Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 31 Mac 2014

Python Reticulated


Python Reticulated ialah spesies ular sawa yang biasanya dijumpai di Asia Tenggara.

Ia merupakan ular terpanjang dalam keluarga reptilia dan ular dewasa boleh membesar melebihi 6.95 meter manusia.

Nama saintifik Reticulatus diambil daripada bahasa Latin kerana corak pada badan ular tersebut yang bercorak seperti jaring.

- Kosmo!

Rabu, 26 Mac 2014

Gaza


Semenanjung Gaza merupakan sebuah wilayah di Palestin dan namanya diambil daripada bandar Gaza.

Gaza merupakan bandar kedua terbesar di Palestin selepas Baitulmuqaddis.

Ia mewakili 1.3 peratus daripada keluasan seluruh Palestin dari sempadan Lebanon di utara hingga ke sempadan Mesir di selatan, laut Mediterranean di Barat hingga ke sempadan Jordan di timur.

Gaza dijajah Israel sejak tahun 1948.

- Kosmo!

Selasa, 25 Mac 2014

Tahi bintang dan asteroid


Tahi bintang turut dipanggil meteoroid, merupakan objek kecil yang bergerak di angkasa lepas dan jika memasuki atmosfera bumi akan meninggalkan kesan tujahan terbakar seperti roket.

Tahi bintang lebih kecil daripada asteroid dan boleh muncul dalam sebutir atau kumpulan yang dipanggil hujan tahi bintang.

Serpihan tahi bintang yang dipercayai berusia antara empat dan lima bilion tahun ditemui di kaki pergunungan Sierra, utara California, Amerika Syarikat pada April 2012.

Pada bulan Februari 2013 sebutir tahi bintang telah jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, Rusia yang menyebabkan lebih 1,000 orang cedera.


Asteroid (gambar) pula sejenis objek lebih besar daripada tahi bintang dan kerap dikaitkan sebagai serpihan planet dengan permukaan berbatu dan tidak mengandungi udara.

Asteroid juga dikenali sebagai planetoids atau planet kecil.

Sungguhpun kecil, ia amat berbahaya jika jatuh menghentam bumi kerana impaknya boleh menyebabkan kemusnahan besar.

Kebanyakan astroid berada di kedudukan antara Marikh dan Musytari.

Pakar astronomi Itali, Giuseppe Piazza menjadi orang pertama merekodkan penemuan asteroid sebesar 950 kilometer persegi (sebesar Texas, Amerika Syarikat) pada tahun 1801 dan menamakannya Ceres.

- Kosmo!

Isnin, 24 Mac 2014

Lembu susu jenis Friesian-Jersey


Lembu susu ini ialah kacukan daripada lembu baka Friesian dan Jersey.

Harga lembu jenis ini mampu mencecah RM4,000 seekor.

Lembu susu jenis Friesian-Jersey mampu menghasilkan susu sebanyak 15 hingga 20 liter sehari.

Ia dapat hidup dalam cuaca panas di Malaysia serta sukar diserang penyakit.

Susu yang dihasilkan dikategorikan kepada gred AA kerana pekat dan tidak bercampur dengan bahan lain seperti air dan kuman.

Lembu susu jenis Friesian-Jersey perlu diberi makan sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menghasilkan susu yang berkualiti.

- Kosmo!, Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Jumaat, 21 Mac 2014

Agen Oren

Helikopter tentera Amerika Syarikat sedang menyembur bahan kimia berhampiran Delta Mekong.
Helikopter tentera Amerika Syarikat sedang menyembur bahan kimia berhampiran Delta Mekong.

Agen Oren (Agent Orange) ialah senjata kimia yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat sewaktu Perang Vietnam 1975.

Ia menyebabkan masalah kesihatan dan kecacatan terhadap bayi yang baru lahir di Vietnam.

Dikenali sebagai agen oren sempena jalur berwarna oren yang terdapat di botol racun tersebut, ia menjadi pemusnah kepada sebahagian besar rakyat Vietnam yang menderita akibat kesan penggunaannya.

Kira-kira 75 juta liter agen oren dan racun rumpai lain telah disembur di satu pertiga daripada keluasan Vietnam Selatan antara tahun 1962 hingga 1971.

Ia bertujuan untuk memusnahkan kawasan pertanian dan hutan yang digunakan pihak gerila bagi tujuan makanan dan persembunyian.

Kesan daripada semburan racun itu mengakibatkan ribuan rakyat Vietnam hidup dalam keadaan abnormal, mengalami kerosakan otak dan kecacatan tubuh badan sejak dilahirkan.

