah bumbung masjid.

Umumnya terdapat dua ruang solat utama disediakan iaitu ruang terbuka dan ruang tertutup.

Ruang tertutup yang mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah disokong oleh 90 buah tiang merentasi dewan sembahyang bagi memastikan ketahanan strukturnya.

Aspek pengudaraan dan pencahayaan juga diberi penekanan pada ruang itu bagi keselesaan jemaah.

Beberapa buah lubang udara turut dibina bagi menyalurkan udara bersih di samping penggunaan kaca seramik sebagai pencahayaan semula jadi.

Biarpun Djenne jarang menerima hujan, Ismaila turut membina corong bagi mengalirkan air daripada bahagian bumbung ke longkang bagi mengalirkan air daripada bahagian bumbung ke longkang bagi mengelakkan dindingnya daripada diresapi air.

Masjid Besar Djenne berjaya disiapkan pada 1907, iaitu setahun selepas pembinaannya.

Di samping menjadi ruang beribadat penduduk sekitar ia juga menjadi antara mercu tanda di Republik Mali.

Setiap tahun, sebuah pesta khas yang meraikan budaya dan muzik tempatan iaitu Festival Crepissage dianjurkan berdekatan dengan masjid itu.

Ratusan penduduk di bandar tersebut berkumpul dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan masjid secara sukarela.

Pada 1988, Masjid Besar Djenne telah diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hanya orang Islam sahaja dibenarkan memasuki Masjid Besar Djenne.

Masjid Besar Djenne turut dilengkapi kemudahan elektrik dan air.

- Kosmo!

Khamis, 23 Januari 2014

Interlaken

Pekan Interlaken di Switzerland, imej oleh Dietrich Michael Weidmann daripada Wikimedia Commons

Interlaken terletak di negara Switzerland.

Ia mempunyai populasi seramai 5,468 orang (Disember 2011).

Interlaken berkedudukan 570 meter dari paras laut.

Keluasan Interlaken ialah 4.3 kilometer persegi.

Swiss Alps merupakan rangkaian gunung-ganang di Switzerland dan turut dikenali sebagai Central Alps.

Antara gunung-ganang yang menjadi tarikan pelancongan ialah gunung Jungfrau (4,158 m), gunung Monch (4,107 m) dan gunung Eiger (3,970 m).

Interlaken mempunyai dua stesen kereta api iaitu Interlaken Ost dan Interlaken West.

- Kosmo!

Isnin, 20 Januari 2014

Sejarah ringkas teh


Teh berasal dari China lebih kurang 4,000 tahun lalu.

Di China, wain dan teh saling bertentangan sejak zaman berzaman dengan konflik yang menginspirasikan sastera dan seni.

Pada abad kelapan, kerja kepakaran teh yang pertama ditulis dalam buku Chajing atau Classical Book of Tea. Ia dikarang oleh Lu Yu.

Daun teh yang dimampatkan kepada bentuk blok ketika itu dianggap sebagai ubatan berkualiti.

Ia menjadi bahan minuman oleh sami Buddha dan sarjana Confucius yang seterusnya menjadi era teh didih.

Daun teh hancur kemudiannya dihidangkan dengan campuran air panas, mentega dan herba.

Pada era Dinasti Song yang memerintah China dari tahun 960 hingga 1279, ketulan teh hijau ditukar kepada bentuk serbuk seterusnya menjadi minuman yang disajikan kepada maharaja dan kemudian membawa kepada perkembangan industri porselin.

Sami Buddha kemudian memperkenalkan teh ke Jepun yang membawa kepada kewujudan upacara teh.

Dinasti Ming (1368 - 1644) pula membawa minuman teh di China kepada stail yang lebih serius dengan daun teh yang dikeringkan sebelum dipanggang dan diperam.

Teh kemudiannya semakin menjadi hirupan ramai dan mula dieksport serta membawa kepada kemunculan teko teh.

Pada tahun 1848, British telah mempelajari rahsia pembuatan teh China berikutan perisikan industri di Darjeeling, India.

Sejak itu, teh India menjadi pesaing kepada China yang mana pada masa kini, China menghasilkan 29 peratus keluaran teh dunia, diikuti India 25 peratus, Sri Lanka sebanyak sembilan peratus dan Jepun tiga peratus.

sumber: Artikel Kisah secawan teh di muzium, Kosmo! 1 Januari 2013

Khamis, 16 Januari 2014

Pandelela Rinong, atlet wanita Malaysia pertama raih pingat di sukan Olimpik


Pandelela Rinong menjadi atlet wanita Malaysia pertama yang berjaya meraih pingat di dalam temasya sukan Olimpik.

Beliau telah berjaya meraih pingat gangsa untuk acara terjun dalam sukan Olimpik 2012 yang berlangsung di London, England.

-Kosmo!

Rabu, 15 Januari 2014

Zulfahmi pelumba Malaysia pertama di podium Litar Sepang


Zulfahmi Khairuddin merupakan pelumba Moto3 Malaysia yang pertama pernah menaiki podium di Litar Sepang.

Beliau menjadi Naib Juara untuk Grand Prix Malaysia yang berlangsung di Litar Sepang pada bulan Oktober 2012.

-Kosmo!

Isnin, 13 Januari 2014

WWW1


WWW1 ialah nombor plat pendaftaran yang dimiliki oleh Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar melalui bidaan sebanyak RM520,000 yang mengatasi nombor plat pendaftaran termahal di Malaysia sebelum ini (2012) iaitu MCA1 dengan harga RM300,100 diikuti TAY1; RM220,000 dan WVW1; RM202,000.

Nombor pendaftaran tersebut diletakkan pada model kereta nasional, Proton Satria Neo milik baginda.

-Kosmo!

Jumaat, 10 Januari 2014

Tok Ujang


Ujang Mormin atau dikenali sebagai Tok Ujang merupakan saksi terakhir pertempuran di Bukit Chandu, Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua.

Tok Ujang pernah bertempur dalam peperangan itu yang menyaksikan Leftenan Adnan terbunuh.

Tok Ujang kini menetap di Rumah Rakyat Sikamat, Negeri Sembilan.

-Kosmo!

Selasa, 7 Januari 2014

Suu Kyi menang pilihan raya

Aung San Suu Kyi

Selepas hampir 25 tahun berjuang menentang pemerintahan junta tentera di Myanmar, pejuang kemerdekaan yang juga pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi, Aung San Suu Kyi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya kecil pada April 2012.

Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera.

-Kosmo!

Isnin, 6 Januari 2014

Putera William dan Kate Middleton kunjungi Malaysia


Buat julung-julung kalinya, rakyat di Malaysia berpeluang melihat dengan lebih dekat Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton yang melakukan kunjungan rasmi selama tiga hari sempena meraikan ulang tahun pemerintahan ke-60 Ratu Elizabeth II pada September 2012.

Selain Malaysia, pasangan diraja itu turut melawat Singapura, Kepulauan Solomon dan Tuvalu.

-Kosmo!

Khamis, 2 Januari 2014

Lee Chong Wei gagal mendapat pingat emas Olimpik


Jaguh badminton negara yang juga merupakan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei gagal melakar sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama Malaysia di pentas sukan Olimpik selepas tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir yang diadakan di Arena Wembley, London pada 5 Ogos 2012.

Dalam perlawanan itu, Datuk Chong Wei menang set pertama 21-15 tetapi tewas 10-21 dan 19-21 pada set kedua dan ketiga.

Beliau hanya membawa pulang pingat perak untuk kontinjen negara.

-Kosmo!