Dianggarkan seramai 2.1 hingga 4.8 juta orang telah terdedah secara langsung kepada agen oren ketika Perang Vietnam berlaku.

Lebih teruk, penyemburan agen oren itu turut memberi kesan negatif kepada generasi kedua dan ketiga rakyat negara Vietnam akibat pencemaran makanan serta air yang diminum oleh ibu mengandung.

Ia sekali gus menyebabkan ramai yang mengalami kecacatan genetik yang diwarisi turun-temurun oleh mereka yang terdedah kepada bahaya racun itu.

sumber: Artikel Kraftangan kulit telur dari Vietnam oleh Khadijah Mohamad Nor, Kosmo! 4 Februari 2013.

Khamis, 20 Mac 2014

Rumah kiub heksagon


Kubuswoningen atau Cube House merupakan satu set rumah yang dibina penuh inovatif di Rotterdam dan Helmond di Belanda.

Direka oleh arkitek Piet Blom ia mengambil konsep tinggal di bumbung yang urban.

Mengekalkan bahagian bawah seperti bangunan biasa, namun tarikan utama Kubuswoningen terletak di atasnya yang berbentuk heksagon.

Kiub heksagon tersebut dibina dengan sudut 45 darjah.

Walaupun kelihatan seperti bumbung, namun jangan silap kerana di bahagian dalam kiub heksagon itu ia sama seperti sebuah rumah.

Menurut Blom, setiap kediaman tersebut menggambarkan sebatang pokok dan gabungan semuanya mewakili sebuah hutan.

Mula dibina pada tahun 1974, hanya tiga tahun kemudian sebanyak 18 buah rumah berjaya disiapkan di Helmond.

Selepas kejayaan pembinaan di Helmond, sebanyak 39 buah Cube House lagi dibina di Rotterdam.

Bergabung antara satu sama lain, terdapat 38 kiub sederhana dan dua bersaiz gergasi.

Berfungsi sebagai sebuah kediaman biasa, keunikan reka bentuk rumah tersebut ternyata menjadi tarikan dalam kalangan pelancong.

Disebabkan itu juga, pada tahun 2009, rumah dengan kiub gergasi diubah suai oleh seorang arkitek menjadi sebuah hostel diuruskan oleh rangkaian Stayokay.

- Kosmo!

Rabu, 19 Mac 2014

Long Pasia


Long Pasia ialah nama sebuah kampung di daerah Sipitang, Sabah.

Kampung ini bersempadanan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan timur, Indonesia.

Long Pasia bermaksud mulut Sungai Merah dalam bahasa etnik Lundayeh.

Perkampungan Lundayeh berusia lebih 400 tahun dengan penempatan awal seramai 2,000 penduduk.

Penduduk kampung kemudian berpecah kepada empat buah kampung iaitu Sungai Bungaya, Sungai Kampung Ruran, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

sumber: Artikel Kehidupan etnik Lundayeh oleh Siti Zubaidah Abdullah, Kosmo! 5 Februari 2013

Jumaat, 14 Mac 2014

KL Hop On Hop Off


KL Hop On Hop Off ialah bas dua tingkat yang mempunyai ruang terbuka di atas.

Ia mula beroperasi pada 1 Januari 2007 dengan hanya empat buah bas.

Pada bulan Julai 2008, sebanyak 2 buah bas ditambah dan menjadikan jumlah keseluruhan bas menjadi enam buah.

Setiap bas dibina dan dipasang di Malaysia dan rekaan bas adalah rekaan sendiri.

Pada tahun 2013, sebanyak empat buah bas ditambah kerana permintaan semakin meningkat di kalangan pelancong.

Bas akan beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam.

Jarak antara satu bas dengan bas yang lain adalah selama lebih kurang setengah jam.

Purata waktu menghabiskan pusingan melawat KL adalah selama 2 jam setengah.

Servis yang disediakan diadaptasi dari bas pelancong seperti ini dari negara luar.

Terdapat pelbagai bahasa disediakan di dalam bas termasuk seorang pembantu pelancong dan seorang pemandu.

Tempoh sah tiket adalah 24 jam dari waktu pembelian.

Penumpang bas boleh naik dan turun di mana-mana hentian bas tanpa had.

Terdapat beberapa hentian yang disediakan untuk bas KL Hop On Hop Off, hentian-hentian tersebut ialah:
  1. Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang
  2. Menara KL, Bukit Nanas
  3. Jalan P. Ramlee
  4. Pusat Konvensyen KL
  5. Kompleks Kraf KL
  6. Bukit Bintang
  7. Jalan Petaling dan Pasar Seni
  8. Little India, Brickfields
  9. KL Sentral
  10. Muzium Negara
  11. Istana Negara Baru
  12. Taman Warisan Tun Abdul Razak
  13. Dataran Merdeka
  14. Tasik Titiwangsa
  15. KLCC

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang KL Hop On Hop Off, sila lawati www.myhoponhopoff.com.

- BH

Khamis, 13 Mac 2014

Eleuthera


Eleuthera ialah sebuah kepulauan yang terletak 50 batu dari Nassau di Bahamas.

Eleuthera merupakan lokasi pertemuan Lautan Caribbean dan Atlantik secara sebelah menyebelah membentuk kawasan alam semula jadi yang indah.

-BH

Rabu, 12 Mac 2014

LykanHypersport


LykanHypersport merupakan kereta sport pertama buatan negara Arab.

Ia dibuat oleh firma Lubnan iaitu W Motors.

Harga sebuah LykanHypersport ialah RM10.65 juta dan dikatakan lebih mahal daripada kereta Bugatti Veyron yang berharga RM7.26 juta.

Bagaimanapun, LykanHypersport masih belum dapat menandingi kelajuan Bugatti Veyron.

Kereta sport LykanHypersport mencatatkan kelajuan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 2.8 saat.

Kelajuan maksimum kereta itu ialah 395 km/j.

Kereta sport Bugatti Veyron pula mencatatkan kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 2.5 saat.

Kelajuan maksimum kereta itu ialah 431.072 km/j.

Kereta sport LykanHypersport dihasilkan dengan kerjasama firma Magna Steyr Italia, RUF Automobile, Studiotorino, Viotti dan ID4MOTIO.

- Kosmo!, Agensi

Selasa, 11 Mac 2014

Gajah Pigmy


Nama saitifik bagi gajah Pigmy ialah Elephas maximus borneensis (gajah Borneo).

Gajah Pigmy tergolong dalam spesies terancam dengan dianggarkan tidak sampai 1,500 ekor di Sabah dan pedalaman Borneo.

Ia mampu membesar sehingga ketinggian tidak melebihi 2.5 meter berbanding spesies gajah Asia lain setinggi tiga meter.

Kulit gajah Pigmy berwarna kelabu gelap atau coklat.

Sekiranya hidup liar, usia gajah Pigmy boleh mencecah 60 tahun.

Seekor gajah betina kebiasaannya melahirkan tujuh ekor anak sepanjang hayatnya dengan tempoh kandungan antara 19 hingga 22 bulan.

Gajah dewasa mampu makan sehingga 150 kilogram tumbuhan sehari yang terdiri daripada pokok kelapa, rumput dan pisang hutan.

- Kosmo!, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Isnin, 10 Mac 2014

Buaya Julong-Julong


Buaya Julong-Julong sering dijumpai di Kalimantan, Sumatera di Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Populasi buaya julong-julong dianggarkan kurang daripada 2,500 ekor.


Suka tinggal di kawasan yang berpaya, sungai, tasik dan buaya spesies ini suka berjemur.

- Kosmo!

Jumaat, 7 Mac 2014

Buaya Katak


Buaya Katak yang juga dikenali sebagai buaya air masin merupakan sejenis reptilia terbesar yang mampu mencecah panjang lima meter dan seberat 450 kilogram.

Ia mudah dijumpai di kawasan berpaya dan air tawar di timur India, Asia Tenggara dan bahagian utara Australia.

Populasi buaya katak dianggarkan berjumlah kira-kira 200,000 hingga 300,000 ekor di seluruh dunia (2013).

- Kosmo!

Isnin, 3 Mac 2014

Jakarta


Jakarta merupakan ibu negara Indonesia yang terletak di barat laut Pulau Jawa.

Dahulu, Jakarta dikenali dengan pelbagai nama antaranya Sunda Kalapa, Jayakarta dan Batavia.

Jakarta mempunyai keluasan 662 kilometer persegi dan dihuni 20 juta penduduk (2013), ia merupakan bandar raya kesembilan terpadat di dunia (2013).

Kawasan pentadbiran Jakarta dibahagikan kepada lima kota dan satu kabupaten iaitu Jakarta Pusat, Jakarta Barat, Jakarta Selatan, Jakarta Timur, Jakarta Utara dan Kepulauan Seribu.

- Kosmo!